SEAWAL pukul 7 pagi, beberapa orang pekerja di ladang buah-buahan Saliran Mampan Sdn. Bhd., (Saliran Mampan) yang terletak di Sungai Klau, Raub, Pahang sudah bersedia untuk memulakan rutin harian mereka.

Pada hari itu, Suk Bahadur, 28, yang merupakan warga Nepal ditugaskan untuk memetik buah bidara yang tanam di sebidang tanah seluas kira-kira 0.2 hektar di ladang berkenaan.

“Tugas memetik buah bidara ini agak senang kerana pokoknya yang tidak terlalu tinggi dan agak rendang.

“Oleh itu, kebanyakan buah boleh dipetik terus dengan tangan kerana dahannya yang rendah.

“Jika buah berada di dahan yang tinggi, barulah saya akan gunakan tangga untuk mengambilnya,” jelas lelaki itu yang sudah empat tahun bekerja di ladang buah-buahan tersebut.

Jelas Suk, kebiasaannya dia akan bertugas memetik buah itu bersama seorang lagi rakannya manakala pekerja lain ditugaskan untuk memetik buah-buahan yang lain untuk dikumpul sebelum dijual.

Tambahnya, buah bidara di ladang berkenaan akan dipetik antara dua hingga tiga kali seminggu pada musim biasa.

Pada musim berbuah lebat, kekerapan menuai buah berkenaan boleh mencecah sehingga empat kali seminggu.

Pokok bidara dipercayai berasal dari Asia Tengah terutamanya negara yang memiliki musim kering.

Namun pada masa ini, hanya beberapa negara yang menanamnya untuk dikomersialkan iaitu China, India dan Thailand.

Di ladang Saliran Mampan, terdapat 24 batang pokok bidara yang hidup subur dan masih berbuah walaupun usia pokok tersebut sudah menjangkau 12 tahun.

Menurut pemilik ladang tersebut, Lim Chin Kee, pada asalnya dia menanam 42 pokok bidara pada tahun 2006 dengan kesemua benih diperoleh dari Thailand.

Namun, bagi tujuan penjarangan pokok bagi mendapatkan hasil yang lebih berkualiti, hanya sebahagian sahaja dibiarkan terus tumbuh manakala yang lainnya ditebang.

Katanya, pertama kali dia menikmati buah bidara ialah ketika melawat Taiwan pada tahun 2005.

Disebabkan rasanya yang enak, manis dan lebih rangup daripada epal hijau, dia mengambil keputusan untuk menanam pokok tersebut di ladang miliknya.

Jaring besi

“Di negara ini, saya tidak pernah mendengar mana-mana pengusaha ladang buah-buahan yang menanam pokok bidara untuk tujuan komersial kecuali saya.

“Itu pun, hanya tinggal tidak sampai 30 pokok yang ada dan masih mengeluarkan buah,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian daripada Universiti Putra Malaysia itu.

Jelas Chin Kee lagi, berbanding pokok buah-buahan lain yang terdapat di ladangnya yang berkeluasan kira-kira 6.4 hektar, hanya pokok buah bidara ditanam dengan sistem net iaitu menggunakan jaring besi halus supaya tidak dimasuki serangga manakala yang lainnya ditanam secara terbuka.

Langkah itu bagi memastikan buah yang terhasil tidak menjadi mangsa serangan serangga buah selain membolehkan pengeluaran buah yang lebih berkualiti serta optimum.

Jelasnya, dia juga mengamalkan sistem pangkasan pada semua pokok bidara yang ditanam bagi memudahkan kerja-kerja menuai buah dilakukan.

Tiada musim

“Sistem pangkasan sangat perlu bagi mengawal tahap ketinggian pokok agar tidak melebihi 3.5 meter. Jika pokok terlalu tinggi, ia akan menyukarkan kerja-kerja menuai buah selain memakan masa yang lebih lama untuk mengutip buah yang sudah masak.

“Saya juga melakukan sistem penjarangan buah bagi membolehkan buah yang terhasil lebih besar dan manis,” katanya.

Katanya lagi, jika zat pada pokok mencukupi, ia mampu mengeluarkan buah sebesar epal hijau selain rasa yang manis dan rangup.

Buah bidara yang sudah masak boleh dikenali menerusi bahagian atasnya yang agak licin berbanding buah muda yang berkedut selain berwarna hijau kekuningan.

Menjelaskan mengenai musim berbuah bagi pokok tersebut, Kim Chee memberitahu, pokok bidara bukanlah pokok buah yang bermusim dan ia akan mengeluarkan buah sepanjang masa.

Cuma ada ketikanya pokok tersebut akan mengeluarkan buah dalam kuantiti yang lebih banyak berbanding biasa dan boleh mencecah sehingga lima atau enam kali dalam tempoh setahun.

Jika pada waktu biasa pokok bidara di ladang tersebut boleh menghasilkan kira-kira 50 kilogram (kg) setiap kali tuaian, namun pada musim berbuah lebat, ia boleh menjangkau antara 100kg hingga 200kg.

Ketika ditanya kawasan pasaran buah bidara keluaran ladangnya, Kim Chee berkata, disebabkan jumlah buah yang dihasilkan tidak banyak, dia hanya mampu memasarkannya kepada peniaga buah-buahan di sekitar Bentong dan Karak, Pahang.

“Saya sudah mempunyai beberapa peniaga buah-buahan yang sememangnya mengambil pelbagai jenis buah-buahan daripada ladang ini.

“Oleh itu, saya hanya memasarkan buah bidara kepada mereka kerana jumlah pengeluaran yang masih rendah serta tidak mencukupi untuk dipasarkan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Gred

Dalam pada itu, seorang penyelia di ladang tersebut, Lim Ching Hooi, 63, memberitahu, dia akan melakukan penggredan buah-buahan yang dikutip sebelum dihantar kepada pelanggan.

Sama seperti juga buah-buahan lain iaitu jambu air, jambu batu dan nangka madu, buah bidara juga perlu melalui proses tersebut bagi memastikan hanya yang berkualiti dipasarkan.

“Biasanya, proses mengutip buah bidara akan dilakukan pada waktu pagi dan penggredan akan dibuat sebaik buah diletakkan di tempat pengumpulan sebelum dihantar kepada pelanggan yang kebanyakannya merupakan peniaga buah-buahan,” katanya.

Bagi seorang peniaga di Perkampungan Bukit Tinggi, Bentong, Lucia Anak Irut, 30, dia merupakan satu-satunya peniaga buah-buahan di situ yang memasarkan buah bidara.

Katanya, dia telah menjual buah bidara yang diambil dari ladang milik Chin Khee sejak lebih sedekad lalu.

Buah tersebut dijual pada harga RM25 sekilogram.

“Kebanyakan pelancong akan membeli buah bidara yang dijual di gerai saya kerana ia sukar diperoleh di tempat lain,” katanya yang memiliki dua buah gerai di kawasan berkenaan.