Kebakaran besar hutan yang berlaku pada tanggal 1 Mei 1987 itu telah terpahat sebagai salah satu tragedi kebakaran terburuk yang pernah berlaku di China sejak 300 tahun lalu.

Lebih 200 orang maut, manakala beribu-ribu yang lain cedera dalam kejadian kebakaran tersebut yang membabitkan kawasan seluas 73,000 kilometer persegi.

Turut terbakar dalam tragedi itu ialah satu daripada enam kawasan rizab hutan simpan di China.

Mengimbas kembali peristiwa dahsyat itu yang digelar sebagai The Black Dragon Fire, kebakaran disyaki bermula dari Hutan Da Hinggan yang terletak di bahagian pergunungan Greater Khingan di wilayah Timur Laut Heilongjiang.

Pada tahun 1987, kawasan di sekitar Sungai Amur di rantau tersebut telah mengalami musim panas luar biasa yang membawa kepada musim kemarau sehingga mengakibatkan kawasan tersebut menjadi kering-kontang.

Musim kemarau pada waktu itu dipercayai menjadi antara punca kepada kebakaran itu.

Dikatakan sekitar kawasan hutan pada ketika itu tidak mempunyai ramai penduduk, sekali gus menolak kemungkinan punca kebakaran disebabkan oleh perbuatan manusia.

Bagaimanapun, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kebakaran tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian seorang pekerja pemotong rumput tidak terlatih yang telah mengabaikan aspek keselamatan sewaktu bekerja.

Pekerja tersebut yang dikenali sebagai Wang Yufeng, 18, dikatakan secara tidak sengaja telah menumpahkan minyak ketika mengendalikan mesin memotong rumput dan menganggap ia cuma satu kecuaian kecil.

Tumpahan minyak

Menurut seorang wartawan dari Amerika Syarikat, Harrison Salisbury, atas kesilapan kecil itu, satu malapetaka besar telah berlaku.

“Dia pekerja tidak berpengalaman dan melanggar peraturan keselamatan yang telah ditetapkan,” ujar Salisbury.

Berdasarkan siasatan, Yufeng dikatakan telah mengisi minyak di dalam mesin pemotong rumput itu sehingga penuh dan menyebabkan berlaku tumpahan ke atas daun-daun kering di kawasan itu.

Sewaktu remaja itu melakukan kerja memotong rumput, berlaku percikan api daripada bilah mata pisau mesin akibat terkena batu sekali gus menyambar daun-daun kering di situ.

Keadaan bertambah buruk apabila api menjadi lebih marak akibat sisa minyak yang tertumpah itu dan merebak dengan cepat gara-gara banyak pokok kering di kawasan itu.

Api yang marak telah merebak dengan pantas dan menjadikan bandar Xilinji umpama sebuah ‘neraka’ kerana ia telah mencetuskan kebakaran yang sangat besar sehingga ia diberi julukan sebagai The Black Dragon Fire.

Menurut kenyataan saksi kejadian kebakaran itu yang ditulis di dalam buku The Great Black Dragon Fire: A Chinese Inferno oleh Salisbury, keadaan sewaktu kejadian itu diibaratkan seperti sebuah lautan berwarna merah dengan ombak yang begitu ganas.

“Bunyi yang terhasil daripada kebakaran itu kedengaran seperti bunyi naga yang sedang marah dan menakutkan,” ujar kenyataan seorang pemuda yang dipetik di dalam buku tersebut.

Kejadian itu telah memaksa pihak kerajaan mengerah lebih 60,000 anggota tentera China yang dibantu penduduk tempatan berusaha memadamkan kebakaran yang dikatakan mengambil masa sehingga sebulan.

Selepas kejadian itu, murid-murid sekolah di China telah diajar tentang aspek keselamatan ketika kebakaran dan pendedahan tentang bahayanya bermain dengan api.

Hal ini berikutan punca kebakaran tersebut adalah disebabkan oleh kelalaian seorang remaja yang tidak menitikberatkan aspek keselamatan dan kurangnya kefahaman jika berlaku sebarang kecemasan.

Hukuman

Jentera-jentera bomba dan tentera juga berdepan masalah untuk memadamkan kebakaran di kawasan hutan tersebut, malah berpuluh-puluh buah jentera yang digunakan turut musnah akibat dijilat api.

Secara keseluruhannya, sebanyak 200 orang dilaporkan terbunuh dan 250 yang lain cedera, manakala 33,000 orang penduduk hilang tempat tinggal akibat musnah dalam kebakaran.

Sejurus selepas kejadian itu, kawasan hutan yang musnah itu telah menjadi sebuah kawasan lapang yang sangat luas, manakala penduduk yang tinggal berhampirannya telah dipindahkan ke kawasan lain.

Pada masa sama, pihak kerajaan China telah mengarahkan siasatan dilakukan untuk mencari individu yang menyebabkan kebakaran besar itu berlaku sehinggalah remaja yang bertanggungjawab itu serta majikannya berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman penjara.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan juga telah memecat Menteri Perhutanan atas kejadian tersebut selain turut memenjarakan ketua bomba tempatan selama empat tahun kerana bertindak melarikan diri bersama keluarganya ketika kebakaran besar itu berlaku.

Kebakaran besar yang berlaku itu telah disifatkan sebagai salah satu daripada bencana terburuk sejak 300 tahun lalu di China oleh pakar kerana membabitkan kemusnahan yang hampir menyamai keluasan negara New Zealand dengan jumlah kerugian mencecah AS$4 bilion (RM15.68 bilion).

Pada hari ini, kawasan kebakaran hutan itu telah kembali pulih selepas program menanam semula pokok telah dilakukan secara besar-besaran dalam usaha untuk menghidupkan semula hutan di situ.

Melalui Projek Perlindungan Hutan Asli yang dilaksanakan pada tahun 1998, ekosistem di hutan Da Hinggan kembali bernyawa selepas usaha selama 20 tahun itu dijalankan.

Sebuah muzium peringatan juga telah dibina pada tahun 1988 untuk mengenang peristiwa kebakaran itu selain menunjukkan antara usaha yang dibuat untuk memulihkan semula kawasan itu menjadi seperti sediakala.

Hutan Da Hinggan merupakan antara hutan terbesar di dunia dengan keluasan mencecah 24 juta kilometer persegi.

Satu kebakaran hutan digelar The Black Dragon Fire telah memusnahkan kawasan seluas 73,000 kilometer persegi yang dianggap terburuk sejak 300 tahun lalu di China.