SEAWAL pukul 3 petang, suasana jeti nelayan di Kampung Inderasabah, Tawau, Sabah mula sibuk dengan rutin harian penduduk di situ.

Selain menjadi nelayan pantai, sebahagian besar penduduk di kampung berkenaan turut bekerja di bagang, sebuah tempat khas untuk aktiviti menangkap ikan bilis yang terletak di kawasan perairan cetek, kira-kira 2 kilometer dari darat sebagai mata pencarian.

Walaupun aktiviti menangkap ikan bilis hanya bermula selepas pukul 7 malam iaitu apabila hari sudah gelap, namun mereka perlu pergi ke bagang beberapa jam lebih awal untuk membuat persiapan.

“Biasanya, pekerja bagang akan mula ke laut seawal pukul 3 petang dengan membawa beberapa peralatan seperti tong gas, generator dan beberapa barangan lain.

“Setiap bot akan membawa kira-kira 10 orang pekerja dan pemandu bot akan singgah di beberapa buah bagang untuk menghantar pekerja dan peralatan tersebut.

“Proses tersebut mengambil masa agak lama. Sebab itulah mereka akan ke laut lebih awal sebelum waktu gelap,” kata Sabturani Hamzah, 51, penduduk Kampung Inderasabah yang juga pemilik bagang.

Dia telah memulakan kerjaya sebagai penangkap ikan bilis sejak 18 tahun lalu selepas mengambil keputusan untuk tidak lagi ke laut bagi menangkap ikan.

Kata beliau, aktiviti menangkap ikan bilis di kawasan perairan Tawau berbeza dengan kaedah yang digunakan oleh nelayan di Semenanjung Malaysia yang lazimnya menggunakan bot untuk memukat ikan bilis.

“Di Sabah termasuk kawasan Tawau, nelayan menggunakan kaedah bagang iaitu sejenis struktur yang dibina di kawasan laut cetek menggunakan batang pokok nibong dan buluh.

“Bagang yang dibina bersifat kekal dan tidak boleh diubah kedudukannya. Oleh itu, kebanyakan pemilik bagang terpaksa bergantung nasib kepada pasang surut air laut untuk mendapatkan hasil tangkapan,” katanya yang memiliki hampir 10 unit bagang.

Menyentuh tentang kaedah penangkapan ikan bilis menggunakan kaedah bagang, jelas Sabturani, setiap bagang yang berkeluasan kira-kira 100 meter persegi akan dilengkapi dengan satu set pukat bersaiz besar yang dipasang di bawah pelantar bagang.

Pukat tersebut katanya, akan diturunkan ke dasar laut yang berkedalaman kira-kira 10 meter dari permukaan air ketika hari sudah gelap, manakala satu set lampu akan digantung berhampiran permukaan air untuk menarik perhatian ikan bilis.

Gred

Jelas beliau, ikan bilis lazimnya bergerak dalam kawanan akan berkumpul dan berlegar-legar di bawah cahaya lampu dalam tempoh yang agak lama.

“Biasanya, pukat akan dibiarkan berada di dasar laut antara dua hingga tiga jam bagi membolehkan lebih banyak ikan bilis masuk ke kawasan bawah bagang.

“Pada waktu biasa, pekerja di bagang mampu menaikkan pukat antara dua hingga tiga kali sepanjang malam sehingga waktu subuh.

“Tetapi pada musim ikan bilis banyak, pukat akan diangkat lebih kerap bagi mendapatkan jumlah tangkapan yang lebih tinggi,” katanya hasil tangkapan boleh mencecah sehingga 100 kilogram (kg) semalam ketika musim tertentu.

Menurut Sabturani, bagi mengekalkan kesegaran ikan bilis yang ditangkap, ia akan terus direbus di dapur khas di atas pelantar bagang sebelum dihantar ke jeti selepas hari sudah siang untuk proses menjemur.

Proses menjemur ikan bilis pula akan dilakukan di atas para khas. Ia mengambil masa antara tiga hingga empat hari sebelum digred mengikut saiz dan dipasarkan.

Harga tinggi

“Selain sebagai pemilik bagang, saya juga merupakan peniaga ikan bilis.

“Pada waktu biasa, saya mampu memasarkan sekitar 200kg bilis yang sudah diproses. Harga pula dijual antara RM25 hingga RM40 sekilogram bergantung kepada gred dan musim tangkapan,” katanya.

Terdapat tiga gred ikan bilis yang biasanya dihasilkan oleh pengusaha di situ iaitu bilis mata biru (gred 1), bilis belah kecil (gred 2) dan bilis belah besar (gred 3).

Dalam pada itu, seorang lagi pemilik bagang, Arifudin Samsudin, 46, memberitahu, terdapat dua spesies ikan bilis yang banyak terdapat di perairan Tawau iaitu bilis mata biru dan bilis bulat.

Dia yang sudah tiga dekad terlibat dalam penangkapan ikan bilis menggunakan bagang berkata, bilis mata biru merupakan spesies bersaiz kecil. Panjangnya kira-kira dua hingga tiga sentimeter dan sukar diperoleh.

Ia biasanya banyak ditangkap pada bulan November hingga Disember setiap tahun, berbanding bilis bulat yang boleh ditangkap sepanjang tahun terutama pada waktu bulan gelap.

Disebabkan itulah kata Arifudin, ikan bilis mata biru mempunyai harga yang tinggi di pasaran.

“Ikan bilis mata biru senang untuk dikenali. Selain bermata biru, warna badannya juga sangat putih berbanding ikan bilis spesies lain.

“Disebabkan saiznya yang kecil, ikan bilis mata biru sangat enak dan rangup jika digoreng serta dijadikan sambal nasi lemak,” katanya.

Dia yang memiliki dua unit bagang di perairan Tawau turut membeli hasil ikan bilis daripada nelayan lain di sekitar perkampungan itu untuk dipasarkan.

Malah kata Arifudin, dia turut mempunyai pelanggan tetap dari Semenanjung Malaysia yang kerap menghubunginya untuk mendapatkan stok ikan bilis dari perairan Tawau terutama bilis mata biru.

Dalam pada itu, seorang peniaga produk laut di Pasar Tanjung Tawau yang kini dikenali sebagai Pusat Transformasi Bandar Tawau, Sudaya Hamzah, 62, berkata, kebiasaannya pelancong yang datang ke Tawau akan singgah di pasar berkenaan bagi mendapatkan pelbagai hasil laut.

Sepanjang tiga dekad berniaga di situ antara yang menjadi pilihan pembeli tentulah ikan bilis mata biru selain ikan-ikan lain yang telah diproses kering.

“Ikan bilis mata biru memang mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelancong khususnya mereka yang datang dari Semenanjung Malaysia kerana keenakannya.

“Namun, bekalan yang kurang telah menyebabkan harganya agak tinggi berbanding ikan bilis lain,” katanya.