Lebih manis jaringan Dong-Hyun itu pada minit ke-67, 77 dan 87 itu berjaya membebaskan The Red Warriors (TRW) daripada belenggu kekalahan sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung selepas mengharungi tiga perlawanan sebelum ini.

Kemenangan itu juga, telah berjaya mengeluarkan TRW daripada kedudukan tercorot dengan mengumpul empat mata dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini

Mahu teruskan aksi cemerlang
Tanpa berselindung, pemain berusia 24 tahun menyifatkan hatrik itu sebagai tonik berguna buat dirinya untuk meneruskan aksi lebih cemerlang selepas ini.

Dong-Hyun berkata, moralnya kini berada pada tahap terbaik dan dia tekad membantu TRW melakar lebih banyak kemenangan selepas ini.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang telah banyak membantu dan memberikannya ruang untuk meledakan jaringan pada perlawanan tersebut.

“Bukan mudah untuk meledakkan jaringan, memandangkan pelawat bukanlah calang-calang pasukan dan mereka mempunyai pemain berkaliber,” katanya.

Menurutnya, dia tidak boleh terlalu bermegah dengan kejayaan itu kerana saingan Liga Super baru sahaja memasuki aksi keempat.

Katanya, dia perlu bekerja lebih keras jika mahu terus diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk berada dalam senarai pemain utama.

Sasar lebih banyak jaringan

Bekas pemain UiTM FC musim 2017 lalu memberitahu, dia tekad mahu meledak lebih banyak jaringan bersama TRW musim ini.

Katanya, dia tekad berbuat demikian bagi membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sudi mendapatkan khidmatnya untuk memperkukuhkan lagi jentera serangan TRW.

“Bersama UiTM FC musim lalu, saya meledak 13 gol daripada 22 penampilan. Jadi, bersama TRW saya sasarkan untuk meledakkan lebih banyak jaringan.

“Saya juga mahu membuktikan bahawa kehadiran saya ke Kota Bharu akan memberikan impak kepada TRW terutama d bahagian serangan,” katanya.

Penyokong jadi azimat

Dong-Hyun berkata, dia bersedia untuk berdepan dengan penyokong yang meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk membantu TRW 2018.

Katanya, dia makin serasi bersama TRW serta corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih.

“Saya tahu Kelantan mempunyai sejarah besar di sebalik pencapaian mereka dalam Liga-M pada musim-musim terdahulu. 

“Sebab itulah saya menolak tawaran pasukan-pasukan lain kerana percaya mampu mencipta kegemilangan bersama TRW,” ujarnya.

Yakin TRW mampu melangkah lebih jauh

Bekas pemain skuad kebangsaan Korea Selatan bawah 20 tahun itu berkata, walaupun Kelantan tampil berwajah baharu namun dia optimis pasukannya mampu memberi saingan, pada musim ini.

“Saya dapat lihat ramai pemain muda bekerja keras dalam latihan. 

“Ia sangat menakjubkan, mereka mahukan sesuatu yang berbeza pada musim ini dan saya gembira bersama rakan sepasukan ini,” katanya.

Ghaddar tambah sengat Kelantan

Dong-Hyun berkata, kehadiran bekas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Mohammad Ghaddar mampu menambah sengat jentera serangan TRW.

Katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian bersama bekas penyerang kebangsaan Lebanon itu bagi memantapkan jentera serangan TRW.

“Begitu juga dengan Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga. Kami semua tekad untuk berusaha sebaik mungkin membantu TRW,” katanya.

Empat pemain import Kelantan Mohammad Ghaddar, Do Dong-Hyun, Bruno Lopes dan Ferdinand Sinaga tidak berputus asa untuk membuktikan keupayaan mereka mampu memberikan impak terhadap kecemerlangan jentera pasukan bola sepak Kelantan dalam Liga Super kali ini.

l;zvjcjj