Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FOA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, populariti nasi sebagai sumber tenaga utama menjunam lebih dua pertiga apabila sebilangan besar penduduk Taiwan beralih kepada bijirin dan makanan super dalam diet harian mereka.

Makanan super cenderung dikaitkan dengan makanan yang mempunyai nutrisi untuk kesihatan meskipun manfaatnya kadangkala dieksploitasi pihak tertentu untuk tujuan pemasaran produk.

Trend tersebut dilihat lebih ketara di kawasan bandar yang didorong dengan peningkatan pendapatan, perubahan iklim dan kebimbangan masyarakat terhadap bekalan makanan sihat.

“Masa kecil dulu nasi menjadi makanan utama saya. Tetapi kini saya makan lebih banyak sayur-sayuran, ikan dan daging. Saya rasa ia lebih bagus untuk tubuh saya.

“Orang ramai membelanjakan wang yang banyak untuk makanan dan mahu makanan sihat. Kini, beras tidak lagi dilihat sebagai pilihan ideal untuk kami,” ujar Guan Po, 24, yang berhijrah ke Taipei untuk menyambung pengajian di sebuah universiti di ibu negara Taiwan itu.

Dominan

Kira-kira 90 peratus pengeluaran dan penggunaan beras global bertumpu di Asia mewakili kira-kira 60 peratus populasi daripada penduduk dunia.

Selain Taiwan, data FOA menunjukkan trend perubahan diet serupa turut melanda Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong. Dalam hal ini, penggunaan per kapita beras telah jatuh kira-kira 60 peratus di Hong Kong sejak tahun 1961.

Sementara itu, Jepun menyaksikan kemerosotan penggunaan beras hampir 50 peratus dengan Korea Selatan menyusut kira-kira 41 peratus sejak tahun 1978.

Kesan ketara yang dapat dilihat ialah pengambilan ikan, daging, tenusu, buah-buahan dan sayuran telah meningkat sementelah orang ramai perlu mencari penyelesaian dalam memenuhi keperluan pemakanan mereka.

Ahli ekonomi kanan FAO di Bangkok, David Dawe berkata, padi masih menjadi tanaman paling penting di rantau Asia. Begitupun, ia tidak akan menjadi dominan pada tahun-tahun akan datang apabila lebih banyak makanan baharu dihasilkan.

FOA turut melaporkan pengeluaran bijirin quinoa meningkat lebih daripada 70 peratus dari tahun 2000 hingga 2014 dan ia dipasarkan sebagai makanan super.

Dalam hal ini, FAO menggalakkan usaha menjadikan bijirin sebagai makanan alternatif beras dan menyifatkan sebagai tanaman pintar. Pertubuhan tersebut turut mempromosikan projek akuakultur seperti aktiviti menternak udang, ikan tilapia untuk membantu meningkatkan pendapatan petani.

“Negara-negara juga mula mengambil isu-isu kekurangan zat makanan, kekurangan mikronutrien dan isu obesiti dengan serius.

“Kekurangan zat makanan dan perubahan iklim juga menjadi kebimbangan utama bagi ahli biologi dan penternak,” jelas profesor dari Universiti Arizona, Rod Wig yang baru-baru ini menjalankan kajian jujukan genom tujuh jenis padi liar.

Beras dikatakan berasal dari Lembah Sungai Yangtze di China lebih 10,000 tahun silam. Nasi dipercayai dimakan oleh orang kaya dan tidak mudah hidup subur di sebarang tempat sehinggalah kerajaan republik itu memperkenalkan revolusi hijau pada tahun 1960-an.

Katanya, ia merupakan projek memperkenalkan biji benih dan baja yang lebih baik bertujuan meningkatkan pengeluaran komoditi tersebut.

Berbeza di Taiwan, bijirin milet merupakan makanan ruji penduduk peribumi dan desa. Ia mempunyai status tinggi berbanding beras dan digunakan dalam upacara ritual.

Dalam pada itu, seorang saintis utama di Institut Penyelidikan Tanaman Antarabangsa di Hyderabad, India, S.K. Gupta berkata, di India kekurangan zat makanan adalah satu sebab kerajaan mengetengahkan milet yang kaya dengan protein, serat, mikronutrien berbanding beras serta gandum.

Tanaman milet memerlukan kurang air dan lebih tahan iklim panas selain mampu hidup di kawasan tanah bergaram yang merupakan faktor penting untuk bertahan dalam keadaan peningkatan suhu dan paras air laut di Asia Selatan.

Menu sihat

“Dari segi sejarah, kebanyakan penduduk makan milet dan jagung. Tetapi, apabila berpindah ke kawasan bandar, mereka beralih kepada beras dan gandum.

“Tetapi kini, kami berpendapat, pengguna digalakkan kembali kepada milet jika mereka merasakan ia lebih mudah didapati atau boleh mendapatkannya pada harga yang lebih kompetitif,” tuturnya.

Di Filipina yang merupakan salah sebuah daripada negara pengimport beras terbesar di dunia, kerajaan telah mempertimbangkan makanan pengganti seperti jagung, pisang, keledek, taro (sejenis ubi) dan bijirin dikenali sebagai adlai yang turut dikenali sebagai barli mutiara Cina.

Di sisi lain, industri makanan dan tukang masak memenuhi kehendak pelanggan dengan menawarkan menu sihat seperti bijirin dalam roti dan pasta.

“Ia mengambil masa yang agak lama untuk membuatkan orang teruja dengan bijirin yang kurang dikenali seperti ragi dan genus tumbuhan bijirin seperti jowar dan kodo.

“Kami membawakannya dalam gaya makanan baharu agar dapat menarik minat generasi muda,” ungkap cef di restoran terkemuka Asia, The Bombay Canteen, Thomas Zacharias. – Reuters