Biarpun sudah lebih dua tahun bertugas di Unit Kecemasan dan Trauma sebuah hospital di Lembah Klang, namun Nik Fatin Farhanah Nik Muhaiminzee, 24, mengakui perasaan gementar masih lagi menyelubungi dirinya setiap kali merawat pesakit yang mengalami patah tulang.

Ini kerana, selain memerlukan rawatan teliti, mereka juga perlu sentiasa peka dengan posisi kaki pesakit bagi memastikan tulang yang patah tidak menjejaskan bahagian yang lain.

“Proses rawatan tidak sukar tetapi memerlukan ketelitian. Tambahan pula jika melibatkan bahagian tulang yang besar seperti di bahagian kaki.

“Lazimnya, rawatan yang mengambil masa kira-kira 30 minit ini perlu dilakukan secara berkumpulan bersama kira-kira tiga orang jururawat yang lain bagi mempermudahkan proses mencuci luka dan proses-proses lain.

“Agak mustahil rawatan ini dilakukan oleh seorang jururawat sahaja. Tambahan pula jika kecederaan atau tubuh pesakit itu besar,” jelasnya.

Memahami kesukaran yang dialami oleh jururawat dan pengamal perubatan di kebanyakan hospital, pensyarah kanan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Asha’ari Bain, menjadikan ia sebagai inspirasi untuk menghasilkan alat sokongan bagi memudahkan rawatan kepada pesakit yang mengalami patah tulang kaki.

Menurut pensyarah yang juga merupakan Pakar Bedah Ortopedik Hospital Ampang itu, selain berfungsi sebagai alat sokongan yang mempermudahkan kerja-kerja rawatan dilakukan, alat yang dikenali sebagai Elev8thor itu juga bertujuan untuk meringankan bebanan tugas jururawat ketika memberikan rawatan kepada pesakit.

“Sebagai pakar bedah ortopedik yang selalu merawat pesakit terutamanya yang mengalami masalah patah tulang kaki, saya sering melihat jururawat dan pembantu pegawai perubatan berhadapan dengan kesukaran untuk mengendalikan pesakit mereka.

“Lazimnya setiap pesakit memerlukan kira-kira dua hingga tiga orang jururawat bagi mempermudahkan pemeriksaan dilakukan. Itu belum lagi menyentuh proses mencuci dan membalut luka pesakit atau melakukan rawatan simen.

“Setakat ini, elevasi bagi kaki yang patah atau luka selalunya dilakukan menggunakan bantal yang disusun bertingkat, busa elevasi dan Bohler Braun Frame.

“Bagaimanapun, kaedah tersebut tidak praktikal dari segi kebersihan kerana luka yang ada pada kaki pesakit berkemungkinan tidak dapat dicuci dengan betul selain mengambil masa yang panjang,” jelasnya.

Justeru, Mohd. Asha’ari terfikir kenapa tidak jika mereka satu alat bagi memudahkan proses rawatan kaki yang patah dilakukan dan seterusnya meringankan beban kerja jururawat di wad.

Dengan bantuan rakan pensyarah, Dr. Mohd. Shaffie Md. Shariff bersama lima orang pelajar perubatan, Mohd. Asha’ari berjaya menghasilkan prototaip Elev8tor yang mengambil masa kira-kira dua bulan sahaja.

Menariknya, prototaip Elev8tor yang direkanya itu merupakan satu-satunya alat bantuan merawat pesakit patah tulang kaki yang dicipta di dunia setakat ini.

Lebih membanggakan apabila prototaip itu menerima pingat emas dan anugerah khas dalam Ekspo Inovasi Islam 2018 yang diadakan di USIM baru-baru ini.

Kurang komplikasi

Menurut doktor berusia 37 tahun itu lagi, biarpun idea tersebut diperoleh sekitar tahun 2015, namun Mohd. Asha’ari hanya berjaya merealisasikan prototaip pertamanya pada awal tahun lalu.

