Malah, kebelakangan ini ada di antara mereka bagaikan ‘dirasuk’ untuk berswafoto aksi-aksi ekstrem sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai khususnya ibu bapa.

Keadaan menjadi semakin parah apabila ada yang berswafoto ketika menunaikan ibadah termasuk haji dan umrah.

Rentetan itu, baru-baru ini umat Islam dikejutkan dengan laporan beberapa buah portal antarabangsa yang mendakwa Arab Saudi melarang jemaah haji dan umrah merakamkan gambar di pekarangan Masjidil Haram serta Masjid Nabawi.

Batasan

Menurut salah seorang pengguna media sosial, Nazirull Syamil Ramli, 26, golongan muda khususnya tidak dapat lari daripada berswafoto kerana ia telah menjadi trend di seluruh dunia.

“Saya akan memuat naik sekeping gambar setiap hari di laman Instagram untuk kepuasan diri sendiri selain menambah kenalan baharu.

“Ia membuatkan saya berasa gembira apabila dapat berinteraksi dengan rakan-rakan di laman sosial,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nazirull Syamil berkata, setiap individu mempunyai tujuan yang berbeza apabila berswafoto termasuk merakamkan gambar ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci Mekah.

“Sekiranya ingin mengabadikan kenangan ketika menunaikan ibadah di Mekah ia tidak salah malah menjadi inspirasi kepada orang lain untuk ke Tanah Suci kelak.

“Semuanya bergantung kepada tujuan dan niat masing-masing. Tidak salah berswafoto, namun mereka perlu mematuhi batasan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan masalah lain timbul,” ujarnya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhd. Shukri Muhammad berkata, hukum mengambil gambar atau berswafoto adalah harus dalam Islam tetapi ia boleh berubah mengikut keadaan dan niat.

“Hukum berswafoto adalah harus sekiranya individu itu ingin berkongsi detik indah mereka dan mengabadikannya di laman sosial milik sendiri.

“Namun, ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu termasuklah menutup aurat dan bukan atas tujuan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Muhd. Shukri berkata, sesuatu hukum itu ditentukan berdasarkan dua keadaan iaitu hukum syarak dan pentadbiran.

“Kadang-kadang hukum syarak mengharuskan sesuatu perkara, namun sekiranya pentadbiran sesebuah negara itu melarang maka hukumnya jatuh kepada haram.

“Begitu juga dengan hal ini, sekiranya kerajaan Arab Saudi melarang umat Islam berswafoto maka arahan itu perlu dipatuhi,” katanya.

Tambah Muhd. Shukri, seseorang yang melanggar sesuatu perintah yang dikeluarkan pemerintah sesebuah negara boleh dianggap berdosa.

“Umat Islam bukan sahaja harus mematuhi segala yang terkandung dalam hukum syarak tetapi turut meliputi dasar-dasar pentadbiran sesebuah negara.

“Sekiranya ia tidak dipatuhi boleh menyebabkan seseorang itu berdosa,” jelasnya.

Muhd. Shukri menjelaskan, perbuatan berswafoto dikhuatiri boleh menyebabkan gangguan terhadap orang lain yang turut sama menunaikan ibadah haji atau umrah.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, seseorang yang terlalu taksub dengan swafoto boleh mengakibatkan tekanan dan kemurungan.

Tabiat

“Sekiranya tindakan berswafoto adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan dan keluarga, ia tidak menjadi masalah sebaliknya sekiranya sudah mengalami ketagihan ia akan membawa kesan negatif.

“Seseorang itu akan mengalami stres yang keterlaluan dan tidak dapat mengawal tingkah laku mereka selagi tidak berswafoto,” katanya.

Menurut Fauziah, seseorang yang terlalu obses dengan swafoto sehingga sanggup mengedit gambar mempunyai konsep kendiri fizikal yang rendah dan tidak dapat menerima diri mereka sepenuhnya.

“Swafoto mungkin dilakukan atas tujuan mengisi masa lapang tetapi apabila mendapat pujian daripada rakan-rakan di laman sosial ia akan menjadi tabiat.

“Dalam konteks ini, ia amat berbahaya kerana mereka sanggup melakukan aksi-aksi ekstrem sehingga boleh menjejaskan keselamatan semata-mata untuk mendapatkan gambar yang luar biasa,” jelasnya.

Fauziah berkata, mereka yang ketagihan berswafoto hanya boleh dirawat melalui sesi kaunseling selain mengelakkan diri daripada menggunakan telefon bimbit untuk sementara waktu.

“Ia perlu dirawat pada kadar segera jika sudah ketagihan bagi mengelakkan masalah yang lain akan timbul.

“Mereka perlu mengambil inisiatif untuk bertemu pakar kaunseling bagi menilai tahap keseriusan ketagihan yang dihadapi seterusnya mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.