Hal ini kerana, pelbagai informasi boleh diakses dengan mudah di hujung jari sama ada baik mahupun sebaliknya.

Walaupun pekerja sektor swasta itu telah mencuba sedaya upaya untuk menapis jenis kandungan yang boleh dimuat turun oleh anak-anaknya itu, ia tetap mengundang curiga dalam hati.

“Sebagai seorang bapa, sebolehnya saya mahu anak-anak ini tidak dipengaruhi oleh trend yang tidak sihat.

“Saya akan memantau dan menyelia semua gajet sama ada telefon pintar atau komputer riba supaya dapat memastikan peranti mereka bebas daripada kandungan pornografi,” tegasnya ketika ditemui K2 di Putrajaya baru-baru ini.

Bagi lelaki kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu, kandungan pornografi atau berunsur lucah itu merupakan sesuatu yang tidak seharusnya disimpan oleh generasi muda.

Pada hematnya, ia merupakan punca kepada berleluasanya gejala sosial seperti seks bebas, luar tabii dan banyak lagi.

“Lebih menakutkan, ketagihan kepada kandungan pornografi juga dikhuatiri menjadi salah satu punca kepada pelbagai jenayah bawah umur,” ujarnya lagi.

Kosmo! pada 3 Julai lalu melaporkan, keta­gihan seorang murid sebuah sekolah rendah menonton video lucah menggunakan telefon bimbit menyebabkan dia bertindak di luar batas apabila tergamak merogol anak asuhan ibunya yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu Gajah, Perak baru-baru ini.

Murid tahun enam berusia 12 tahun tersebut dikatakan telah merogol mangsa sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan lalu.

Difahamkan, dia menggunakan telefon bimbit miliknya yang dibeli sejak tahun lalu untuk menonton video lucah ber­kenaan.

Perbuatan terkutuk calon ­Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu terbongkar selepas mangsa mengadu sakit pada bahagian kemaluan kepada ibunya.

Difahamkan ibu suspek berusia 42 tahun itu menjaga lapan orang anak asuhan berusia dua hingga 11 tahun termasuk mangsa.

Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut akibat terpengaruh dengan video lucah yang dilihatnya melalui telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Jenayah seksual bawah umur

Sementara itu, kajian Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018 mendedahkan data kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja.

Malah, berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), laman web lucah berada di kedudukan nombor satu paling tinggi yang disekat bermula awal tahun hingga Oktober 2017, iaitu sebanyak 2,684 laman pornografi.

Mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tahun 2017, sebanyak lima kes rogol kanak-kanak berlaku setiap hari di negara ini dengan 13,272 kes dilaporkan sejak tahun 2010 lagi.

Kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah sebanyak tujuh peratus daripada keseluruhan jenayah seksual itu.

Majoriti mangsa seksual pula sebanyak 86 peratus mengenali suspek penjenayah berbanding mangsa yang tidak mengenali suspek, iaitu 14 peratus.

Kes budak berusia 12 tahun merogol kanak-kanak berusia empat tahun itu bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi perlakuan itu adalah kemuncak kerosakan sahsiah seorang kanak-kanak yang turut menjadi mangsa keadaan.

Menurut Penceramah Modul Goodbye Pornography dan PLF Sexual Education For Parents, Mohd. Fadhli Othman, dalam kes tersebut, permulaan masalahnya ialah sifat ingin mencuba dan diikuti oleh keinginan melakukannya.

Kemudiannya, ia mewujudkan suatu kebiasaan atau normalisasi, yang akhirnya membawa ketagihan.

“Mungkin dalam usia seawal itu, dia sendiri tidak faham perlakuannya itu, tetapi hanya ingin meniru dan mencuba apa yang dilihatnya.

“Bagi suspek yang masih belum panjang langkahnya, dia menterjemahkan apa yang ditonton kepada mangsa yang paling dekat dengan hubungan dan jarak dengannya,” jelasnya.

Tambah Mohd. Fadhli, ketagihan pornografi sebagai suatu penyakit mental yang disebut sexual disorder-paraphilia.

Ia tergolong dalam masalah sama seperti keinginan seksual terhadap mayat (necrophilia), keinginan seksual kanak-kanak (pedofilia) dan keinginan seksual terhadap haiwan (zoophilia).

