Di Malaysia, belia tidak lagi dilabel sebagai golongan pelapis pemimpin tetapi mereka sudah menjadi pencetus perubahan kepimpinan negara.

Apatah lagi apabila golongan tersebut dikatakan telah memainkan peranan penting sehingga membawa kepada perubahan kepimpinan kerajaan menerusi proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara ini, tetapi juga di negara-negara maju seperti Britain, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Kajian mendapati, 70 peratus golongan ini merupakan pengguna tegar media digital. Mereka menggunakan platform tersebut untuk mengembangkan evolusi pemikiran dan pengaruh mereka untuk menuntut kebebasan hak dan bersuara.

Dalam konteks Malaysia, golongan belia juga telah menempa kejayaan apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, diberi kepercayaan menerajui Kementerian Belia dan Sukan dengan menjadi menteri termuda dalam sejarah negara dan Asia Tenggara.

 

Harapan baharu

Ia merupakan harapan baharu buat golongan belia merealisasikan pengaruh dan tuntutan hak mereka untuk menjadi penggerak pembangunan negara, sekali gus meletakkan golongan ini sebaris dengan masyarakat amatur di negara ini.

Peranan belia banyak mencorakkan struktur pembelajaran dan pengajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Beberapa penekanan untuk memperkasakan golongan ini harus diberi perhatian, termasuklah perubahan kepimpinan muda dalam persatuan-persatuan belia dan sukan; pemerkasaan kebolehpasaran belia dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini selain memberi keutamaan kepada golongan belia memperoleh kemahiran profesional dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di IPT.

Penekanan lain termasuklah penyaluran lebih banyak kursus-kursus profesional berorientasi pemikiran kritis dan kreatif di IPT. Usaha ini perlu dilakukan supaya mereka dapat menterjemahkan pemikiran yang inovatif dalam pekerjaan untuk lebih berdaya saing.

Golongan mahasiswa juga diberi kebebasan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka menerusi strategi pengurusan bakat tanpa terikat sepenuhnya dengan kurikulum jurusan yang mereka ikuti.

Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan disarankan supaya memperbanyakkan program berorientasikan kesukarelawanan dan khidmat komuniti dalam kalangan mahasiswa IPT.

Program-program sebegini jika dilaksanakan secara konsisten dapat memberikan manfaat kepada para pelajar mendekati masyarakat dan berkongsi ilmu bagi memajukan penempatan komuniti.

Ia juga memberi satu indikator kepada masyarakat untuk menghargai dan memartabatkan institusi kemahasiswaan di IPT.

Bagi merancakkan peranan belia dalam menambah baik sumbangan mereka kepada negara, Majlis Perundingan Belia Negara harus lebih progresif memperbanyakkan penyertaan golongan ini dalam organisasi atau institusi yang boleh memberi manfaat kepada mereka, sama ada dari segi ekonomi mahupun pembangunan sosial.

 

Pasukan simpanan

Majlis Belia Malaysia pula harus menjana perancangan dan pelaksanaan Dasar Belia dengan lebih komprehensif dan tidak berorientasikan kepentingan politik semata-mata.

Gesaan untuk mewujudkan lebih banyak insentif kepada golongan belia untuk memikul tanggungjawab secara kolektif dalam pentadbiran awam dan industri seperti melaksanakan program-program fellowship yang memberi fokus kepada penyertaan golongan belia intelektual untuk menjadi jambatan penghubung antara kerajaan mahupun industri dengan kepentingan belia pada masa kini.

Perlu diingatkan, belia Malaysia tidak lagi boleh dilabel sebagai ‘pasukan simpanan’ dalam gerakan memajukan negara, tetapi mereka seharusnya dibimbing untuk berdiri sebaris dengan golongan teknokrat dan cendekiawan yang boleh memikirkan strategi memajukan negara.

Mendepani cabaran dunia teknologi digital yang pesat, belia terdorong untuk mengaplikasikan teknologi maklumat sebagai penyalur pemikiran dan gaya hidup mereka.

Kepantasan teknologi telah merangsang belia mencipta inovasi yang dapat memberi kemudahan dan menyemarakkan lagi gaya hidup moden.

Hasil kajian penulis mendapati, lebih 75 peratus belia lebih bertumpu kepada aktiviti e-commerce secara online berbanding menggunakan kaedah perniagaan konvensional.

Ini menunjukkan teknologi maklumat merubah gaya hidup belia ke arah evolusi keusahawanan siber yang boleh melewati dunia tanpa sempadan.

Dalam erti kata lain, golongan ini seharusnya diberi lebih banyak insentif untuk membolehkan mereka berkongsi keupayaan dan kemahiran profesional dengan orang lain tanpa mengira kaum.

Perjalanan kehidupan akan mencetuskan fenomena dan evolusi kematangan pemikiran dengan mencipta perubahan besar dalam kelompok mereka.

Inilah motif kejayaan belia membina warisan mereka mengikut acuan sendiri tanpa didorong dengan hambatan isu-isu kontroversi yang boleh merosakkan kredibiliti dan nama baik mereka.

Kini, golongan belia masih dahagakan corak pimpinan organisasi belia yang lebih terbuka dan memahami aspirasi mereka untuk mengisi peluang dan mendepani cabaran dengan lebih matang.

Apalagi setiap detik menyambut kemerdekaan negara, belia akan sentiasa dianggap sebagai perintis yang dapat meneruskan legasi kegemilangan negara pada masa depan.