Sandra Mannas Wolf, 50, tidak mahu melepaskan momen indah tersebut yang jarang-jarang sekali dapat dilakukannya. Kerjayanya sebagai penyanyi, editor dan jurulatih korporat membuatkan jadualnya sentiasa padat dan sibuk.

“Saya sangat teruja dapat mencuri masa untuk datang ke Tanah Aina Fahad ini. Ia satu percutian yang berbaloi kerana saya dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan lari daripada kesibukan kota.

“Menikmati udara segar dan sejuk serta deruan sungai yang menenangkan memberikan satu kesegaran kepada tubuh saya,” kata wanita yang berasal dari Melbourne, Australia itu.

Mannas Wolf yang telah menetap selama 15 tahun di Kuala Lumpur menyukai semua perkara mengenai lokasi percutiannya selama dua hari satu malam itu.

Selain alam sekitar yang masih terpelihara keindahan dan keasliannya, dia dapat menikmati hidangan enak sepanjang berada di Tanah Aina Fahad yang terletak di Ulu Dong, Raub, Pahang itu.

Antara hidangan yang disukainya termasuklah ulam-ulaman, masakan kampung, buah durian dan pengat pisang.

Tanah Aina Fahad yang dibina pada tahun 2014 itu mula dibuka kepada orang ramai setahun kemudian. Ia antara rangkaian Tanah Aina Resort yang terdiri daripada Farrah Soraya, Farhana, Fareena dan Farouq. Tanah Aina Fahad terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Pemiliknya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil merupakan seorang wanita yang amat menyukai alam semula jadi. Resort itu dibina berkonsepkan perkhemahan mewah atau glamping. Lokasi perkhemahan seluas dua hektar itu terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Benom.

Istimewanya, terdapat tiga jenis khemah yang boleh dipilih pelanggan iaitu khemah Single, Queen dan King yang berbeza dari segi jumlah katil, peralatan dan keselesaan.

Bagi khemah Single terdapat 22 khemah yang mampu memuatkan lima orang, Queen pula mempunyai enam khemah berkatil queen dan boleh ditambah katil single, manakala terdapat tiga khemah King yang dihias indah umpama bilik hotel mewah.

Selain khemah serba mewah, pelanggan juga boleh memilih bilik teres yang terbahagi kepada dua iaitu sebuah katil bersaiz king manakala sebuah lagi menempatkan katil dua tingkat yang boleh memuatkan antara enam hingga 10 orang.

Badan segar

Menurut Shariffa Sabrina, 56, ekoresort tersebut mampu memuatkan 150 pengunjung pada satu-satu masa. Ia bukan sahaja sesuai untuk individu, tetapi juga kumpulan yang ingin menjalani kursus motivasi atau sekadar berkumpul sesama ahli keluarga.

“Khemah ini dilengkapi katil bujang, kipas, tuala mandi, penyangkut baju dan cermin bagi memastikan keselesaan kepada pengunjung. Turut diletakkan di dalam bilik ialah potongan daun pandan bagi memberikan aroma istimewa di dalam khemah dan beberapa tempat lain seperti tandas.

“Apa yang pengunjung perlu bawa hanyalah barang-barang peribadi. Dari segi makanan disediakan empat kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Kami menyediakan ulam-ulaman dan sayuran yang ditanam sendiri,” katanya.

Walaupun tinggal di dalam khemah, pengunjung tidak perlu bimbang ketika hendak mandi atau ke tandas. Ini kerana kemudahan tersebut disediakan setaraf hotel lima bintang. Bukan itu sahaja, sabun, syampu dan perapi rambut yang berbau wangi dan segar dihasilkan khas dan tidak diperoleh di pasaran luar.

Menikmati air sungai memberikan kesegaran yang sukar digambarkan. Walaupun, suasana pagi sejuk hingga ke tulang, namun menikmati air sungai yang disalurkan ke tandas itu memberikan satu kepuasan dan kesegaran badan.

“Ekoresort ini berbeza dengan lokasi percutian lain kerana saya mahu pengunjung merasai sendiri kehidupan di hutan sambil menikmati kemudahan yang terbaik,” ujar Shariffa Sabrina yang aktif memperjuangkan isu-isu berkaitan hutan menerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) sejak tahun 2010.

Disebabkan cintanya yang mendalam terhadap alam semula jadi, Shariffa Sabrina hanya membuat pembangunan minimum di kawasan tersebut. Justeru, pengunjung masih dapat menikmati pokok-pokok besar atau memanjat akar kayu yang menjulang tinggi yang terletak bersebelahan khemah.

Destinasi rehat santai itu turut dibina di kawasan gigi sungai selain titi gantung yang menghubungkan kawasan pondok rehat dibina atas laluan sungai yang cetek.

Perancangan

Pengunjung juga dapat melihat pokok-pokok herba, ulaman dan buah-buahan yang ditanam di sekitar kawasan perkhemahan.

Pada masa akan datang, kemudahan di Tanah Aina Fahad akan dipertingkat seperti penambahan dormitori dan paling mengujakan ialah rumah pokok mesra alam.

Salah seorang pekerja, Shiva Bahadur Karki, 43, memberitahu, pengunjung amat menyukai suasana ekoresort itu yang masih mengekalkan keaslian hutan, sungai dan penginapan yang selesa.

“Pengunjung biasanya pulang dengan wajah gembira kerana dapat mengikuti aktiviti seperti meredah hutan selama dua jam, aktiviti unggun api pada waktu malam dan mandi sungai di kawasan perkelahan air terjun yang terkenal, Lata Jarum. Ia terletak kira-kira 50 meter dari Tanah Aina Fahad.

“Saat mengikuti aktiviti meredah hutan, pengunjung dapat menikmati keindahan flora dan fauna yang masih terpelihara. Walaupun memakan masa dua jam, pengunjung turut diuji dengan laluan berbukit dan licin. Bahkan, tidak kurang yang menjerit apabila pacat ‘memanjat’ tubuh. Ia ternyata satu kenangan manis bagi mereka,” katanya yang berasal dari Daikha, Nepal.

Bekas askar Gurkha itu juga pernah mengangkat peserta seberat 70 kilogram yang kekejangan kaki ketika aktiviti meredah hutan. Baginya, ia merupakan satu tanggungjawab ketika mengiringi mereka meredah hutan.

Dia pernah menguruskan seramai 146 pengunjung pada satu-satu masa. Selain pengunjung tempatan, pelancong dari luar negara dari Jerman, Singapura, Perancis dan Australia paling ramai mengunjung ekoresort tersebut.