Walaupun perkara tersebut bukanlah sesuatu yang disukai kebanyakan masyarakat, tetapi ia wajar dilaksanakan bagi melindungi sebelah pihak daripada terus dizalimi atau ditindas.

Pun begitu, masih terdapat beberapa lagi hak selepas perceraian yang perlu ditunaikan walaupun terputus sudah ikatan suami isteri.

Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah SWT telah menyatakan: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya,” (Surah at-Talak:6).

Tanggungjawab

Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai.

Hak mendapat kehidupan bagi si anak merupakan hak yang tidak boleh diganggu dan disekat.

Bagaimanapun, menurut pendakwah bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman, keculasan dalam pemberian nafkah merupakan perkara yang lazim berlaku.

Katanya, punca utama perkara tersebut berlaku disebabkan kurangnya pemahaman berkaitan hukum dalam munakahat.

“Kebanyakan lelaki berpendapat, sesudah bercerai mereka tidak perlu lagi menanggung keluarga itu. Hakikatnya, yang terputus hubungan itu ialah ibu dan bapa tetapi hubungan antara anak itu tidak akan pernah terputus,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambah Muhamad Aizuddin, golongan wanita perlu celik mengenai perundangan Islam bagi mengelakkan mereka daripada terus ditindas.

Hal ini kerana ia merupakan hak yang telah ditetapkan oleh perundangan bagi melindungi golongan tersebut.

Baru-baru ini, Kosmo! Ahad melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa mengumumkan usul ke Kabinet mengenai mekanisme mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang liat memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak.

Membela

Kajian mengenai perkara itu kini dalam peringkat akhir setelah pihaknya mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kewangan, Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ia dijang­ka dilaksanakan serta-merta tahun ini.

Katanya, langkah itu bertujuan membela kaum wanita yang selama ini ditindas oleh sesetengah suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab membayar nafkah kepada isteri yang mereka ceraikan.

Jelas Mujahid, mekanisme itu juga bagi membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan kaedah seperti menuntut nafkah daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan akaun bank suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Fatimah Daud menyambut baik hasrat pengenalan mekanisme itu.

Bahkan, beliau menyifatkan ia sebagai satu bentuk perlindungan terhadap golongan wanita.

“Menerusi mekanisme sekatan bank ini, golongan suami tidak boleh lagi melarikan diri daripada menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

“Ia merupakan tindakan tepat lebih-lebih lagi apabila masih ramai lagi golongan wanita bercerai yang selama ini ditindas oleh bekas suami. Secara tidak langsung, ia dapat meringankan beban golongan wanita,” ujarnya.