Mengenakan jubah berwarna jingga, Rakhia Ismail, 47, dalam ucapannya melahirkan rasa teruja dan mengakui seronok apabila dilantik sebagai orang penting di situ.

Tarikh 16 Mei 2019 menjadi tarikh keramat buat Rakhia Ismail apabila dia secara rasminya dilantik sebagai Datuk Bandar.

Pada wajah ibu kepada empat orang cahaya mata itu terlukis kegembiraan dan dia juga mengakui teruja dengan sambutan dan sokongan yang diterima masyarakat.

Siapa sangka, figura wanita tersebut merupakan seorang pelarian dari Somalia yang datang ke UK lebih 20 tahun lalu.

Mengimbau kembali, Rakhia memberitahu, kehidupannya sebagai pelarian cukup sukar dan daripada situ, dia mula nekad untuk mengubah nasibnya dan individu lain senasib dengannya.

Dalam satu temu bual dengan stesyen British Broadcasting Corporation (BBC) sejurus pelantikannya, Rakhia memberitahu, minatnya untuk menceburi bidang politik bermula semasa di bangku sekolah.

Etnik minoriti

“Saya sudah menetap di Islington sejak kecil dan merupakan seorang individu yang banyak bertanya.

“Saya sering mempersoalkan sekiranya sesuatu masalah itu tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Selepas itu, saya melibatkan diri sebagai pemimpin di sekolah dan tahu-tahu sahaja, bergelar Datuk Bandar,” selorohnya.

Tambah Rakhia, dia juga berasa adalah amat penting untuk seorang wanita berkulit gelap atau pun individu daripada etnik minoriti untuk melibatkan diri dalam politik.

“Hal ini kerana, hanya kami sahaja yang memahami kehidupan sukar dan apa yang kami lalui.

“Sudah terlalu lama individu lain bercakap bagi pihak kami atau pun kumpulan seperti saya.

Memetik laporan laman web www.islingtongazette.co.uk, perasaan terujanya saat dilantik sebagai Datuk Bandar sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Saya cukup teruja apabila melihat ramai individu daripada pelbagai latar belakang berbeza yang menetap di Britain.

Graduan fesyen

“Secara peribadi, saya berasa amat terharu atas pelantikan ini memandangkan mempunyai latar belakang seorang pelarian dari Somalia.

“Masa depan yang dahulunya saya sangka gelap bertukar manis apabila saya berdiri di sini pada hari ini sebagai Datuk Bandar,” ucap Rakhia.

Rakhia memberitahu, dia mula-mula datang ke UK pada awal tahun 1980-an.

Dia tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang ahli majlis dan mengakui hanya mengikut ibunya menjadi pelarian kerana kesempitan hidup.

“Ibu saya merupakan seorang wanita yang tabah dan benar-benar bekerja keras untuk menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

Siapa sangka, Rakhia sebenarnya merupakan seorang graduan bidang fesyen di London College of Fashion.

Sebelum ini, dia bekerja sebagai pereka corak pada pakaian sebelum terbabit dalam dunia politik.

Begitu pun, wanita berjiwa besar itu selalu mahu membantu orang lain dan melakukan perubahan di sekelilingnya.

Rakhia mula bekerja dalam bidang kesukarelawan dengan menghubungkan Somalia dan masyarakat BAME yang merujuk kepada kumpulan masyarakat di Britain yang terdiri daripada masyarakat Asia, individu berkulit gelap dan juga etnik minoriti negara itu dengan perkhidmatan kanak-kanak dan juga lawatan ke sekolah-sekolah sekitar London.

Dia kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Islington pada tahun 2012 dan berkhidmat di situ sehingga dilantik menjadi Datuk Bandar.

Wanita berkaca mata itu juga memberitahu, pelantikan itu akan membuka ruang buatnya untuk memberi penekanan terhadap isu-isu semasa yang membelenggu masyarakat di kawasan terbabit khususnya.

Antara isu tersebut termasuklah memberitahu dunia tentang masalah kesihatan mental yang sudah menjadi semakin kerap dalam kalangan penduduk.

“Masalah kesihatan mental ialah satu isu yang cukup besar namun cukup jarang dibincangkan kerajaan.

“Saya mahu orang tahu bahawa masalah mental menyebabkan ramai individu yang terseksa dalam diam.

“Lebih menyedihkan, ia berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada pelajar, guru dan ia memusnahkan kehidupan seseorang individu. Oleh sebab itu, saya benar-benar mahu menjadi seorang Datuk Bandar dan membantu golongan ini,” jelasnya.

Rakhia juga dikenali sebagai seorang individu dengan personaliti dan perwatakan yang cukup lantang.

Dia sebelum ini pernah melakukan protes pada tahun 2017 apabila mendapat tahu seorang gadis berusia 19 tahun dilarang daripada memasuki sebuah premis makanan segera hanya kerana dia berhijab.

“Kita perlu menentang Islamofobia atau ia akan merebak seperti kuman,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Restoran makanan segera tersebut kemudian memohon maaf atas insiden terbabit dan memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah melarang individu daripada mana-mana kaum atau agama pun daripada memasuki premis restoran makanan segera itu.

Wanita Muslim yang memakai hijab seringkali disalah anggap dan serta dipandang berbeza jika dibandingkan dengan wanita Muslim dengan imej tidak berhijab.

Begitu pun, tafsiran serong terhadap seseorang yang beragama Islam atau agama itu sendiri tidak sedikit pun mematahkan semangat Rakhia untuk bergelar seorang pemimpin dan memperjuangkan hak-hak wanita.

Lantikannya sebagai Datuk Bandar berhijab pertama di UK bakal menyaksikan lebih banyak lagi perubahan yang dilakukan figura itu.

Diangkat sebagai suri teladan wanita Somali, janji Rakhia ialah dia mahu memulihkan imej Islam di mata dunia.