Menyedari masa semakin mencemburui, setiap pasukan kini sedang giat mempersiapkan barisan pemain menjelang sepak mula Liga M 2018 pada 3 Februari depan.

Terdapat beberapa pasukan dilapor telah lengkap dengan barisan pemain yang akan membawa cabaran musim ini. Namun, ada juga pasukan yang masih memburu khidmat pemain baharu.

Bagi pasukan yang mempunyai bajet besar, sudah pasti tidak mempunyai masalah mendapatkan khidmat pemain-pemain berkualiti termasuk awang import.

Sebaliknya, bagi pasukan yang mempunyai dana yang agak terhad, ia pastinya menyukarkan hajat mereka untuk ‘membeli’ pemain terbaik atau berstatus bintang.

Lebih memeritkan apabila pentadbir Liga M, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) meluluskan kuota lima pemain import dalam saingan Liga Super mulai musim 2018 hingga 2022.

Situasi itu sedikit sebanyak bakal memberi tekanan kepada pasukan-pasukan kerdil yang mempunyai kantung kecil berbanding pasukan-pasukan mewah.

Mengulas senario tersebut, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, pasukan yang mempunyai peruntukan kecil seharusnya berbelanja mengikut kemampuan diri.

“Pasukan-pasukan kerdil yang mempunyai bajet kecil tidak wajar membelanjakan wang tersebut untuk mendapatkan khidmat pemain import sehingga lima orang, mereka boleh sahaja mengikat dua pemain asing.

“Pihak pengurusan sesebuah pasukan juga perlu sedar bahawa kualiti pemain import yang dibeli itu kadangkala sekadar untuk mencukupkan kuota dan adakalanya (kualiti permainan) tidak jauh beza dengan pemain tempatan.

“Segelintir pemain import ini tidaklah bagus mana tetapi disebabkan sikap pengurusan sesebuah pasukan untuk mengejar kuota yang dibenarkan, mereka seakan-akan lupa soal kewangan.

“Mereka ini (pengurusan pasukan) juga perlu sedar bahawa dengan ketiadaan penaja, ia akan menjadi satu beban untuk mengekalkan khidmat pemain import,” katanya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Jamal memberitahu, lambakan awang import yang membarisi setiap pasukan Liga Super musim ini secara tidak langsung menutup peluang bakat-bakat tempatan untuk beraksi dengan kerap.

“Apabila peluang untuk beraksi secara kompetitif disekat disebabkan kehadiran pemain import yang ramai, ia memberi impak negatif kepada pembangunan bola sepak negara.

“Lebih-lebih lagi ia akan memberi kesan kepada pasukan kebangsaan kerana apabila pemain tempatan tidak diberikan pendedahan sewajarnya, maka jurulatih tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan pemain lama untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Senada dengan Jamal Nasir ialah penganalisis sukan, Rizal Hasim yang berkata, pasukan-pasukan kerdil sepatutnya tidak terikut-ikut dengan amalan berbelanja pasukan yang mempunyai bajet besar.

“Saya memahami sentimen pasukan-pasukan tersebut iaitu mahu kekal lama dalam liga, namun ia bukanlah satu alasan untuk berbelanja di luar kemampuan. Mereka perlu memahami sasaran pasukan dan berbelanja secara berhemah mengikut sasaran tersebut.

“Jika pasukan tersebut mempunyai bajet sebanyak RM10 juga, maka kerjalah dengan bajet RM10 juga tersebut. Walaupun mereka boleh mendapatkan sehingga lima pemain import, ambil sahaja tiga.

“Jangan ikut acuan pasukan lain. Saya lihat ini adalah satu dilema yang kita hadapi ketika ini yang mana pasukan kecil berangan-angan besar,” katanya.

Rizal berkata, bagi jangka masa pendek, sudah tentu kudrat awang import dapat membantu pasukan-pasukan tempatan untuk beraksi secara kompetitif terutamanya di pentas luar negara seperti kempen Piala AFC.

“Bagaimanapun, apabila pemain tempatan sekadar menjadi pemanas bangku simpanan, maka negara akan kerugian kerana ketiadaan pemain berpengalaman.

“Pendedahan seharusnya diberikan pemain-pemain muda kerana merekalah yang akan menjadi tonggak negara apabila khidmat mereka diperlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata, kekurangan peluang untuk beraksi memberi kesan yang ketara terhadap kemahiran teknikal seseorang pemain.

Katanya, pasukan yang hanya bergantung harap pada kemahiran yang dimiliki oleh pemain import akan berhadapan dengan masalah sekiranya mereka mengalami kecederaan.

“Apabila pemain berkemahiran (pemain import) itu cedera dan pemain simpanan dipanggil masuk untuk menggantikan mereka, di situlah masalah akan timbul.

“Ini kerana apabila seseorang pemain yang jarang-jarang dimasukkan ke padang dan dipanggil bermain, kita dapat lihat bahawa jurang kemahiran antara mereka begitu ketara dan ia pasti merugikan pasukan terlibat,” katanya.

Justeru, beliau percaya jika lebih ramai pemain muda tempatan diberikan peluang untuk beraksi, ia bukan sahaja akan membantu pasukan berkenaan, malah skuad negara turut menerima impak positif.

“Jika tidak, prestasi bola sepak negara pasti akan terus merudum kerana sikap sesetengah pasukan yang terlalu bergantung kepada pemain import,” katanya.