“Pada pandangan umum, alat ini mungkin nampak ringkas, namun ia sebenarnya memerlukan penelitian dan kajian yang teliti sebelum dihasilkan.

“Lebih-lebih lagi apabila kami perlu mengambil kira aspek kebersihan bagi memastikan peralatan yang digunakan nanti sentiasa bersih dan tidak mendatangkan kesan sampingan seperti jangkitan kuman kepada pesakit.

“Bukan itu sahaja, kami juga menitikberatkan keselesaan pesakit sepanjang menggunakan alatan semasa rawatan dilakukan,” jelasnya.

Bagi memastikan pesakit sentiasa berada dalam keadaan selesa sepanjang rawatan dilakukan, Mohd. Asha’ari menggunakan rekaan berbentuk blok berukuran kira-kira dua meter yang boleh digerakkan mengikut kesesuaian rawatan yang diberikan kepada pesakit.

“Elev8thor mengimplementasikan cara penggunaan yang mudah dan ringkas bagi memastikan ia dapat mengurangkan komplikasi lain pada kecederaan di bahagian kaki.

“Dengan alat ini, jururawat boleh mencuci luka dengan bersih dan sempurna apabila kaki yang diletakkan pada blok boleh dialihkan dalam keadaan statik.

“Rekaan blok ini juga boleh mengurangkan tekanan di kawasan luka dan seterusnya mengelakkan ulser. Percaya atau tidak, dengan menggunakan alat ini, ia boleh menjimatkan masa rawatan sehingga 50 peratus,” jelasnya

Selain mencuci luka, alat Elev8thor juga boleh digunakan dalam beberapa prosedur rawatan ortopedik lain seperti proses pembalutan simen untuk merawat tulang retak, prosedur sinar-X serta rawatan yang menggunakan split skin graph.

Biarpun begitu, alat ini hanya sesuai digunakan kepada golongan dewasa sahaja.

300 kali

Bagi memastikan keselesaan pesakit, cerita Mohd. Asha’ari, alatan yang direka dalam bentuk blok itu dihasilkan seratus peratus menggunakan busa keras dan lembut yang kemudiannya dibalut dengan fabrik kulit.

“Di sini, kami menggunakan fabrik kulit khas untuk tujuan perubatan. Ia berbeza dengan fabrik kulit yang sering digunakan untuk membuat sofa atau aksesori kulit yang lain.

“Apa yang membuatkan ia bertambah unik ialah fabrik kulit kalis air yang digunakan pada alat ini boleh dibasuh berulang kali selepas digunakan,” jelasnya.

Ujar Mohd. Asha’ari lagi, berdasarkan kajian yang dilakukan, jangka hayat bagi satu unit Elev8thor ialah selama dua hingga tiga tahun dengan bilangan penggunaan sebanyak 300 kali.

Sementara itu, bagi pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri USIM yang turut terlibat dalam penghasilan prototaip itu, Istihana Mohamed Kamal, 24, menyifatkan Elev8thor mampu membawa dimensi baharu dalam dunia perubatan negara.

“Pengalaman membantu jururawat dan doktor merawat pesakit patah tulang ketika ditempatkan di bahagian ortopedik sebuah hospital banyak membuka mata saya.

“Kaki manusia sememangnya berat. Lebih-lebih lagi bagi lelaki. Disebabkan itu, kami memerlukan lebih daripada dua orang untuk memberikan rawatan.

“Alatan yang digunakan di hospital juga sukar kerana berat dan terhad. Malah, dari aspek kebersihan pula, ia memang mudah kotor dan sukar untuk dibersihkan.

“Justeru sebaik dipilih untuk terlibat dalam projek prototaip ini, saya sangat gembira kerana dapat menyumbang sedikit idea. Malah, saya lihat alatan yang dibangunkan ini mampu mengubah kaedah rawatan pesakit patah kaki pada masa hadapan,” jelasnya.