Dia menyertai sebuah pakatan paramiliter, Hashed al-Shaabi pada tahun 2014 yang berjuang bersama kerajaan Iraq.

Bagaimanapun, ketika bertempur di Fallujah barat Baghdad, Karrar terkena letupan bom sehingga kehilangan kaki kirinya.

Dia dihantar untuk mendapatkan rawatan di Iran dan Lebanon bagi membolehkannya kembali pulih seperti sediakala.

Akhirnya, dia diberikan kaki palsu bagi memudahkan pergerakan sehariannya.

Pada tahun 2015, ketika dia bertempur di utara ibu negara, Baiji, sekali lagi dua butir peluru menghancurkan lutut kanannya sehingga menyebabkan dia tidak lagi mampu bergerak.

Setelah tiga tahun, Perdana Menteri Iraq, Haider Al-Abadi mengisytiharkan kemenangan tentera Iraq dalam perang berkenaan yang mencederakan puluhan ribu pejuang.

Sebanyak 8,000 orang tentera telah terkorban dan lebih 26,000 cedera dalam peperangan tersebut.

Pencen

Karrar yang merupakan bapa kepada tiga orang anak dibiarkan tanpa dibela nasibnya.

Dia kini menganggur dan menghabiskan hari-harinya di rumah dengan hanya bergantung kepada pencen bulanan yang amat sedikit iaitu 500,000 dinar Iraq (RM1,650).

Pencen berkenaan bukan sahaja tidak mencukupi untuk membeli ubat bagi merawat kakinya, bahkan menanggung keluarganya.

“Saya ingin bekerja tetapi dengan keadaan sebegini mustahil untuk melakukan pekerjaan yang berat atau memandu kenderaan,” ujarnya.

Penguasa di Hashed, Abu Mehdi al-Mohandis berkata, hospital yang dikendalikan unit paramiliter menyediakan rawatan perubatan percuma untuk 60,000 pejuang dan 300,000 orang awam.

Menurut, Dhia Hussein yang berkhidmat di Hospital Al-Razi di Baghdad, seramai 1,450 orang telah mendapatkan rawatan perubatan sejak enam bulan yang lalu.

Hakikatnya, Iraq mempunyai sejarah konflik berdarah yang panjang bermula dari perang dengan Iran pada 1980 hingga 1988 sehingga pencerobohan yang diketuai oleh Amerika Syarikat yang berjaya menggulingkan diktaktor Saddam Hussein.

Prostetik

Setiap konflik yang berlaku telah mengorbankan banyak nyawa, kecederaan yang luar biasa dan separuh daripadanya terpaksa dipotong beberapa anggota badan.

Pencipta anggota prostetik, Tahssin Ibrahim berkata, berlaku peningkatan mereka yang tidak mempunyai kaki atau tangan sejak peperangan berdarah pada tahun 2003.

Jelas Tahssin, sejak itu jumlah bengkel yang menghasilkan prostesis dan kedai yang menjual peralatan perubatan meningkat 10 kali ganda.

“Kebanyakan penduduk cedera akibat perang dan mereka terpaksa meminjam wang untuk membiayai prostetik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas tentera, Ahmed, 32, yang kehilangan kaki kanannya akibat letupan bom mengakui pencennya berjumlah 575,000 dinar Iraq (RM1,898) tidak mencukupi untuk menampung hidup.

Ahmed berkata, setiap bulan separuh daripada pencen berkenaan digunakan untuk membayar rawatan perubatan dan membeli ubat-ubatan.

“Saya perlu membayar tambang teksi untuk bertemu dengan doktor dan selebihnya digunakan untuk membeli makanan.

Bas awam yang sedia ada tidak praktikal untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan saya perlu menaiki teksi. Sememangnya, pencen tersebut tidak mencukupi untuk menampung semuanya,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Seorang doktor, Ghassan al-Alussi berkata, pencen yang diperuntukkan kepada veteran tentera tidak memadai dengan sumbangan mereka kepada negara.

“Institusi awam dan kesihatan perlu menitikberatkan kebajikan bekas tentera kerana jasa mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya.