Selain sukan rock climbing dan terjunan lelabah, pengunjung berpeluang mencabar adrenalin menerusi pengalaman bermalam dalam salah sebuah pod kaca lut sinar di situ.

Manakan tidak, pod tersebut bukanlah terletak di atas tanah rata sebaliknya tergantung di salah satu cenuram tertinggi pergunungan tersebut.

Penginapan yang dipanggil Na­tura Vive Skylodge Adventure itu menawarkan tiga buah pod jenis suite dengan pemandangan formasi 300 darjah batu-batuan Sacred Valley daripada cerun berketinggian 365 meter.

Ketiga-tiga pod bersaiz 17.5 meter persegi yang tergantung secara melintang itu mampu memuatkan sehingga lapan orang setiap satu pada satu-satu masa.

Pengurus hotel tersebut, Sam memberitahu, bagi menikmati pemandangan tersebut, pengunjung perlu mendaki muka cerun setinggi 121.92 meter untuk sampai ke situ.

“Pengunjung boleh memilih sama ada untuk mendaki menggunakan via ferrata iaitu pera­latan mendaki yang dilindungi atau mendaki laluan khas menerusi ­zipline,” katanya.

Kalis cuaca

Sam berkata, via ferrata digunakan bagi memberi peluang kepada pengunjung tanpa pengalaman mendaki untuk merasai dan menikmati pemandangan gunung tanpa perlu terikat kepada peralatan mendaki berat dan tahan lasak.

Menurutnya, sistem keselamatan pendakian sudah sedia dipasang pada laluan pendakian untuk memudahkan pengunjung.

“Pengunjung akan ‘diikat’ pada kabel keluli yang merentasi sepanjang laluan pendakian dan tidak memerlukan sebarang tali mendaki. Sebaliknya, peralatan lain seperti tangga besi, jambatan dan fasiliti seumpamanya akan digunakan.

“Ini bermakna, pengunjung tanpa pengalaman boleh mendapat akses ke seksyen cenuram yang sangat tinggi dan ekstrem yang hanya boleh diakses oleh pendaki rock climbing,” jelas Sam sambil memberitahu, masa dua jam diambil untuk naik ke atas menerusi via ferrata.

Bertutur lanjut, Sam berkata, Natura Vive Skylodge Adventure dibuka pada Jun 2013 bagi memberi peluang kepada pelancong untuk merasai pengalaman bermalam di cerun pergunungan.

Katanya, setiap pod dibina daripada aluminium aeroangkasa dan polikarbonat kalis cuaca serta dilengkapi empat buah katil, ruang makan dan bilik air.

“Ia memiliki enam panel tingkap dan empat saluran pengudaraan bagi menjamin keselesaan pengunjung khususnya sesiapa yang mempunyai masalah klaustrofobia atau fobia tempat sempit dan gelap,” ujarnya.

Laluan kecemasan

Selain itu, setiap suite dilengkapi sistem pencahayaan alternatif meliputi empat lampu dalaman dan lampu membaca yang dikuasakan oleh tenaga bateri simpanan daripada panel solar.

“Bilik air di dalam pod suite juga dipisahkan daripada bilik tidur menerusi dinding kanvas tebal dengan pintu berzip. Di dalamnya, kami sediakan sinki dan mangkuk tandas porselin ekologi yang kering.

“Pengunjung masih boleh menikmati pemandangan melalui kubah berdiameter 1.8 meter. Kubah tersebut mempunyai langsir bagi menjaga privasi daripada ­penghuni pod lain,” jelas Sam.

Bagi menjamin aspek keselesaan, setiap suite turut dilengkapi tilam berkualiti, cadar, bantal serta selimut tebal daripada kapas untuk memastikan pengunjung mendapat tidur yang nyenyak.

Menyentuh ciri-ciri keselamatan lain, Sam berkata, laluan kecemasan turut dibina pada bahagian atas pod untuk memudahkan pengunjung keluar dalam situasi cemas.

Harga penginapan semalam di pod Natura Vive Skylodge Adventure termasuk pendakian via ferrata dan zipline menelan belanja AS$444 (RM1,747.36). Pakej bermalam tersebut termasuk sarapan pagi dan makan malam.