Pertembungan budaya membawa kepada pelbagai hasil masakan yang amat lazat dan ia lebih meriah apabila tibanya musim perayaan.

Ketika itu, masyarakat akan dihidangkan dengan pelbagai juadah tanpa mengira waktu dan tempat.

Tabiat mengambil makanan secara berlebihan menjadi pintu masuk kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit khususnya diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.

Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa, apatah lagi apabila selera makan melampau yang dilayan tanpa berfikir panjang akan merosakkan hidup sendiri tanpa disedari.

Mudarat

Pakar perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Haizal Haron Kamar berkata, masyarakat sering mengambil ‘racun’ secara berlebihan iaitu gula, garam dan minyak dalam makanan terutama pada musim perayaan.

“Perlu diingatkan gula yang berlebihan di dalam darah boleh mengakibatkan diabetes. Gula bukan sahaja tinggi dalam manisan seperti kuih dan biskut raya tetapi juga air berkarbonat.

“Sekiranya diambil secara berterusan ia akan menyebabkan tekanan ke atas fungsi organ pankreas yang memainkan peranan mengawal kandungan gula dalam darah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru, Haizal Haron berkata, pankreas akan menjadi kurang efektif dan tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi dalam mengoptimumkan paras gula.

Haizal Haron berkata, gula yang berlebihan akan beredar di dalam darah dan dalam jangka masa yang lama akan mendap pada permukaan protein dan saluran darah.

“Selain merosakkan saluran darah dan meningkatkan pembentukan plak yang menyempitkan saluran darah, ia akan merencatkan metabolisma serta fungsi organ di dalam badan secara keseluruhannya.

“Begitu juga dengan lemak dan garam yang diambil secara berlebihan akan mengundang penyakit jantung serta hipertensi. Sekiranya ia tidak dirawat dengan segera berpotensi membawa kepada strok,” katanya.

Oleh itu, Haizal Haron menyarankan supaya masyarakat mengamalkan kesederhanaan dalam menjamu selera pada musim perayaan.

“Amalkan kesederhanaan dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Ini penting sebagai langkah pencegahan daripada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang akibat racun yang tersembunyi,” katanya lagi.

Pemulihan

Sementara itu, Jurulatih Kecergasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhamad Khaidir Ismail berkata, senaman perlu dilakukan bagi mencegah penyakit akibat pengambilan ‘racun’ yang berlebihan ketika musim perayaan.

“Bersenam dalam jangka masa panjang akan meningkatkan kecekapan kebanyakan organ tubuh manusia. Ia sebenarnya membawa manfaat kepada kulit, paru-paru, jantung, sendi dan otot.

“Selain meningkatkan pengaliran darah ke kulit, ia juga akan memperbaiki kecekapan paru-paru mengambil oksigen dari udara dan menguatkan otot untuk bekerja lebih lama,” katanya.

Malah, Muhamad Khaidir berkata, jantung juga akan menjadi lebih kuat menerusi senaman dengan mengepam lebih banyak darah dan mengurangkan risiko kesakitan sendi apabila umur meningkat.

Menurut Muhamad Khaidir, antara aktiviti senaman yang boleh dilakukan adalah berjalan 10,000 langkah sehari, berjoging, berjalan pantas, berenang dan melakukan aktiviti regangan otot.

“Kebiasaannya, tahap kecergasan tubuh akan sedikit merosot setelah tamatnya waktu berpuasa kerana gaya hidup yang pasif.

“Adalah digalakkan untuk melakukan senaman secara berperingkat supaya tubuh dapat menyesuaikan dengan tahap kecergasan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Khaidir berkata, seseorang itu perlu mengikuti beberapa pantang larang bagi memastikan senaman yang dilakukan efektif kepada tubuh badan.

“Digalakkan untuk bersenam selepas empat jam menikmati juadah bagi memastikan makanan yang dimakan telah dihadam dengan sempurna.

“Bersenam pada lewat malam tidak digalakkan kerana tubuh memerlukan rehat yang mencukupi,” katanya lagi.

Muhamad Khaidir turut menyarankan supaya senaman dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 minit untuk satu sesi.