Masing-masing khuatir dengan kesan pengiktirafan tersebut yang bakal mencetuskan pertumpahan darah baharu di Asia Barat serta dunia secara amnya.

Kosmo! pada 8 Disember lalu melaporkan, keputusan Trump mengakhiri kekaburan AS selama tujuh dekad mengenai status kota suci itu yang dituntut dengan lantang oleh kedua-dua belah pihak iaitu Israel dan Palestin.

Menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Fuad Othman, pengiktirafan tersebut akan mencetuskan keganasan yang sukar dibendung dan suasana tegang di Asia Barat.

“Kemarahan dan gelombang kebangkitan atau intifada ketiga bakal mencetus pertumpahan darah serta suasana dunia yang sangat tegang.

“Perkara ini memburukkan lagi konflik yang dihadapi di sana apatah lagi isu Syria masih belum menampakkan jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, rentetan peristiwa ini, serangan keganasan akan bermula kembali dan tidak hairan jika AS menjadi sasaran ekoran rasa kebencian yang tinggi terhadap negara itu.

Ujar Muhammad Fuad, pemilihan Trump sebagai Presiden sejak awal lagi sudah mencetuskan kebimbangan dunia dan kini ia menjadi nyata.

“Pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel merupakan salah satu manifesto kempen pilihan raya Trump yang dilaksanakannya.

“Trump tidak mengikut diplomasi presiden-presiden AS sebelum ini yang cuba mengelak untuk menyentuh isu Baitulmuqaddis walaupun pada hakikatnya mereka penyokong kuat Israel.

“Kemungkinan kekurangan pengalaman Trump dalam hal ehwal antarabangsa dan mempunyai penasihat yang kurang tepat menyebabkan dia berbuat demikian,” terangnya.

Boikot

Dalam menghadapi perkara tersebut, Muhammad Fuad berkata, tekanan daripada semua pihak termasuklah negara-negara bukan Islam sangat penting agar keputusan tersebut ditarik balik.

“Tidak dinafikan masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menentang keputusan itu, tetapi ia hanya bantahan semata-mata dan tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan keputusan tersebut.

“Salah satu cara yang boleh kita laksanakan pada masa ini ialah memboikot barangan yang memberi sumbangan kepada keganasan Israel,” katanya.

Sementara itu, Konsultan Syariah Telaga Biru, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, perkara berkenaan merupakan isu sejagat dan bukan berkaitan dengan Palestin sahaja.

“Persepakatan ulama dahulu dan sekarang menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan orang Islam untuk mempertahankan negara Islam yang dirampas.

“Apatah lagi Baitulmuqaddis yang menjadi salah satu kiblat sebelum ditukar kepada kaabah sebagai kiblat utama pada masa kini,” tuturnya.

Tambahnya, sejarah dan rekod menjadi fakta yang jelas sebagai bukti Baitulmuqaddis itu milik orang Islam dan bukannya Yahudi, mereka adalah perampas.

Menurutnya, Allah SWT memuliakan Baitulmuqaddis dan dikurniakan keberkatan seperti firman-Nya:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haraam (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israa’ ayat satu).

Selain itu, katanya, Rasulullah SAW turut menyarankan agar umat Islam menziarahi tiga tempat iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa yang menjanjikan pahala besar.

Jelas Ahmad Fauwaz, Baginda bersabda,“Kelebihan solat di Masjidil Haram ialah 100,000 kali solat, manakala di Masjid Nabawi ialah 1,000 solat dan Masjid al-Aqsa ialah 500 solat berbanding masjid-masjid di tempat lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar bersatu kerana ia merupakan jalan terbaik untuk menjadikan mereka kuat, menggentarkan musuh dan mengangkat Islam di tempat tertinggi.

“Kita juga perlu memboikot, menunjukkan bantahan secara serius, memberi tekanan ekonomi termasuklah memutuskan hubungan diplomatik jika perlu sebagai tindak balas keputusan ini,” katanya.