Baunya membuatkan bapa kepada empat cahaya mata itu berasa pening dan loya. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia lantas bingkas bangun lalu menegur kumpulan perokok terbabit supaya berhenti menghisap rokok berdekatan pelanggan lain.

“Ia bukanlah kali pertama berlaku. Pernah saya sampai bertegang urat dengan mereka namun sempat disabarkan isteri. Saya bukan setakat tegur individu tidak dikenali, kawan-kawan yang merokok di hadapan saya pun kena juga.

“Sebabnya saya betul-betul tidak tahan dengan bau asap rokok,” ujarnya ketika ditemui K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faizal sendiri hakikatnya merupakan bekas perokok. Usahawan itu mula merokok sejak berusia awal 20-an namun sudah meninggalkan tabiat itu selama lebih tujuh tahun.

Kisahnya bermula sekitar tahun 2011 apabila arwah bapanya yang juga seorang perokok menghidap strok major. Faizal yang sering bergilir-gilir dengan adik-beradiknya membawa bapa mereka menjalani rawatan turut dinasihati doktor supaya berhenti merokok.

Terikat

Ekoran itu, dengan rasa terpaksa, Faizal telah mendaftar untuk mengikuti program Klinik Berhenti Merokok di Klinik Primer Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Cheras (KPPC) Kuala Lumpur.

Dia boleh dikatakan perokok yang tegar dan merokok antara satu hingga dua kotak sehari.

“Pada minggu pertama tetap merokok seperti biasa. Sebulan pertama, saya masih simpan rokok di poket kanan, ubat yang diberi doktor di poket kiri. Lepas itu saya ganti rokok dengan gula-gula. Jika tidak ambil ubat saya makan gula-gula.

“Lama-lama gula-gula pun saya tak makan kerana takut kencing manis. Perkara yang paling membuatkan saya rasa terpukul ialah apabila anak perempuan yang semasa itu darjah enam mengatakan rokok adalah haram. Saya tidak mampu jawab apa-apa,” ujarnya.

Selepas tamat mengikut program berhenti merokok selama enam bulan, peserta yang berjaya diraikan dalam majlis graduasi khas dan diberikan sijil dihadapan keluarga masing-masing.

“Saya berasa seperti bebas dari penjara. Rokok tidak lagi menjadi sebahagian daripada hidup saya. Sebelum ini, banyak rutin kehidupan saya terikat dengannya,” tuturnya.

Berbeza pula dengan Othman Itam, 59, yang pernah cuba berhenti merokok selama setahun pada tahun 2010. Lebih 90 peratus rakan-rakannya adalah golongan perokok menyebabkan dia sukar meninggalkan tabiat itu.

Penjawat awam yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung itu kini bertekad melawan keinginan diri untuk merokok.

Katanya, ia bukan tugas mudah kerana bau asap rokok boleh menyebabkan dia gelisah dan mahu menghisap rokok.

“Saya terpaksa banyak mengurung diri di rumah supaya terhindar daripada pengaruh rokok di luar.

“Alhamdulillah, sudah masuk tujuh bulan saya tidak merokok. Naluri untuk merokok itu masih ada terutamanya jika duduk bersendirian dan tidak melakukan apa-apa.

“Pada peringkat awal, ada juga saya diusik rakan-rakan kerana keputusan ini. Tapi saya fikir kenapa hendak terlalu menghiraukan kata orang. Tinggi harapan saya, larangan merokok di premis makanan dapat mengurangkan pengaruh untuk saya merokok semula,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini telah mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Untuk berhenti merokok, orang ramai boleh memanfaatkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) yang terdapat di kebanyakan hospital atau klinik kerajaan.

Antara yang menyediakan perkhidmatan KBM ialah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang menawarkannya di KPPC dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, Bandar Tun Razak.

Pakar Perubatan Keluarga KPPC, Prof. Madya Dr. Hizlinda Tohid menjelaskan, mereka yang datang ke KBM lazimnya dirujuk oleh doktor yang memberikan rawatan susulan bagi masalah kesihatan yang lain. Namun, ada yang mendaftar masuk KBM secara sukarela.

Nikotin

Ia menawarkan rawatan secara individu dan berkumpulan dengan tempoh pemulihan mengambil masa enam bulan. Rawatan berkumpulan hanya dibuka dua kali setahun.

