Malah, perkahwinan pada usia muda juga tidak menjadi masalah sekiranya pasangan tersebut telah bersedia dan yakin dari segi fizikal dan mental untuk menempuh fasa kehidupan baharu.

Bagaimanapun, adakalanya perkahwinan pada usia muda membawa mudarat lantaran tanggungjawab dan rasa kasih kepada pasangan tidak begitu subur se­perti pasangan yang telah berusia.

Berkahwin pada pada usia muda dan kemudian mengalami kegagalan dalam perkahwinan bukanlah sesuatu yang diingini ketika Azman (bukan nama sebenar) mendirikan rumah tangga pada usia 17 tahun.

Menurut Azman, dia berkenalan dengan Liza (nama samaran) yang sebaya dengannya ketika menuntut di sebuah sekolah menengah di selatan tanah air.

“Walaupun berlainan kelas, kami berkenalan selepas menyertai persatuan yang sama. Saya merupakan pengerusi persatuan berkenaan, manakala Liza menjadi setiausaha.

“Disebabkan saling berjumpa dalam aktiviti persatuan, hubungan kami menjadi rapat dan akhir­nya kami saling jatuh cinta,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.

Masalah kewangan

Cerita Azman lagi, selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga walaupun keputusan peperiksaan berkenaan masih belum diperolehi.

“Kami menyuarakan hasrat untuk berkahwin kepada kedua-dua ibu bapa kami, namun mereka membantah atas alasan saya dan Liza masih muda selain masih belum mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

“Saya dan Liza bagaimanapun berkeras tetap ingin melangsungkan perkahwinan sehingga akhir­nya kedua-dua ibu bapa kami memberikan kebenaran,” katanya.

Azman berkata, ketika itu, dia baru dua bulan bekerja di sebuah kilang perabot, manakala Liza merupakan operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik.

Jelasnya, disebabkan mereka baru saja bekerja, dia dan Liza tidak mengadakan majlis persan­dingan sebaliknya hanya melangsungkan majlis akad nikah secara ringkas ekoran kekangan kewangan.

“Pada mulanya, perkahwinan kami amat bahagia walaupun hanya mampu menyewa sebuah rumah flat yang kecil untuk didiami.

“Rumah tangga kami dirasakan menjadi semakin lengkap apabila kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang comel setahun selepas berkahwin.

“Bagaimanapun, hubungan kami mula diuji selepas itu apabila kami sering mengalami masalah kewangan ekoran perlu membeli pelbagai keperluan bayi seperti susu formula, lampin pakai buang selain upah pengasuh,” katanya.

Sering bertengkar

Tambahnya, mereka juga perlu menjelaskan sewa rumah, bayaran ansuran motosikal, bil-bil utiliti selain membeli barangan dapur seperti beras, ikan dan keperluan lain setiap bulan.

“Disebabkan ini, saya sering melakukan kerja lebih masa sehingga kerap pulang lewat ke rumah.

“Liza yang kepenatan bekerja selain perlu mengasuh anak sendirian sekembalinya di rumah mula menjadikan kelewatan saya pulang ke rumah sebagai punca pertengkaran,” katanya.

Menurut Azman, Liza sering menuduhnya pulang lewat ke rumah kerana pergi melepak dan minum bersama rakan-rakan di kedai makan atau bermain snuker.

“Saya yang kepenatan bekerja lebih masa berasa tercabar apabila diherdik Liza dan pertengkaran kami biasanya tidak berakhir dengan cepat.

“Pada satu hari, pertengkaran kami menjadi semakin buruk apabila Liza menuduh saya sering pulang lewat kerana berjanji temu dengan wanita lain.

“Semasa bertengkar, Liza mencabar saya agar melepaskannya jika mempunyai kekasih lain dan saya yang berasa tercabar terus melafazkan cerai dengan talak satu.

“Selepas lafaz talak diucapkan, saya dan Liza terdiam seketika tidak percaya hubungan suami isteri kami telah berakhir biarpun usia perkahwinan kami masih belum mencecah dua tahun,” katanya.

Azman menjelaskan, biarpun tidak sanggup berjauhan dengan anak perempuannya, dia tidak ada jalan lain selain berpisah dengan isterinya kerana telah melafazkan cerai.

“Selepas bercerai, Liza kembali ke rumah ibu bapanya bersama anak perempuan kami sementara saya pula terus menyewa di rumah sama.

“Setiap hujung minggu, saya mengambil anak perempuan saya dan menghabiskan masa seharian bersamanya sebelum dipulangkan semula kepada bekas isteri,” katanya.

Azman berkata, perkahwinannya dengan Liza mungkin boleh berkekalan sekiranya mereka tidak terburu-buru melangsungkan perkahwinan pada usia muda tanpa bersedia dari segi kewangan terlebih dulu.

“Cinta saja belum cukup untuk menjamin kebahagian pasangan muda yang berkahwin. Banyak faktor lain perlu diambil kira, usah terburu-buru berkahwin, ambil masa melakukan pelbagai perse­diaan termasuk dari segi kewangan,” katanya menutup bicara.