Bentuk asal kayu itu yang kelihatan seperti daun, burung dan bunga diperindahkan dengan kehalusan ukiran tangannya tanpa mengubah struktur semula jadinya.

Mengimbau kembali zaman remajanya, Muhamad berkata, pada usia 15 tahun beliau sudah tertarik untuk mengumpul kayu-kayu yang dirasakan cantik serta unik.

“Ketika itu, orang menganggap hobi saya ini sebagai pelik malah ayah terpaksa membina pondok khas untuk menempatkan kayu serta barangan lama yang dikumpul.

“Pada awalnya saya aktif melukis dan salah satu hasil karya ialah lukisan mural di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Kuala Terengganu pada tahun 1970-an yang masih ada sehingga kini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Baru Mampong, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Selepas itu barulah anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu berjinak-jinak untuk mengukir.

Menurutnya, jika seseorang itu mempunyai bakat dalam lukisan maka, tidak mustahil individu tersebut mampu menghasilkan ukiran kerana ia lebih mudah berbanding melukis.

Membesar bersama abangnya yang merupakan pengukir kayu di Terengganu telah mencetuskan minat Muhamad dalam seni ukiran walaupun ia dipelajarinya sendiri tanpa mempunyai guru.

Begitu pun, apabila meneruskan kerjaya sebagai polis, Muhamad terpaksa memperlahankan aktiviti seninya bagi memberi tumpuan kepada tugasan.

Aktif melukis

Apabila bertugas di Kuala Lumpur, Muhamad berasa sangat bosan kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan pada masa lapang lantas beliau kembali aktif melukis.

Namun, memikirkan timbunan kayu yang terbiar begitu sahaja membuatkan beliau berasa ralat lantas Muhamad mengambil keputusan untuk mengukir secara kecil-kecilan pada masa terluang.

Pada awalnya beliau membuat tongkat dan alangkah teruja apabila ramai kenalan menyukainya dan Muhamad memberikan hasil ukiran itu percuma kepada mereka.

Begitulah aktiviti itu berlanjutan sehinggalah empat tahun lalu, selepas pencen beliau mengukir sepenuh masa dan menjadikannya sebagai kerjaya utama.

“Paling banyak saya mendapat tempahan ialah untuk membuat tongkat, sarung dan hulu parang.

“Saya juga berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan hasil seni ini,” tuturnya yang bertugas selama 34 tahun sebagai anggota polis.

Kayu terbaik

Demi mendapatkan kayu terbaik, Muhamad bersama isterinya, Azizah Mansor, 55, menjelajah ke seluruh hutan di Semenanjung Malaysia seperti Johor, Terengganu dan Kelantan.

Mereka berdua menaiki motosikal lasak untuk meredah ke dalam hutan bagi mencari kayu-kayu tersebut.

Antara jenis kayu yang menjadi pilihannya ialah tenusu, cengal, merbau dan jaha kerana ia tidak terlalu keras untuk diukir tetapi tahan lama.

Bagi membuat tongkat, bekas anggota polis berpangkat sarjan itu menggunakan kayu gading dan produk itu dijual serendah RM100.

Jelas bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu, kebanyakan bongkah kayu yang dijumpainya berbentuk seperti ikan, bunga, burung, cicak dan daun.

Ukiran daripada bongkah kayu berbentuk bunga, daun dan ikan paling mendapat sambutan daripada pelanggan.

“Bagi kerja-kerja ukiran saya hanya menggunakan peralatan ringkas seperti kapak, pahat, tukul, grinder dan pisau ukiran yang dibuat sendiri.

“Saya akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu sehingga sebulan untuk menghasilkan ukiran kayu bergantung kepada corak, saiz dan jenis kayu,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.

Beliau akan membuat kerja-kerja mengukir bermula pada pukul 10 pagi dan berhenti pada waktu Zohor.

Bercerita mengenai cabaran dalam bidang tersebut, Muhamad memberitahu, mendapatkan peralatan untuk mengukir sangat sukar kerana ia tiada dijual di Malaysia sehingga beliau terpaksa menghasilkannya sendiri dan ada yang dibeli di Indonesia.

Dahulu, beliau mengasah lidi basikal untuk menghasilkan pisau ukiran.

Selain itu, kecederaan pada jari kerana terkena pisau ukir itu merupakan perkara biasa bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.

Kepuasan

Akui Muhamad, memasarkan produk merupakan salah satu cabaran baginya apatah lagi mengusahakan secara kecil-kecilan dan tidak dikenali ramai.

Walaupun menempuhi pelbagai cabaran tetapi kepuasan mengukir itu merupakan keseronokan yang sukar untuk digambarkan.

Produk paling mahal yang pernah dijual oleh Muhamad ialah ukiran kayu berbentuk ikan bernilai RM2,800.

Beliau juga pernah menerima tempahan bernilai RM15,000 untuk 50 item oleh pembeli dari Kuala Lumpur.

Pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar pengukir adalah ketika pertama kali mengikuti Hari Kraf Kebangsaan.

“Ketika itu, saya dan isteri didatangi seorang penjual yang lantang mengeluarkan kata-kata, ‘kayu buruk ini yang kau bawa!

“Mendengar sahaja kata-kata itu kami berasa sangat kecewa dan rendah diri untuk meneruskan jualan kraf ini,” tutur datuk kepada lima orang cucu itu.

Kedukaan suami isteri itu terubat apabila ada rakan-rakan yang memberi kata-kata semangat.

Sudah tertulis rezeki mereka apabila berjaya menjual 30 item dengan menerima hasil jualan berjumlah RM10,000 dan ia merupakan kenangan termanis buat pasangan itu.

Sejak itu, mereka yakin dengan apa yang diusahakan dan tidak mempedulikan pandangan cetak masyarakat terhadap seni kayu tersebut.

Sementara itu, Azizah berkata, sebagai isteri, beliau sentiasa memberikan sokongan kepada Muhamad dan akan menemani suaminya masuk ke hutan bagi mencari bongkah-bongkah kayu itu.

“Semenjak mengikut suami, saya turut mempunyai hobi baharu iaitu mengumpul bunga orkid yang diambil dari hutan.

“Banyak pengalaman suka duka kami sepanjang berada di dalam hutan termasuklah pernah terjatuh motosikal tetapi ia menjadi peristiwa yang manis untuk dikenang,” katanya sambil mengukirkan senyuman.

Azizah yang merupakan pesara Polis Trafik, menyifatkan Muhamad sebagai seorang yang penyayang, penyabar dan sensitif.

Muhamad Ismail dan Azizah Mansor menjelajah ke seluruh hutan di Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan kayu terbaik bagi menghasilkan produk ukiran kayu.