Menurutnya, sesi berkumpulan amat penting kerana perokok memerlukan sistem sokongan dan setiap peserta memberi semangat antara satu sama lain. Pada bulan pertama, perjumpaan dibuat tiga hingga empat kali kerana ia tempoh paling sukar bagi perokok yang sedang berusaha untuk berhenti merokok.

Katanya, selain kaunseling untuk mengubah tabiat merokok, ubat juga digunakan bagi merawat ketagihan kepada nikotin yang terkandung di dalam rokok.

Terdapat beberapa jenis ubat dan secara amnya, ia terbahagi kepada dua jenis iaitu ubat penggantian nikotin dalam bentuk gula-gula getah atau tampalan (patch) dan ubat tertentu dalam bentuk pil.

Setiap peserta akan dinilai untuk mengenal pasti jenis ubat yang bersesuaian dengan mereka setelah mengambil kira masalah kesihatan yang ada dan cara hidup seharian. Bagi tampalan, ia dibuat pada mana-mana bahagian badan yang kurang mengeluarkan peluh.

“Apabila seseorang menyalakan rokok, ia boleh menghasilkan lebih 5,000 bahan berbahaya dan sekurang-kurangnya 70 daripadanya boleh menyebabkan kanser. Tetapi perokok hanya ketagih terhadap satu bahan saja di dalam rokok iaitu nikotin.

“Kadar nikotin di dalam ubat yang diberi ini menggantikan jumlah nikotin yang terkandung dalam rokok yang diambil setiap hari. Ia penting untuk membantu perokok mengatasi simptom atau gejala kekurangan nikotin di dalam tubuh mereka apabila tidak lagi merokok.

“Kadar nikotin ini akan dikurangkan secara perlahan-lahan sepanjang 12 minggu rawatan bagi memastikan tubuh badan menjadi serasi dengan keadaan tanpa nikotin. Pada akhir rawatan, peserta tidak memerlukan lagi nikotin sama ada daripada rokok mahupun ubat nikotin,” jelasnya.

Antara simptom atau gejala kekurangan nikotin di dalam tubuh ialah seseorang itu boleh berasa tidak selesa, menggigil, tidak dapat tidur, pening kepala dan tidak dapat memberikan tumpuan kepada kerja terutama dalam tempoh dua minggu pertama dan pemberian ubat dapat menolong memudahkan proses mereka berhenti merokok.

Ikrar

Menurutnya, kebiasaan merokok boleh diubah dengan tabiat yang lebih sihat seperti bersenam dan pengambilan makanan sihat. Teknik yang lain juga boleh dilakukan sewaktu berasa gian kepada rokok seperti minum air, membasuh tangan dan muka, menyibukkan diri atau mengunyah buah-buahan atau sayur-sayuran seperti lobak merah dan epal. Makanan bergula perlu dielakkan.

Sementara itu, Pegawai Farmasi Klinikal Hospital Canselor Tuanku Muhriz PPUKM, Yin Mei Kuen berkata, mereka yang mengambil ubat dan penampal mengandungi nikotin tidak boleh merokok bagi mengelak kesan dos nikotin berlebihan.

“Seseorang itu boleh berasa sakit kepala yang teruk, tekanan darah meningkat dan jantung berdegup kencang. Elakkan juga mengambil nikotin berbentuk gula-gula getah sambil makan atau minum kerana ia boleh membuatkan perut berasa tidak selesa.

“Kalau berbentuk tampalan pula, pengguna tidak boleh memakainya ketika tidur kerana ia umpama mereka merokok sambil tidur,” ujarnya.

Katanya, dalam meningkatkan kesungguhan perokok untuk berhenti daripada tabiat tersebut, perokok-perokok akan diminta untuk melafazkan ikrar sebagai aku janji untuk berhenti merokok di hadapan perawat.

“Adakalanya bagi perokok yang muda kami turut meminta mereka memuat naik status untuk berhenti merokok ke dalam media sosial mereka agar keluarga dan kawan-kawan tahu akan hasrat mereka itu,” katanya.

Usaha berhenti merokok melibatkan kombinasi pelbagai cara seperti kaunseling, pengambilan ubat penggantian nikotin dan sebagainya yang boleh didapati menerusi program Klinik Berhenti Merokok di hospital atau klinik kerajaan.