Baru berusia sembilan tahun, anak kecil berwajah Pan-Asia ini bukanlah calang-calang orang.

Dilahirkan sebagai seorang yang lasak dan tangkas, Brown disebut sebagai pemain papan selaju atau skateboard termuda di dunia.

Ia bermula dengan tularnya video yang menunjukkan aksi lincah Brown di arena papan selaju yang melompat dari atas bumbung sebuah bas.

Brown yang bermain papan selaju sejak berusia setahun telah menjelajah ke seluruh dunia untuk menyertai pertandingan melibatkan sukan ekstrem itu.

Walaupun masih muda, kemahiran yang dimiliki sangat tinggi hingga mampu menewaskan peserta yang lebih dewasa.

Matlamatnya kini adalah memberi tumpuan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo Jepun yang buat julung-julung kalinya bakal mempertandingkan sukan hipster termasuk papan selaju, sukan luncur ombak, karate serta sukan memanjat.

“Saya banyak memikirkan tentang Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Pada waktu itu, saya mungkin berusia 12 tahun dan ia pasti menyeronokkan jika dapat menang pada temasya tersebut,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya yang terletak di Miyazaki, sebuah daerah di selatan Jepun.

Berdarah campuran Jepun di sebelah ibu dan Britain di sebelah ayah, Brown sudah memilih negara yang ingin diwakili pada temasya sukan itu nanti.

“Sudah tentu saya mahu meluncur sebagai atlet Jepun kerana saya dilahirkan, bersekolah dan mempunyai ramai kawan di sini,” ujarnya di samping adik lelaki yang juga merupakan peminat nombor satunya, Ocean yang berusia enam tahun.

Brown kemudian memegang papan luncur selaju miliknya dan melompat ke gelanggang bersama Ocean.

Tanpa rasa takut, kedua-duanya meluncur dengan kelajuan maksimum dan mempamerkan pelbagai teknik yang mungkin tidak dikuasai oleh orang dewasa.

Ujar gadis yang hanya berketinggian 1.2 meter itu, sukan papan selaju membuatkannya berasa bebas dan menjadi diri sendiri.

Berkongsi minat

Dua adik-beradik itu mempunyai hubungan yang sangat rapat. Mereka bukan sahaja berkongsi minat dalam sukan papan selaju tetapi sering meluncur ombak bersama. Kedua mereka juga cukup popular sehingga mempunyai seramai 92,000 orang pengikut di Instagram.

Menurut ayahnya, Stu, dia pernah mencuba untuk menjauhkan Brown daripada papan selaju ketika berusia tiga tahun kerana bimbang keselamatan anak perempuannya itu.

Namun, minat Brown yang hanya tertumpu kepada permainan itu membuatkannya akur dan akhirnya menyokong penuh penglibatan gadis kecil tersebut.

Perkara itu turut diakui Meiko yang pastinya berasa gementar setiap kali menonton persembahan Brown yang penuh dengan bahaya.

“Saya berpeluh setiap kali melihatnya melakukan lompatan terutamanya persembahan dari atas bumbung bas.

“Namun, saya kenal Brown. Jika dia katakan dia boleh, maka saya yakin dia pasti boleh melakukannya,” katanya berkongsi perasaan.

Dalam pada itu, Brown yang berharap untuk membuat penampilan pada kejuaraan sukan ekstrem X Games pada tahun ini sering berdepan halangan daripada penganjur yang enggan membenarkannya untuk bertanding.

Alasannya, jika dia bertanding dan menang, ia mungkin akan memalukan pemain luncur papan yang sudah lama bertapak dalam sukan itu.

“Mereka (penganjur) tidak boleh menyisihkan Brown daripada arena papan selaju selama-lamanya terutama pada Sukan Olimpik 2020 ini,” ujar Stu optimis.

Katanya, lembaga sukan luncur papan selaju sudah bersetuju untuk tidak mengehadkan usia seseorang peserta bagi menyertai Sukan Olimpik.

Berita itu menyemarakkan lagi semangat gadis berambut lurus tersebut.

Selain memiliki kebolehan yang berbeza daripada anak gadis lain, Brown juga merupakan seorang yang berjiwa besar dan pemurah.

Menggunakan wang dan populariti yang diperoleh melalui persembahan bertenaga di beberapa negara termasuk Britain, Sweden dan Singapura pada tahun lalu, dia berusaha mengumpul dana untuk disumbangkan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Cuba serta Kemboja. – AFP