Bagaimanapun, setiap pasangan yang berkahwin perlu memahami bahawa perkahwinan itu ada cabaran dan dugaannya termasuk penceraian.

Banyak perkara yang boleh menjadi punca perceraian seperti kerjaya, penyakit, keluarga dan yang sering terjadi ialah curang.

Tidak kira sesiapa, kes curang boleh melibatkan semua orang termasuklah pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin dan kekasih yang sedang hangat bercinta.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kes seorang lelaki maut apabila dibelasah oleh 10 orang individu selepas mangsa dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan isteri salah seorang suspek.

Namun, ini bukanlah perkara baharu memandangkan pada 1999 pernah berlaku kejadian seorang penyanyi maut selepas dibunuh oleh seorang lelaki yang mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Persoalannya yang timbul di sini adalah tentang wajarkah pelaku kes curang itu dibalas dengan tindakan terburu-buru sehingga mengakibatkan masalah yang lebih teruk.

Menurut Pakar Psikologi Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail, setiap perbuatan yang kesannya akan mencederakan orang adalah tidak dibenarkan apatah lagi jika menyebabkan kematian.

Undang-undang

Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan perlu dipatuhi demi kebaikan semua pihak.

“Memang diakui sesiapa yang berdepan dengan isu sebegini akan mudah marah serta berkemungkinan hilang pertimbangan yang rasional apatah lagi jika individu itu melihat sendiri perbuatan curang tersebut di depan matanya, mungkin kesannya akan menjadi lebih teruk.

“Namun dalam setiap apa keadaan sekalipun seseorang itu harus ingat kesan yang akan berlaku atas setiap perbuatan. Jangan hanya disebabkan emosi, kes yang boleh diselesaikan berubah menjadi lebih berat seperti kejadian pembunuhan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, adalah lebih baik memikirkan jalan penyelesaian terlebih dahulu sebelum melakukan perkara yang terburu-buru sehingga memudaratkan diri sendiri.

Tambah Rozmi, setiap individu juga sepatutnya perlu mempelajari teknik pengurusan emosi yang berkesan dalam memastikan pemikiran sentiasa terkawal dan berada dalam keadaan waras.

“Perkara ini nampak ringkas tetapi hakikatnya sangat penting apabila berdepan dengan situasi yang mampu menggugat kesabaran.

“Maka di sinilah seseorang itu perlu bijak dalam mengawal emosinya. Jika gagal maka buruk padahnya,” katanya.

Sementara itu, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, tindakan berbentuk keganasan bukanlah jalan terbaik dan betul dalam menangani isu kes curang disebabkan orang ketiga.

Menurutnya, daripada melakukan perbuatan terburu-buru sehingga menyebabkan kematian, adalah lebih baik mangsa ataupun pasangan yang terlibat menanganinya melalui pelaksanaan undang-undang.

“Sebenarnya di negara ini mempunyai undang-undang syariah yang boleh dikenakan kepada orang ketiga atau dengan kata lain individu sama ada lelaki atau perempuan yang menggugat kebahagiaan perkahwinan serta rumah tangga seseorang.

“Asalkan orang ketiga ini menjadi penyebab kepada ketidakharmonian pasangan itu, maka individu tersebut boleh disabitkan melakukan jenayah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya.

Tambah Suzana, akta tersebut terdapat serta diaplikasikan di setiap negeri yang ada di negara ini.

“Jika di Wilayah Persekutuan, orang ketiga boleh didakwa di bawah Seksyen 36, Seksyen 37 dan Seksyen 38 akta tersebut yang membawa maksimum hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan peruntukan ini, sesiapa sahaja yang menjadi penghalang hubungan bahagia antara seseorang dan pasangannya boleh dibicarakan,” tegasnya.

Mengulas mengenai langkah yang perlu dilakukan, Suzana memberitahu, mereka yang menjadi mangsa orang ketiga boleh mengemukakan aduan ke Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan Mahkamah Syariah yang berdekatan.

“Di dalam aduan tersebut, mangsa perlu menjelaskan dengan terperinci mengenai hubungan pasangan dengan orang ketiga sehingga memporak-perandakan rumah tangga.

“Mangsa juga perlu mengemukakan segala bukti yang ada berkaitan hubungan pasangan yang curang itu sama ada dalam bentuk gambar, bila telefon atau e-mel dan lain-lain lagi. Aduan itu kemudiannya akan diselidiki dan jika disabitkan bersalah, lelaki atau wanita terlibat akan dikenakan hukuman yang telah ditetapkan,” ujarnya.