Namun, bagi, Wan Mahamad Saad Wan Chik, 63, dirinya begitu akrab dengan karavan. Pesara itu merupakan antara pengguna kenderaan tersebut dan tambah istimewa ia digunakan untuk mengembara bagi melakukan aktiviti yang amat diminatinya iaitu melukis.

“Bagi saya, karavan ini boleh diumpakan seperti rumah kecil yang serba lengkap dan memudahkan saya ke destinasi dituju.

“Saya dapat melukis dengan tenang dan santai dengan memandu karavan ini. Dengannya mudah untuk saya singgah dan menghuni di lokasi-lokasi berpemandangan menarik untuk saya lukis di atas kanvas,” katanya ketika ditemui K2 pada Pameran Lukisan Mampu Milik Angkatan Pelukis SeMalaysia di Amir’s Painting Studio, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebenarnya percutian atau perkhemahan menggunakan karavan yang turut dikenali sebagai campervan, motorhome dan kenderaan rekreasi (RV) sudah popular di kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan negara-negara Eropah.

Menghuni di mana saja

Walaupun dipraktikkan di negara-negara berkenaan sejak puluhan tahun lalu, kenderaan tersebut boleh dikatakan sukar ditemui di Malaysia berikutan persepsi umum misalnya cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun dikatakan tidak sesuai dengan gaya hidup sebegitu.

Malah, beberapa syarikat swasta pernah cuba memasarkan kenderaan seumpama itu di Malaysia sekitar 1980-an dan 1990-an, namun tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Harga kenderaan terbabit dikatakan terlalu mahal sehingga ratusan ribu, manakala golongan berpendapatan tinggi yang menjadi sasaran sebagai pelanggan pula lebih selesa bercuti di hotel mewah.

Menurut Wan Mahamad Saad atau mesra disapa Pak Wan, keseronokan mengembara sambil melukis menggunakan karavan adalah kerana dia boleh tidur di mana-mana sahaja tanpa perlu menempah penginapan.

Keperluan paling penting di dalam karavan baginya adalah katil dan bekalan elektrik untuk sistem penyejukan sama ada menggunakan kipas atau pendingin hawa selain lampu. Aktiviti seperti memasak atau penggunaan tandas boleh dilakukan di luar kenderaan.

Jelas Pak Wan, karavan juga memudahkannya untuk membawa peralatan lukisan yang lengkap seperti cat warna, papan, kertas dan alatan lain.

“Saya tidak terikat dengan pendaftaran masuk tempat penginapan ataupun jadual yang telah ditetapkan. Saya bebas untuk pilih tempat di mana sahaja pada bila-bila masa.

“Sebagai seorang pelukis, saya memerlukan lokasi yang cantik-cantik untuk saya menginap bagi menghasilkan lukisan menarik,” katanya yang menggunakan karavan Ford Transit Motorhome.

Tambah Pak Wan, dengan karavan juga memudahkannya untuk memilih lokasi melukis di celah-celah bandar, pantai, air terjun, jeram dan jalanan untuk pemandangan itu diabadikan ke atas kanvas.

Idea

Bagi Pak Wan, lokasi-lokasi sebegitu amat penting untuk disinggahinya sementelahan dia merupakan seorang pelukis secara spontan.

“Saya akan melukis apa yang saya nampak di depan mata. Tidak secara berkias ataupun menerapkan elemen tersembunyi dalam lukisan.

“Ia umpama saya kerdipkan mata, terus ‘tangkap’ suasana itu lalu melukis mengikut cara tersendiri,” tuturnya yang baru berkecimpung dalam dunia lukisan secara sepenuh masa pada tahun 2013 selepas bersara sebagai kakitangan kerajaan.

Ujarnya, keselesaan itu elemen yang perlu dalam setiap percutian tetapi jangan berlebihan kerana kita perlu menikmati apa yang disajikan dalam percutian itu.

“Bagi saya, dengan menaiki karavan, saya dapat berehat sebentar setelah penat melukis di sesuatu tempat itu sambil makan atau minum.

“Tidak perlu balik ke hotel atau tempat penginapan. Hanya berkampung di situ secara sementara dan nikmati keadaan sekitar. Kadangkala idea untuk melukis akan jadi lebih hebat apabila menikmati suasananya,” tuturnya.

Cerita Pak Wan, percutian karavan di Malaysia boleh berkembang walaupun tanpa kenderaan khusus seperti model Ford Transit Motorhome keluaran tahun 1993 miliknya yang dilengkapi katil, meja makan, kabinet dapur, penghawa dingin, tandas dan bekalan elektrik dari tenaga solar.

“Golongan sebaya saya yang dahulu peminat aktiviti lasak terutamanya berkhemah di kem, kini selesa bertukar kepada karavan yang lebih praktikal khususnya yang gemar melukis seperti saya.

“Orang muda pula menyukai karavan yang memberi kebebasan bercuti di mana saja tanpa perlu berfikir panjang mengenai bajet penginapan,” ujar Pak Wan yang memiliki Ijazah Seni Halus daripada Universiti Sains Malaysia.

Menceritakan mengenai karavan miliknya, Pak Wan berkata, dia membelinya dalam keadaan uzur daripada seorang rakan enam tahun lalu sebelum membelanjakan hampir RM20,000 bagi memperbaikinya semula.

Katanya, biarpun jumlah itu agak mahal tetapi demi minatnya untuk menceburi secara lebih serius dalam bidang lukisan setelah bersara, dia tekad melakukannya.

Bekas pensyarah Pendidikan Seni Visual Institut Pendidikan Guru (IPG) Raja Melewar, Sikamat itu berkata, dia kini kerap menjelajah ke seluruh negara bersama isterinya, Mariam Shamsudin, 63, dengan karavan. Dia selalunya meluangkan masa ‘merakamkan’ keindahan alam di atas kanvas sambil sesekali meniup seruling atau bermain ukelele.

Luar negara

Selain Malaysia, Pak Wan juga pernah menjelajah sambil melukis di negara luar seperti Switzerland, Itali, Jepun dan Korea Selatan. Bagaimanapun dia hanya menggunakan karavannya ketika mengembara di dalam negara.

Kongsi bapa kepada empat anak berusia 21 hingga 37 itu, sejak kecil lagi dia gemar melukis tetapi tidak mendapat sokongan penuh daripada bapanya.

“Bapa saya juga seorang pelukis. Minat itu timbul apabila selalu melihat dia melukis di rumah dan tempat kerjanya.

“Saya ada menyatakan hasrat kepadanya untuk menjadi seorang pelukis tetapi tidak digalakkan. Saya ingat lagi ayah berpesan jangan jadi sepertinya tetapi ilmu melukisnya boleh diambil. Jadi saya akur dengan arahannya sehinggalah menjadi seorang pendidik,” katanya.

Pak Wan percaya bakat melukis yang ada pada dirinya diwarisi daripada bapanya.

Bagi Pak Wan, melukis adalah kecenderungan individu tertentu dan ia bukanlah bakat yang boleh dimiliki semua orang.

Walaupun sibuk dengan karier sebagai guru sebelum ini, namun dia masih cuba meluangkan masa untuk melukis.

Sehingga kini, Pak Wan telah menyertai hampir 50 pameran seni di seluruh Malaysia.