Namun, tarikan pekan kecil yang mempunyai kira-kira 3,000 penduduk itu bukan calang-calang kerana mempunyai sepohon pokok durian berusia 120 tahun.

Malah, pokok durian kampung itu masih subur dan aktif mengeluarkan 500 hingga 1,000 buah setiap kali musimnya tiba sekitar Julai hingga Ogos pada setiap tahun.

Pewarisnya, Thai Ngui Long yang berusia 37 tahun yang mesra dengan panggilan Along merupakan penduduk asal di kawasan pekan itu.

“Menurut cerita orang lama di pekan ini, pokok itu dipercayai telah ditanam penduduk asal Kaki Bukit iaitu orang Melayu.

“Mereka mengusahakan kawasan perlombongan biji timah sebelum berhijrah ke lokasi lain selepas menjual lombong itu kepada orang Cina.

“Sebaik sahaja mereka berhijrah ke sini, pokok durian itu telah ada,” katanya ketika ditemui di premis jualannya di Kaki Bukit baru-baru ini.

Along kembali semula ke kampung halamannya pada 2014 setelah berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.

Sisi kehidupan lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai dua zuriat itu agak mencabar kerana sebelum ini pernah terlibat dalam kumpulan gengster.

Namun, kini dia ‘cuci tangan’ dan tidak terlibat lagi dalam kumpulan gengster selain menjadi peraih durian bagi kira-kira 10 pemilik dusun durian di Kaki Bukit selain mengusahakan tanaman halia yang didakwa setanding Halia Bentong yang ditanam secara komersial di Pahang.

Tiada petua

Pokok durian berusia 120 tahun itu didakwa masih mampu hidup dengan baik kerana suhu sejuk dan berkabus pada waktu pagi dan panas semasa tengah hari hingga petang di Kaki Bukit.

Ketinggiannya kira-kira 25 meter dan mempunyai 15 dahan yang ada antaranya hampir mencecah permukaan tanah.

Sungai yang terletak berdekatan kebun durian hasil peninggalan moyang Along menjadi sumber air bagi pokok durian itu masih hidup selain penggunaan baja khas untuk memastikannya terus membesar.

Along berkata, dia tidak mempunyai sebarang rahsia atau petua bagi memastikan pokok itu terus hidup.

“Hidup atau mati makhluk, tumbuhan dan pokok bukan ketentuan kita tetapi Tuhan namun, saya akan mengusap-usap batang pokok ini setiap pagi seperti membelainya.

“Tiada bacaan mantera dan yang lainnya kerana kita manusia pun perlu dijaga dan dibelai selalu bukan,” kata Along sambil ketawa.

Katanya lagi, setiap kali musim buah tiba, dia akan menjual durian itu di gerai mini milik keluarganya di pekan Kaki Bukit.

“Harga jualannya sekilogram bermula RM5 hingga RM10 kerana saiznya yang sederhana kecil.

“Selain itu, saya juga menjadi peraih durian kepada pemilik kebun lain di Kaki Bukit dan menjualnya dengan harga yang berpatutan.

“Sebelum ini, mereka menjualnya dengan harga murah sehingga RM1 sahaja bagi sekilogram tetapi beberapa tahun kebelakangan ini harganya meningkat kerana durian dari Kaki Bukit digemari pembeli dari seluruh negara terutamanya penduduk tempatan sehingga Pulau Pinang.

Bagi seorang pemilik kebun durian di Kaki Bukit, Chai Woon Thoo, 63, dia akan menggunakan topi keselamatan setiap kali mengutip buah durian di kebunnya.

“Ia sebagai langkah keselamatan, nanti buah jatuh di kepala alamatnya nasib buruklah,” katanya sambil mengukir senyuman.

Masih lagi tidak mendirikan rumah tangga, Woon Thoo tetap puas kerana memperoleh kira-kira RM40,000 setiap kali musim durian tiba.

Dia memiliki kira-kira 10 pokok durian yang ditanam di kebunnya.

Sementara itu, penggemar durian, Abdul Latif Musa, 60, berkata, buah durian hasil pokok berusia 120 tahun itu sememangnya lazat dan enak.

“Isi buah durian ini pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur liur kerana gabungan rasa manis, lemak dan sedikit pahit.

“Saiz buahnya sederhana sahaja iaitu antara lapan hingga 10 ulas namun, tetap lazat jadi berbaloi datang dari Alor Setar, Kedah untuk menikmatinya,” katanya.

Jarak Kaki Bukit dari Alor Setar kira-kira 88 kilometer.

 

Musang King

Mohd. Sofi Hamid, 43, yang merupakan rakan Abdul Latif mendakwa, durian hasil pokok 120 tahun itu setanding dengan durian jenis Musang King.

“Tetap enak malah harganya murah, namun jika dibaja dengan lebih baik selain kualitinya dijaga pasti bakal setanding dengan Musang King.

“Populariti durian hasil pokok berusia 120 tahun ini dan durian di Kaki Bukit masih baharu. Harganya mula stabil, tetapi banyak lagi langkah penambahbaikan perlu dilakukan terutama pengurusan ladang yang cekap, bersih dan efisien,” katanya.

Harga durian Musang King boleh mencecah RM35 hingga RM40 sekilogram bagi pasaran tempatan dan boleh mencecah RM800 bagi satu kilogram sekiranya dijual di China, Singapura, Hong Kong dan Australia.

Abdul Razak Din, 60, pula berpendapat, buah durian daripada pokok 120 tahun itu sama seperti durian jenis kampung yang banyak di pasaran.

“Durian kampung rasanya berbeza, jika bernasib baik dapat yang benar-benar sedap dan lazat.

“Pakar durian mendakwa, jika buah durian ditebuk tupai dan banyak yang busuk dimakan ulat itu yang benar-benar lazat tetapi saya sendiri pun tidak lalu makan sebenarnya,” katanya.