Tetapi ketika mengikuti pameran kerjaya tiga tahun lalu, pandangan Ainaa Syafiiqah mula beralih kepada bidang kejuruteraan penyenggaraan kapal terbang.

Akui anak bongsu daripada empat beradik itu, bidang tersebut agak asing dan jarang diperkatakan orang berbanding kerjaya lain seperti peguam, doktor dan akauntan.

Setelah mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu, Ainaa Syafiiqah mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Allied Aeronautics Training Centre Sdn. Bhd. (Allied) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Walaupun bidang kejuruteraan penyenggaraan kapal terbang dipelopori oleh orang lelaki tetapi ia tidak menghalang saya untuk merealisasikan cita-cita ini.

“Saya rasa sangat seronok kerana dapat mempelajari secara lebih mendalam mengenai kapal terbang seperti struktur binaan, enjin, rekaan dan syarikat pengeluaran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Allied, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah pelajar tahun dua, Lesen Penyenggaraan Kapal Terbang (CAAM Part-66 CAT A1) itu, dia berasa bertuah kerana diberi tunjuk ajar oleh pengajar berpengalaman luas dalam industri penyenggaraan kapal terbang.

Bercerita mengenai jadual kelasnya, Ainaa Syafiiqah berkata, dia mempunyai lima kali kelas seminggu iaitu bermula 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Anak kelahiran Jitra, Kedah itu turut bersyukur kerana keluarga memberi sokongan terhadap minatnya dan dia merupakan satu-satunya ahli keluarga yang memilih bidang kejuruteraan.

Pada masa akan datang, Ainaa Syafiiqah bercadang untuk menyambung pengajian ke lesen yang lebih tinggi dan menjadi tenaga pengajar dalam bidang penyenggaraan kapal terbang.

Sementara itu, seorang lagi pelajar tahun dua, Lesen Penyenggaraan Kapal Terbang (CAAM Part-66 CAT A1), Wan Ahmad Aiman Wan Zairudin, 19, berkongsi keseronokan yang sama apabila berpeluang menceburi bidang tersebut.

“Dahulu saya bercita-cita untuk menjadi juruterbang tetapi kos pembelajarannya sangat tinggi.

“Apatah lagi, kerjaya sebagai juruterbang sudah terlalu ramai sehingga keperluannya sedikit berkurang berbanding Kejuruteraan Penyenggaraan Kapal Terbang.

“Saya bersyukur apabila sepupu yang merupakan Jurutera Penyenggaraan Kapal Terbang di Malaysia Airlines (MAS) telah memberi maklumat mengenai pekerjaan ini,” jelasnya yang dilahirkan dalam keluarga yang majoriti bekerja sebagai jurutera.

Lesen

Allied yang ditubuhkan pada tahun 2015 merupakan pusat latihan untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang Kejuruteraan Penyenggaraan Kapal Terbang bagi memenuhi pasaran dalam negara serta antarabangsa.

Pusat latihan ini juga diluluskan oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mempunyai jaringan kerjasama dengan beberapa syarikat terkemuka seperti Malindo air, Firefly, Air Asia dan Airod Aerospace.

Dalam pada itu, tenaga pengajar Penyenggaraan Kapal Terbang di Allied, Hasrul Nizam Abdullah berkata, para pelajar perlu melalui beberapa tahap untuk mendapatkan lesen Penyenggaraan Kapal Terbang.

“Bagi lesen CAAM Part-66 CAT A1, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga tahun di sini.

“Program ini terbuka kepada pelajar lepasan SPM dari aliran Sains dan bukan Sains.

Cabaran

“Bagi pelajar aliran Sains memerlukan kredit dalam Matematik Moden dan Fizik manakala bukan aliran Sains memerlukan kredit dalam subjek Sains,”ujarnya yang berpengalaman dua dekad sebagai Juruteknik Penyenggaraan Kapal Terbang di MAS.

Tambahnya, calon pelajar perlu lulus Bahasa Melayu, Sejarah serta kredit Bahasa Inggeris.

Pelajar yang menamatkan CAAM Part-66 CAT A1 akan memperoleh lesen untuk bergelar juruteknik.

Justeru, untuk mendapatkan lesen sebagai jurutera mereka perlu menyambung pengajian sambil belajar di peringkat CAAM Part-66 CAT B1.1 dengan pengalaman kerja selama setahun. Lesen ini sangat penting bagi melayakkan mereka membaiki setiap bahagian di dalam kapal terbang

“Dalam tempoh tiga tahun di peringkat CAAM Part-66 CAT A1, pembelajaran dibahagikan kepada tiga komponen iaitu program asasi selama enam bulan, kelas teori selama 17 bulan, kelas pembaikan penyenggaraan dan membaik pulih selama 12 bulan serta permohonan lesen asas.

“Antara subjek yang diajar ialah pengetahuan asas mengenai aerodinamik, elektrik, amalan penyenggaraan, perundangan penerbangan dan sistem instrumen elektronik,” jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Hasrul Nizam yang menjadi tenaga pengajar kepada 26 orang pelajar di bawah seliaannya turut berkongsi cabaran dalam bidang penyenggaraan kapal terbang. Antaranya termasuklah kesukaran mendapatkan alat ganti terutama membaiki kapal terbang dari luar negara.

Cabaran lain, mereka perlu berkejar dengan masa untuk menyiapkan pesawat yang dibaiki itu mengikut tarikh ditetapkan.

“Perkara paling penting untuk menceburi bidang ini ialah minat kerana ia bukanlah tugas yang mudah malah perlu melalui banyak prosedur.

“Harus diingat, kapal terbang perlu bersedia dari segi teknikal bagi memastikan keselamatan penumpang,” katanya yang berasal dari Jerteh, Terengganu.

Mengulas lanjut mengenai pengajian, Ketua Unit Pengambilan pelajar Allied Aeronautics Training Centre, Mohanadas Narasaman berkata, pihaknya menyediakan kursus untuk lesen asas sehingga peringkat tertinggi iaitu Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan Pengkhususan Logistik Penerbangan.

“Perjalanan kerjaya mereka dalam bidang ini sangat luas apatah lagi dengan tawaran gaji yang lumayan iaitu kira-kira RM10,000 sebulan bagi Jurutera Penyenggaraan Kapal Terbang.

“Permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang ini sangat tinggi dan Boeing menjangkakan 679,000 orang diperlukan untuk memenuhi pelbagai tugas penyenggaraan kapal terbang pada masa akan datang,” kata lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

Pada masa sama, Malaysia pula memerlukan kira-kira 8,700 orang pekerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang penyenggaraan kapal terbang.

Justeru, Allied ingin meluaskan maklumat kepada orang ramai mengenai bidang ini memandangkan ia masih kurang dikenali. Allied kini mempunyai 163 orang pelajar dan 24 daripadanya merupakan wanita serta 16 tenaga pengajar yang mempunyai pengetahuan luas dalam industri penerbangan.

Di pusat latihan ini, mereka memfokuskan 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori.