Bukan sahaja sukar, aktiviti yang mencabar fizikal dan mental itu pasti membuatkan setiap individu berasa kecut perut apabila disuruh berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi apabila aktiviti ekstrem tersebut boleh merisikokan nyawa masing-masing.

Bagaimanapun, berbeza bagi seorang lelaki kelahiran Switzerland apabila dia sanggup mencabar dirinya untuk berjalan di atas seutas tali yang digantung di antara dua buah gunung di Zakinthos, Greece sambil mata ditutupi dengan sehelai kain.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika Samuel Vloery, 33, diangkat sebagai pelagak ngeri bertaraf dunia yang paling berani selepas kejayaannya berjalan pada tali sepanjang 570 meter dengan mata tertutup.

Apa yang lebih membanggakan, ketika cabaran tersebut dilakukan, Vloery berada pada ketinggian 200 meter dari atas tanah.

“Sebenarnya, ini bukan merupakan kali pertama saya merentasi dua buah gunung menggunakan tali.

“Ini kerana, aksi tersebut sering saya lakukan terutamanya ketika mendaki mana-mana kawasan pergunungan. Apa yang membezakannya ialah aktiviti tersebut dilakukan dalam keadaan mata terbuka.

“Bagaimanapun, sekitar bulan Februari tahun lalu, saya mendapat idea spontan iaitu mencabar diri meniti di atas tali dalam keadaan mata tertutup,” jelasnya.

 

Situasi genting

Menurut Vloery, dia mem­persiapkan diri dengan menjalani beberapa siri latihan di kawasan pergunungan yang sama sebelum mengambil keputusan untuk melakukan misi tersebut penghujung tahun lalu.

Ternyata, Vloery bukan merupakan pelagak ngeri yang biasa kerana setiap langkah yang dilakukan menunjukkan kecekapannya mengendalikan situasi genting.

Mana tidaknya, biarpun dalam keadaan mata tertutup, Vloery masih dapat berjalan dengan betul mengikut arah tali tersebut digantung tanpa sebarang kemalangan.

“Saya mengambil masa 45 minit untuk tiba ke titik akhir.

“Walaupun sebelum ini saya telah melakukan beberapa siri latihan, namun apa yang saya mampu katakan ialah, ia merupakan pengalaman paling mengerikan sepanjang 33 tahun hidup.

“Mungkin orang melihat saya begitu tenang berjalan meniti di atas tali tersebut, namun realitinya jantung saya berdegup kencang dan tidak sabar untuk menamatkan misi tersebut,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dalam misi itu, dia mengambil tiga langkah untuk setiap satu meter perjalanan.

“Berjalan dalam keadaan mata tertutup ternyata satu perkara yang begitu mencabar.

“Ini kerana, mata pada kebiasaannya memberikan kita penunjuk arah selain berfungsi sebagai sistem pengimbangan badan. Tanpa deria penglihatan, semuanya menjadi sukar,” jelasnya.

 

Cacat penglihatan

Biarpun begitu, menurut Vloery lagi, dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya misi tersebut memberinya peluang untuk merasai pengalaman menjadi individu cacat penglihatan dan seterusnya berjaya menyelami perasan golongan kurang upaya tersebut.

“Selepas saya meniti sejauh 540 meter, saya hampir berhenti dan duduk di atas tali tersebut kerana menyangka sudah menamatkan perjalanan itu.

“Bagaimanapun, kawan-kawan yang melihat tindakan tersebut lantas menjerit nama saya dan mengatakan bahawa perjalanan masih perlu diteruskan.

“Saya kemudian membatalkan hasrat untuk duduk dan meneruskan baki 30 meter perjalanan ke garisan penamat,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sebaik sahaja tiba di garisan penamat, badannya terus ditarik dan dipeluk oleh beberapa orang rakan yang lain sambil bersorak gembira.

Dalam pada itu, seorang jurugambar, Aidan William, 21, berkata, dia berbangga kerana dipertanggungjawabkan untuk merakam momen-momen tersebut.

“Ini merupakan kali pertama saya melihat aksi berani mati seperti ini.

“Biarpun begitu, sepanjang 45 minit melihat dan merakam detik-detik bersejarah bagi Vloery, saya dapat rasakan dia akan berjaya menghabiskan misi tersebut sehingga ke penghujungnya.

“Ternyata, telahan tersebut betul. Saya berbangga dengan apa yang dilakukannya,” jelas William.

Lelaki kelahiran Switzerland ambil masa 45 minit meniti di atas tali sepanjang 570 meter merentasi dua buah gunung di Zakinthos, Greece.