Tidak kira di pasar raya mewah mahupun gerai-gerai di tepi jalan, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan buah-buahan itu.

Bagi memberi nilai tambah kepada buah itu, pasar raya City Super membalut setiap satu strawberi Jepun dengan gaya yang sangat eksklusif dan diletakkan di rak mewah yang berharga HK$168 (RM96) sebiji.

Rakyat negara itu sanggup membeli buah-buahan yang mahal kerana ia mencerminkan kebersihan dan kesegaran sehingga sanggup mengembara beribu-ribu batu semata-mata mahu mendapatkannya.

Seorang pembeli, Peter Wong memberitahu, dia tidak membeli buah-buahan keluaran Tanah Besar China walaupun negara itu merupakan pengeluar utama di Hong Kong.

"Dahulu saya selalu membeli buah di China tetapi sekarang tidak lagi kerana buah-buahan di sana tidak selamat serta tidak segar.

"Buah-buahan dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Jepun lebih segar," katanya yang merupakan seorang akauntan dan membelanjakan kira-kira HK$2,000 (RM3,500) untuk membeli buah-buahan import.

Keadaan itu terjadi ekoran laporan yang mendakwa pekebun dari China menggunakan racun perosak berlebihan dan bahan pengawet sehingga menjejaskan reputasi industri pertanian di negara itu.

Sehubungan itu, Hong Kong yang kekurangan sumber makanan terpaksa mengimport buah-buahan dari negara lain untuk memenuhi permintaan rakyatnya.

Trend baharu itu mencerminkan kesedaran rakyat Hong Kong yang mula beralih kepada pemakanan lebih berkhasiat dan sihat berbanding hidangan tradisional yang banyak garam serta lemak.

Pembelian buah-buahan yang mahal menjadi semakin popular untuk dihadiahkan kepada orang tersayang apatah lagi ia merupakan sebahagian daripada budaya orang Cina yang dianggap membawa tuah atau kemakmuran.

Seorang penjual di pasar Yau Ma Tei, Daniel Chan, 42, berkata, pemberian hadiah buah-buahan yang mahal sebenarnya bertujuan untuk menjaga 'air muka' yang dianggap sebagai elemen penting dalam budaya orang Cina.

Tanda penghargaan

"Dahulu kami menjual buah-buahan kepada pemborong tetapi sejak dua tahun lalu, ia dijual secara runcit kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kaya.

"Golongan profesional dan kelas atasan akan datang ke gerai saya pada hari Sabtu serta Ahad dengan menaiki kereta mewah," katanya yang menguruskan perniagaan keluarga berusia 70 tahun itu.

Fenomena itu tidak hanya terjadi di Hong Kong sebaliknya ahli perniagaan di Jepun juga menjadikan rutin memberikan buah-buahan mahal sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.

Menurut Daniel, produk Jepun paling popular di pasar Yau Ma Tei termasuklah buah ara yang diimport dari Afrika Selatan.

Buah durian baka baik dari Malaysia yang dijual di gerai Daniel diterbangkan terus ke negara itu, sekali gus menyebabkan harganya lebih mahal berbanding menggunakan kapal laut yang melalui perjalanan panjang.

Buah-buahan berkualiti tinggi dipasarkan di pusat beli-belah mewah dan dibalut kemas dalam kotak cantik yang memukau pandangan.

Sementara itu, buah-buahan sangat popular untuk dijadikan hadiah ketika perayaan Tahun Baru Cina dan Chuseok sejak sekian lama yang menggambarkan kesyukuran rakyat Korea Selatan.

Buah-buahan berbungkus indah yang diimport mendapat permintaan tinggi sejak beberapa tahun lalu tetapi mengalami kemerosotan apabila undang-undang antirasuah baharu dikuatkuasakan

di negara itu.

Penguatkuasaan undang-undang baharu itu mengehadkan pemberian hadiah sekitar HK$50 (RM28) untuk habuan perniagaan sehingga memberi kesan kepada penjualan buah-buahan tersebut.

Bekas Pengurus Makanan dan Minuman di City Super, Christopher Gallaga berkata, buah-buahan yang berbungkus mewah melambangkan status dan mempunyai kelas tersendiri.

"Mereka (pembeli) lebih memilih buah-buahan import dari luar negara berbanding dari China dan ia menunjukkan kesangsian orang ramai terhadap produk dari tanah besar itu," katanya. - AFP