Mereka yang lengkap berpakaian sukan itu kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan oleh seorang lelaki yang me­rupakan guru mereka.

Biarpun cuaca pada hari itu terasa sangat dingin, budak-budak itu tetap bersemangat untuk menjalani sesi latihan seperti biasa tanpa sebarang alasan.

Begitulah rutin harian yang dilalui oleh mereka yang merupakan anggota pasukan bola sepak Sekolah Rendah Zhonglianchuan yang terletak di daerah Yuzhong dalam wilayah Gansu, barat laut China.

Apa yang menarik, lokasi Sekolah Rendah Zhonglianchuan itu terletak di kawasan pergunungan yang berada pada ketinggian 2,300 meter dari aras laut selain lokasinya berada jauh terpencil di kawasan pedalaman.

Pasukan bola sepak itu dianggotai oleh anak-anak desa yang datang daripada keluarga miskin dan mendapat akses pendidikan percuma selain tinggal di asrama yang disediakan di sekolah berkenaan.

Paras beku

Kecekalan dan semangat kesukanan yang ditonjolkan itu sememang­nya terserlah apabila masing-ma­sing menunjukkan disiplin yang tinggi setiap kali menjalani sesi latihan.

Tanpa mengira waktu, pasukan bola sepak Sekolah Rendah Zhong­lianchuan itu tetap akan mengadakan sesi latihan biarpun ketika suhu di kawasan pergunungan tersebut berada di bawah takat beku iaitu pada bacaan -20 darjah Celsius.

Hal ini kerana, matlamat dan impian yang ingin dicapai oleh kanak-kanak tersebut cuma satu iaitu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan melihat dunia yang lebih besar.

Sekolah Rendah Zhonglianchuan yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu mempunyai kira-kira 140 orang murid yang terdiri daripada anak-anak desa yang hidup dalam keluarga miskin.

Pengetuanya, Ma Anwu berkata, dia dapat merasai murid-murid yang belajar di sekolah tersebut hidup dalam kebosanan sebelum dia mengambil pendekatan menubuhkan satu pasukan bola sepak yang terdiri daripada 24 orang pemain pada tahun 2012.

“Sekarang hampir 90 peratus murid-murid di sekolah ini termasuk murid perempuan bermain bola sepak dengan membabitkan 13 pasukan,” ujar Anwu kepada agensi berita, Xinhua.

Selepas memperkenalkan sukan bola sepak di sekolah tersebut, murid-murid terbabit akan memperuntukkan masa selama tiga jam sehari, iaitu sejam pada waktu pagi dan dua jam lagi selepas waktu persekolahan untuk melakukan sesi latihan.

Bagi memantapkan lagi kemahiran bermain bola sepak, Anwu akan menganjurkan pertan­dingan antara pasukan pada setiap ­minggu supaya pemain dapat menguasai teknik permainan bola sepak dengan lebih baik.

“Saya ingin melihat pemain-pemain ini keluar daripada kehidupan di pergunungan dan menjadi pemain bola sepak yang mewakili negara.

“Biarkan mereka hidup dalam kemiskinan semasa muda ini de­ngan harapan mereka akan merasai kesenangan apabila dewasa nanti,” kata Anwu.

Akademi Evergrande

Salah seorang pemain perempuan yang juga kapten pasukan bola sepak, Wang Chun, 12, memberitahu, fizikalnya yang lebih tinggi berbanding murid-murid perempuan lain memberi kelebihan kepadanya dalam sukan bola sepak.

Menurut Chun, dia tiada pilihan lain kecuali turut sama menyertai pasukan bola sepak sewaktu dia baru berusia lapan tahun dan te­lah dilatih oleh Anwu dalam sukan tersebut.

Semasa latihan, Chun akan menjalani sesi yang sama dengan pelatih bola sepak lelaki walaupun dalam keadaan cuaca sejuk dan bersalji.

Seawal pukul 6 pagi, Chun dan murid-murid lain akan berlari di lereng-lereng gunung dalam cuaca sejuk mencecah -20 darjah Celsius sehingga menyebabkan jari dan kakinya terasa beku.

Menurut Chun, cuaca sejuk bukanlah masalah utama semasa menjalani sesi latihan bola sepak, kerana cabaran sebenar adalah untuk menggelecek dan menendang bola di kawasan padang yang diselaputi salji tebal.

“Walaupun saya perempuan, ia tidak menjadi masalah kerana minat saya yang mendalam terhadap sukan bola sepak,” ujar Chun yang pernah menghadiri sesi temu duga untuk memasuki salah sebuah akademi bola sepak terkemuka China iaitu Evergrande yang terletak di Guangdong kira-kira 2,000 kilometer dari Gansu.

Walaupun gagal menempatkan diri di Akademi Evergrande, Chun telah ditawarkan untuk menyertai akademi bola sepak Shaanxi yang merupakan antara 10 akademi bola sepak terbaik di China.

Dalam tawaran tersebut, Chun juga dijanjikan peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Shaanxi walaupun jika dia gagal membina kerjaya sebagai seorang pemain bola sepak.

“Menjadi pemain bola sepak dan melanjutkan pengajian di universiti adalah impian besar setiap kanak-kanak dan keluarga miskin di China,” ujar Chun yang akhir­nya bersetuju untuk menyertai akademi bola sepak Shaanxi.

Sehingga kini, sebanyak enam orang murid sekolah tersebut telah diterima masuk ke akademi bola sepak elit terkemuka China, Evergrande dan mendapat tajaan biasiswa penuh.

Seramai 20 orang murid lain pula telah terpilih untuk mema­suki sebuah sekolah sukan terkenal di Lanzhou yang merupakan ibu kota Gansu, manakala lapan orang murid pula telah dipilih untuk menjalani sesi latihan di England bersama kelab bola sepak terkenal, Arsenal dan Stoke City.

Kelas atasan

Peluang belajar di sekolah dan menjalani latihan bola sepak dilihat sebagai jambatan oleh murid-murid miskin itu untuk mengasah bakat dalam sukan bola sepak.

Bakat yang ada sekali gus memberi mereka peluang untuk menjadi pemain negara suatu hari nanti dan mengubah kehidupan yang lebih baik.

Kehebatan Sekolah Rendah Zhonglianchuan melahirkan ramai jaguh bola sepak menyebabkan sekolah tersebut dipilih untuk menjadi sekolah contoh di wilayah Gansu oleh kerajaan tempatan dan menyeru agar sekolah-sekolah lain meneruskan pembangunan sukan bola sepak di China.

Terdahulu, Presiden China, Xi Jinping pernah mengumumkan tiga hasrat peribadi berkaitan bola sepak negara iaitu melihat pasukan China dalam setiap penganjuran Piala Dunia, menjadi tuan rumah Piala Dunia suatu hari nanti dan memenangi Piala Dunia.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, China menganggarkan bahawa menjelang tahun 2020, negara Tembok Besar itu bakal mempunyai 20,000 akademi bola sepak dengan anggaran 30 juta orang pemain sekali gus menjadi sebuah negara bola sepak kelas atasan menjelang 2050.

Untuk rekod, China pernah melayakkan diri menyertai Piala Dunia hanya sekali pada tahun 2002, namun tewas dalam tiga perlawanan sekali gus menduduki tangga tercorot dalam kumpulan C bersama Brazil, Turki dan Costa Rica.