Bagaimanapun, berbeza pula bagi seorang wanita berusia 87 tahun yang dikenali sebagai Maria Ponce apabila memilih botol-botol terbuang sebagai bahan binaan rumahnya.

Lebih mengagumkan, wanita yang tinggal di El Borbollon, El Salvador iaitu sebuah negara di Amerika Tengah itu sanggup menghabiskan masa selama tujuh bulan untuk mengumpul botol-botol plastik sebelum menjadikannya sebagai sebuah rumah.

Menurut Ponce, dia mengambil keputusan membina sebuah rumah baharu menggunakan bahan tersebut selepas mendapat ilham daripada mimpi.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai rumah untuk berteduh selepas rumah yang asal musnah dalam satu kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda El Salvador pada 13 Januari 2001,” katanya.

Dalam bencana tersebut, seramai 944 kematian direkodkan dan 108,261 buah rumah musnah.

“Biarpun kehilangan rumah, namun saya bersyukur kerana terselamat dan masih diberi peluang untuk hidup.

“Disebabkan tidak mempunyai rumah, saya menjadikan sepohon pokok sebagai tempat berteduh. Satu hari, saya bermimpi pokok tersebut menyuruh saya membina rumah menggunakan barang terpakai,” jelasnya.

Tujuh bulan

Sebaik bangkit dari tidur, Ponce mula memikirkan semula mimpinya itu.

“Saya dapati dalam banyak-banyak barangan terpakai, botol merupakan bahan yang sesuai untuk membina rumah.

“Bermula dari saat itu, saya mula berusaha mengumpul botol plastik yang dibuang selain meminta daripada rakan-rakan dan keluarga,” jelasnya lagi.

Menurut Ponce lagi, sepanjang tujuh bulan mengutip botol terpakai, dia sering dihina oleh orang sekeliling.

“Mereka bertanya apa yang saya ingin buat dengan ribuan botol tersebut dan apabila saya mengatakan untuk membuat rumah, mereka ketawa dan mengatakan saya gila,” jelasnya.

Biarpun begitu, Ponce langsung tidak mengendahkan kata-kata cemuhan yang diterimanya itu.

Sebaliknya, dia mula membina sebuah rumah menggunakan botol-botol yang dikutipnya itu.

Menurut Ponce lagi, biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam hal-hal berkaitan pembinaan rumah, namun dia mengakui proses tersebut tidak sukar.

“Membina rumah memerlukan banyak kesabaran dan kreativiti.

“Walaupun menggunakan barangan terpakai, ia tidak menghalang saya daripada menjadikan rumah ini kelihatan cantik.

“Sebaik mengumpul botol dalam jumlah yang mencukupi, saya mengecatnya menggunakan warna hijau dengan lukisan kelopak bunga warna putih,” jelasnya.

Runtuh

Menurut Maria, proses tersebut mengambil masa lebih dua minggu.

“Sebelum menyusun botol membentuk sebuah rumah, saya meletakkan simen ke atas tanah dan menjadikan tutup botol sebagai jubin lantai.

“Saya kemudian memacak batang kayu di setiap penjuru rumah dan menggantung deretan botol yang telah diikat secara bertingkat-tingkat sehingga menjadi dinding,” jelasnya.

Cerita Maria lagi, biarpun diperbuat menggunakan barangan terpakai, namun kediaman itu lebih tahan daripada rumah sebelumnya.

“Jika hujan, rumah itu akan bergoyang tetapi tidak runtuh.

“Rumah ini kini bukan sahaja menjadi tempat berteduh, tetapi merupakan sumber kewangan.

“Mana tidaknya, para pelancong dari dalam dan luar negara sering berkunjung ke kediaman ini kerana terpegun dengan keunikan rumah botol. Setiap kali datang, mereka akan menitipkan wang kepada saya,” jelasnya.