Dia yang merupakan seorang veterinar untuk Four Paws iaitu sebuah organisasi kebajikan haiwan antarabangsa menanti ketibaan konvoi trak tersebut dengan penuh debaran di sempadan Turki.

Bagi Amir, selagi trak yang membawa sekumpulan sembilan ekor haiwan dari sebuah zoo di Aleppo, Syria itu belum melepasi sempadan Syria-Turki, hatinya masih tidak tenteram.

Ini kerana, pasukan penyelamat dan haiwan tersebut terdedah kepada ancaman penculikan, serangan bom dan penyerang hendap sepanjang perjalanan merentasi zon peperangan aktif sebelum tiba di sempadan Turki.

Terdahulu, haiwan berkenaan ditinggalkan terbiar selepas bandar Aleppo musnah teruk berikutan perang saudara Syria yang berlanjutan selama hampir tujuh tahun sejak pertama kali meletus pada Ogos 2011.

Ketika ditemui, haiwan tersebut termasuklah lima ekor singa, dua ekor harimau, dua ekor beruang hitam, dua ekor dubuk dan dua ekor anjing baka Siberian Husky terperangkap dalam kurungan masing-masing dengan bekalan minuman dan makanan yang hanya tinggal sisa.

Taman tema Magic World yang juga dikenali dengan nama Aalim al-Sahar dan pernah menjadi kediaman bagi lebih 300 ekor haiwan kini tinggal runtuhan dan terbiar tanpa jagaan.

Ubat penenang

Menurut pemilik zoo, Azzam Massassati, banyak haiwan yang mati akibat kebuluran, kesakitan dan trauma selain terbunuh ekoran tindakan pengeboman udara ke atas Aleppo.

“Saya percaya ada juga yang dijual di pasaran gelap oleh pihak tidak bertanggungjawab,” ujarnya seperti dipetik portal National Geographic.

Menceritakan kembali misi menyelamatkan haiwan berkenaan, Amir berkata, pihaknya mengambil masa berbulan-bulan untuk merancang dan mendapat bantuan daripada kedutaan, pegawai kerajaan, organisasi bantuan antarabangsa, syarikat keselamatan dan penasihat ketenteraan.

Menurutnya, mereka memindahkan haiwan itu menerusi jalan darat dari wilayah bergolak Aleppo ke sempadan Cobanbey sebelum masuk ke Turki merentasi perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer (km).

“Untuk memastikan perjalanan itu selamat, kami perlu membuat rundingan dengan puak-puak dan panglima perang tempatan selain merancang laluan alternatif dan memantau keadaan semasa,” imbasnya.

Sementara itu, salah seorang penjaga zoo, Omar Khalifa berkata, dia dan empat lagi petugas zoo bekerja sepanjang malam untuk memuatkan haiwan tersebut ke dalam traktor sepanjang 13.7 meter.

“Ia suatu tugasan yang sukar dan berbahaya kerana kami tidak menggunakan ubat penenang serta peralatan berat bagi mengangkat kurungan besi seberat lebih 400 kilogram,” ceritanya.

Operasi awal Four Paws dibuat pada 21 Julai tahun lalu dengan memindahkan sembilan haiwan terdiri daripada tiga ekor singa, dua ekor harimau, dua ekor beruang hitam dan dua ekor dubuk daripada Magic World.

“Kami hanya boleh membawa sembilan ekor haiwan dalam misi pertama dan terpaksa meninggalkan empat ekor lagi untuk operasi kedua,” kata Omar.

Jangkitan parasit

Dari Cobanhey, mereka mengambil masa 24 jam untuk memandu sejauh 1,198km ke pusat perlindungan haiwan milik kerajaan di Karacabey, Turki di barat laut Istanbul.

Pemindahan empat haiwan terakhir membabitkan dua ekor singa dan dua ekor anjing Siberian Husky pula dibuat pada 28 Julai, seminggu selepas operasi sulung.

Pihak Four Paws kemudian berjaya mendapatkan sijil kesihatan dan permit daripada kerajaan Turki untuk memindahkan kesemua haiwan berkenaan ke Jordan.

Amir berkata, dubuk dan anjing baka Siberian Husky dipindahkan ke New Hope Centre di Amman, manakala singa, harimau serta beruang hitam dibawa ke Al Ma’wa Sanctuary iaitu sebuah pusat perlindungan haiwan terbesar di Asia Barat yang terletak di utara Jordan.

Kedua-dua fasiliti berkenaan dibina oleh Yayasan Puteri Alia yang diasaskan oleh anak sulung Raja Jordan, Puteri Alia Al Hussein.

Kesemua haiwan tersebut dibawa ke Jordan menerusi Penerbangan Royal Jordanian dari Lapangan Terbang Ataturk Istanbul kira-kira tiga minggu selepas misi menyelamat.

Cerita Amir, semasa mula-mula diselamatkan, kesemua 13 ekor haiwan berkenaan mengalami dehidrasi, malnutrisi, jangkitan parasit dan luka-luka luaran akibat terkena letupan bom serta mortar.

“Seekor harimau jantan bernama Sultan berada dalam keadaan kritikal. Semasa diberi ubat penenang, Sultan terkena serangan jantung, namun tindakan pantas dengan memberi suntikan adrenalin berjaya menyelamatkannya.

“Ujian ultrabunyi yang dijalankan ke atas singa betina bernama Dana pula mendapati, ia bunting dan bakal melahirkan anak pada bila-bila masa sahaja,” kata Amir sambil memberitahu, anak singa itu selamat dilahirkan di Jordan, namun mati sebulan kemudian.

Doktor haiwan itu tidak menolak kemungkinan bahawa anak singa yang diberi nama Hajar itu mati kerana kelemahan sistem imunisasi tubuh selain organ yang tidak ter­bentuk dengan baik berikutan diet kurang sihat ibunya semasa di Syria.

Menurut Amir, walaupun operasi menyelamat telah berjaya, namun tugas itu tidak terhenti di situ sahaja kerana mereka perlu memastikan kelangsungan hidup haiwan tersebut.

Katanya, bagi mengelak kebuluran yang lebih teruk, tindakan segera perlu dilakukan untuk membekalkan makanan kepada haiwan-haiwan itu.

“Seekor harimau memerlukan dua sehingga empat kilogram daging sehari, manakala singa memerlukan empat sehingga lima kilogram daging sehari. Haiwan herbivor pula memerlukan 100 kilogram sayur-sayuran dan 5,000 liter air,” ujarnya.