Kini selepas empat dekad, namanya bersama barisan legenda bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk James Wong, Bakri Ibni, Kamarudin Abdullah, Datuk Santokh Singh, Khalid Ali, Hassan Sani mahupun mendiang Datuk R. Arumugam masih lagi menjadi ingatan peminat serta penggiat sukan negara.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, anak jati Pulau Mutiara itu pernah mendapat gelaran sebagai Mr. Cool oleh rakan-rakan sepasukannya memandangkan beliau dilihat cukup tenang apabila mengemudi bahagian tengah.

Ditanya mengenai pengalaman sepanjang pembabitannya bersama skuad kebangsaan, Shukor berkata, perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka pada 6 April 1980 antara kenangan paling sukar dilupakannya.

“Masih lagi ingat insiden yang menyebabkan saya mengalami kecederaan pada betis kanan dalam perlawanan tersebut Insiden itu berlaku pada babak pertama perlawanan apabila saya tiba-tiba diterjah keras oleh salah seorang pemain Korea Selatan.

“Akibat terjahan itu, betis saya berlubang dan darah banyak keluar sehingga menyebabkan saya sukar beraksi. Berkali-kali saya menunjukkan isyarat kepada jurulatih, mendiang Karl-Heinz Weigang (untuk dikeluarkan).

“Bagaimanapun, beliau tetap meminta saya meneruskan perlawanan selama kira-kira 15 minit sebelum akhirnya saya dibenarkan keluar padang,” katanya ketika ditemui Rembat Kosmo! di kediamannya di Tanjung Tokong, Pulau Pinang baru-baru ini.

Shukor berkata, beliau terkilan kerana tidak dapat meneruskan perlawanan yang dianggap paling bersejarah itu sehingga wisel penamat dibunyikan kerana hilang tumpuan akibat kesakitan yang dialami.

Dalam perlawanan itu, Malaysia berjaya membenam Korea Selatan 2-1 seterusnya melayakkan diri pada Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Namun, hasrat Shukor dan rakan-rakan pasukannya beraksi pada temasya sukan paling berprestij dunia itu tidak kesampaian berikutan Malaysia bertindak memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana membantah serangan ke atas bumi Afghanistan.

Mengulas mengenai penglibatan awalnya dalam karier bola sepak, beliau yang merupakan anak kepada seorang bekas guru di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat memberitahu, minat mendalam terhadap sukan itu bermula sejak berusia enam tahun.

“Semasa itu, saya selalu menghabiskan masa lapang dengan bermain bola di padang Sekolah Melayu Tanjung Tokong yang terletak di belakang rumah.

“Saya mula bergiat aktif dalam sukan ini sejak darjah satu hingga enam di Sekolah Inggeris Tanjung Tokong sehingga saya mewakili peringkat sekolah.

“Sebaik memasuki ke alam sekolah menengah, saya terpilih mewakili sekolah dalam kategori Bawah 15 dan 17 pada tahun 1966 sehingga pernah meraih gelaran juara Sekolah-sekolah Pulau Pinang dan Juara Piala Burnley.

“Bermula daripada saat itu, saya memegang prinsip supaya memandang ke hadapan sekiranya hendak memperoleh sesuatu kejayaan dalam bidang yang diminati,” ujarnya yang menyarung jersi Malaysia mulai tahun 1971 hingga 1981.