Permulaan ketagihan itulah yang akan mendorong seseorang itu untuk memuaskan nafsu sendiri melalui pelbagai cara termasuk onani dan sebagainya.

Pendidikan seks

Jelas Fadhli lagi, 90 peratus perkara yang dilihat oleh anak di bawah umur tujuh tahun melalui gajet akan tersimpan di dalam otak depannya atau lebih dikenali dengan pre frontal cortex (PFC).

Fungsi PFC ialah memikirkan sesuatu yang relevan, rasional atau yang melibatkan kemahiran berfikiran aras tinggi.

Dibimbangi jika kurang pengawasan, lama kelamaan anak-anak itu membesar melalui proses normalisasi, yang mana mereka fikir tindakan yang menghasilkan keseronokan itu adalah sesuatu yang tidak salah serta tidak memberi kemudaratan kepada masa depan.

Kesalahan yang telah dinormalisasi itu dikhuatiri menjuruskan kepada perubahan nilai dalam sesuatu masyarakat.

Dalam kes ini, perbuatan tidak bermoral akan dinilai sebagai perkara biasa apabila ia telah diterima oleh masyarakat.

Bermula dengan ketagihan yang tidak melibatkan orang lain, ia akan membesar kepada jenayah yang lebih besar seperti merogol atau melakukan perkara yang bertentangan moral dan agama apabila tahap ketagihan pertama tidak dibendung.

“Justeru itu, individu yang terlibat memerlukan rawatan daripada pakar psikiatri dan psikologi dari unit hospital yang pakar dalam bidang berkenaan,” tegasnya.

“Jangan sampai suatu hari nanti setelah kesalahan itu telah dinormalisasi, kita nampak orang melakukan seks terang-terangan di tepi jalan dan tiada seorang pun akan peduli,” tegasnya.

Oleh itu, pesan Mohd. Fadhli, ibu bapa seharusnya memainkan peranan sebagai individu paling rapat dengan anak-anak untuk mendidik anak dengan pendidikan seks secara tepat.

Hal ini kerana pendidikan seks itu telah pun diajarkan dalam silibus pendidikan seawal sekolah rendah lagi.

Dengan memperkasa bahagian pendidikan seks, kanak-kanak lebih bersedia untuk menerima informasi berkaitan seks sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah jenayah seksual kanak-kanak.

Sekatan

Dalam pada itu, pengamal keselamatan dan ketenteraman awam, Mior Roslan Mior Mohd. Jaafar berkata, ketagihan porno yang kritikal pada usia muda secara tidak langsung boleh membawa kepada berlakunya jenayah seksual kanak-kanak.

Katanya, individu yang mengalami ketagihan pornografi khususnya bagi golongan kanak-kanak boleh menjerumus kepada seks sebelum berkahwin, seks bebas, seks tanpa rela atau lebih parah lagi, jenayah rogol.

“Golongan muda yang seronok menonton kandungan lucah akan timbul perasaan ingin mencuba dan semestinya akan menjadikan individu lebih muda sebagai mangsanya.

“Lebih menakutkan lagi, ketagihan pada usia muda ini boleh mengundang masalah seperti rogol berkumpulan akibat pengaruh tontonan pornografi itu,” kongsinya.

Pada hemat Mior Roslan, kandungan pornografi atau berunsur lucah tidak sepatutnya tersebar dengan mudah.

Biarpun pihak berkuasa telah menyekat laman web berunsur lucah, ia tetap boleh diakses oleh golongan penagih pornografi.

“Golongan penagih ini akan cuba sedaya upaya untuk membolosi barisan pertahanan yang telah dibina oleh pihak berkuasa.

“Oleh itu, pihak berkuasa haruslah lebih arif daripada masyarakat supaya kandungan pornografi dapat ditapis dan dihalang dengan efisien daripada terus tersebar,” ujarnya lagi.

Ketagihan pornografi adalah suatu penyakit mental yang disebut sexual disorder-paraphilia dan ia perlu dirawat sebelum berlakunya pelbagai implikasi dalam masyarakat termasuk jenayah seksual kanak-kanak.

Kanak-kanak perlu dididik dengan pendidikan seks yang tepat agar masalah seperti jenayah seksual dapat dihindari.-Gambar hiasan