Buat kali pertama, rakyat memilih untuk mengubah kerajaan pemerintah daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Seluruh dunia memuji Malaysia berjaya menjalankan proses pengalihan pemerintah negara secara aman. Pihak yang kalah turut akur dengan keputusan yang diterima serta berjanji akan membantu melancarkan proses pemindahan kuasa.

Kehadiran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sejak awal lagi telah membawa pelbagai rasa risau dalam benak jiwa. Ia berlaku gara-gara banyaknya khabar angin bertebaran merata-rata.

Daripada cerita mengatakan kononnya akan berlaku rusuhan dan kekacauan oleh pihak yang kalah PRU sehinggalah perbuatan mengadu domba keburukan parti-parti politik serta para calon pilihan raya, laman sosial rakyat Malaysia dikotori dengan pelbagai najis fitnah.

Sewaktu pilihan raya berlangsung, pelbagai cerita menular masuk ke gajet-gajet pintar rakyat melalui Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApp.


Bersekongkol

Bahkan sebaran berita palsu turut dijadikan senjata sesetengah pihak untuk menjadikan rakyat gusar dan lebih buruk daripada itu, cuba menimbulkan elemen kebencian kepada institusi beraja di negara ini.

Sebuah portal berita yang berpengaruh turut bersekongkol melakukan perkara itu dengan menyiarkan beberapa gambar kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kononnya telah dikerahkan mengawal beberapa tempat di Putrajaya.

Hanya selepas ditegur orang awam barulah mereka mengubah ayat pada status Facebook mereka, tetapi masih tidak menurunkan gambar-gambar berkenaan.

Emosi rakyat telah terganggu. Persepsi buruk telah berjaya ditanam. Matlamat menakutkan rakyat nampaknya berjaya dilakukan.

Tidak cukup dengan itu, Raja-Raja Melayu turut diheret sama. Kononnya ada beberapa sultan yang membantah pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Sultan Selangor dan Sultan Johor pula dituduh kononnya mereka yang menentang pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri dan atas sebab itulah upacara angkat sumpah menjadi tertangguh.

Walaupun kenyataan rasmi telah dikeluarkan kedua-dua negeri menafikan tuduhan itu, matlamat asal penyebar berita palsu sudah pun tercapai iaitu untuk menyakitkan hati rakyat dan menimbulkan rasa benci kepada sultan.

Tuduhan

Sekali lagi, pembuat fitnah menang.

Bagi mereka yang mempercayai fitnah berkenaan, hujah mereka ialah berlaku beberapa penangguhan upacara angkat sumpah yang dikatakan tertangguh dari pukul 9 pagi kemudiannya 5 petang dan akhirnya 9.30 malam.

Apabila upacara itu tidak berlaku, mulalah timbul fitnah dalam kalangan masyarakat.

Sedangkan yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Tidak satu pun tuduhan itu benar atau mempunyai sebarang asas.

Untuk pengetahuan, kira-kira pukul 3 pagi pada 10 Mei sebaik sahaja keputusan rasmi pilihan raya menyatakan PH yang pada waktu itu menggunakan nama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat majoriti mudah kerusi Parlimen, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menitahkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadap di Istana Negara.

Dalam pertemuan ringkas itu, baginda telah menjemput PKR (menurut nama rasmi yang digunakan sewaktu pilihan raya) untuk menubuhkan kerajaan atas dasar menang majoriti mudah.

Pun begitu, baginda terlebih dahulu perlu menerima dan meneliti keputusan penuh PRU yang akan dipersembahkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) kepada baginda.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution ketika dihubungi Bernama yang antara lain memberitahu upacara mengangkat sumpah tidak akan dilakukan selagi Istana Negara belum mendapat keputusan penuh PRU secara rasmi daripada SPR.

Pembinaan negara

Sebaik sahaja mendapat keputusan penuh PRU secara rasmi daripada SPR pada pukul 2.45 petang, Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu memeriksa dokumen-dokumen rasmi yang kemudiannya membawa kepada titah pemimpin-pemimpin PH menghadap baginda pada pukul 5 petang.

Setelah berpuas hati dengan komitmen pemimpin empat parti komponen PH iaitu Wan Azizah, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah ,Mohamad Sabu yang menyatakan sokongan penuh pelantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, barulah upacara angkat sumpah dijadualkan pada sebelah malamnya.

Malang yang masih menimpa rakyat negara ini adalah, setelah hampir dua minggu selesai proses pilihan raya belum kelihatan sebarang tanda berkurangnya berita palsu yang disebarkan melalui media sosial.

Ibarat rumah siap, pahat masih berbunyi, perdebatan politik masih rancak oleh kumpulan sembang WhatsApp dan Telegram.

Sebaran fakta ciptaan entah siapa juga masih berkeliaran masuk ke telefon pintar kita semua.

Sampai bilakah rakyat Malaysia harus dihadapkan dengan cerita-cerita yang menimbulkan kemarahan? Tidak bolehkah kita tutup kisah pilihan raya dan fokus kepada pembinaan negara pula?

Jawapannya mudah sahaja. Ia harus bermula daripada diri kita sendiri. Tidak pasti, jangan kongsi.