Tidak jauh dari kumpulan kanak-kanak tersebut, seorang wanita tua yang rambutnya dipenuhi uban turut kelihatan membuat gerakan yang sama.

Melihatkan situasi tersebut, mungkin ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan wanita tua di dalam kelompok kanak-kanak itu.

Ternyata, wanita yang dikenali sebagai Ede Smith, 75, itu bukanlah jurulatih ataupun penjaga kepada salah seorang kanak-kanak yang sedang berlatih di sebuah sekolah yang terletak di Great Dalby, England tersebut.

Sebaliknya, nenek kepada lima orang cucu itu merupakan salah seorang pelajar tertua di kelas taekwondo tersebut.

Biarpun memiliki perbezaan umur hampir lapan dekad dengan kanak-kanak yang menjalani latihan di situ, namun ia tidak menghalang Smith daripada terus mempelajari seni mempertahankan diri itu.

Melindungi diri

Lebih membanggakan apabila pada usia yang sudah lanjut itu, Smith berjaya mendapatkan tali pinggang coklat selain menjuarai beberapa pertandingan di sekitar Great Dalby.

Kekuatan yang ada pada warga emas itu menyebabkan dia digelar sebagai ‘nenek ninja’ dalam kalangan masyarakat di Great Dalby.

“Saya mula mempelajari seni mempertahankan diri lima tahun yang lalu selepas menghantar cucu ke kelas latihan taekwondo.

“Melihatkan mereka berlatih dan membuat gerakan mempertahankan diri, saya menjadi tertarik dan mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri di kelas yang sama beberapa bulan kemudian,” jelasnya.

Menurut Smith, dia mengalami penyakit arthritis rheumatoid dan baru sahaja menjalani pembedahan lutut, namun itu tidak menjadi halangan buatnya.

“Selepas pembedahan berjaya dilakukan, doktor menasihatkan saya untuk tidak banyak bergerak dan memperbanyakkan pengambilan suplemen kalsium untuk pemulihan diri.

“Bagaimanapun, saya tidak mengendahkan arahan tersebut, sebaliknya mengambil keputusan untuk menyertai kelas itu.

“Saya fikir keselamatan diri lebih penting daripada segala-galanya. Ia juga membuatkan saya berjaga-jaga dengan segala kemungkinan yang berlaku. Setidak-tidaknya melalui taekwondo ini, saya mampu melindungi diri daripada bahaya jika sesuatu berlaku,” jelasnya.

Jelas Smith lagi, walaupun pada awal latihan dia mengalami kesukaran untuk membuat gerakan, namun dia berbangga apabila berjaya memperoleh tali pinggang coklat dalam masa yang singkat.

Kemampuan otak

Lebih-lebih lagi apabila pada usia lanjut sepertinya, rakan-rakan Smith yang lain sibuk menghabiskan masa dengan berehat di rumah.

“Orang berkata kepada saya, ‘kau begitu luar biasa’ sebaik melihat saya memakai tali pinggang coklat.

“Bagaimanapun, saya rasa itu perkara yang biasa sahaja. Apa yang saya lakukan hanyalah membuat diri kekal aktif biarpun telah berusia.

“Bagi saya, keupayaan badan tidak mempengaruhi umur. Sebaliknya, ia boleh dilakukan dengan kemampuan otak,” jelasnya.

Menurut Smith lagi, dia mempunyai cita-cita tersendiri iaitu untuk mendapatkan tali pinggang hitam dalam tempoh satu bulan akan datang.

“Saya telah mendapat tali pinggang coklat tetapi kini saya sedang gigih berlatih ke arah untuk mendapatkan tali pinggang hitam pula.

“Ini merupakan impian saya sejak mendaftarkan diri ke kelas taekwondo ini,” jelasnya.

Sementara itu, tenaga pengajarnya, Nick Jones menyifatkan Smith sebagai seorang wanita yang serba boleh dan mempunyai ketahanan mental serta fizikal yang mengagumkan.

“Dia bersama kami untuk masa yang lama dan dia adalah duta besar suka taekwondo di Great Dalby. Walaupun umurnya telah lanjut, kehebatan dan kekuatannya tidak boleh dipandang rendah.

“Dia memiliki tekad yang sangat tinggi dan tidak mudah mengalah terhadap sebarang rintangan.

“Dari saat kita mula bertukar-tukar pukulan, saya tahu dia mampu lakukannya. Ternyata dia berjaya buktikannya pada hari ini selepas memiliki tali pinggang coklat,” ujarnya.

Nenek kepada lima orang cucu di Great Dalby, Engdlad digelar sebagai ‘nenek ninja’ dalam kalangan jiran tetangga selepas berjaya mendapatkan tali pinggang coklat.