Wajahnya kelihatan begitu tegang.

Sejak hampir tiga jam lalu, dia tidak henti-henti memberi arahan kepada sekumpulan pakar bedah yang sedang berhempas-pulas melakukan pembedahan terhadap seorang pesakit parkinson di First Medical Center Plagh, Beijing.

Biarpun pada waktu itu Zhipei berada dalam sebuah ruang kosong di Sanya, China, namun dia mendakwa terasa seolah-olah berada di dalam bilik pembedahan sebenar.

“Bagaimanakah keadaan anda?” soalnya kepada pesakit yang enggan dikenali menerusi paparan skrin komputer riba yang terpasang di hadapannya.

“Saya bertambah baik,” balas pesakit tersebut.

Sebaik lelaki berusia dalam lingkungan 70 tahun itu memberi reaksi positif, Zhipei mula tersenyum lega sambil mengucap syukur.

Kejayaan pembedahan yang dilakukan pada pertengahan Mac itu berjaya melakar sejarah baharu dalam bidang perubatan dunia apabila buat pertama kalinya, seorang doktor berjaya melakukan misi pembedahan pada jarak 3,000 kilometer (km) dengan hanya menggunakan kamera dan komputer yang diakses pada jalur lebar 5G.

Jalur lebar 5G merupakan evolusi daripada teknologi komunikasi tanpa wayar yang digunakan khusus bagi komunikasi selular mudah alih.

Kawasan terpencil

Sejak berita kejayaan pembedahan menggunakan jalur lebar 5G itu tersebar, pakar-pakar perubatan di beberapa buah negara maju mula menunjukkan minat untuk menggunakan pendekatan sama.

“Pembedahan tersebut dilakukan untuk penanaman implan alat rangsangan otak yang dikenali sebagai deep brain simulator (DBS) terhadap seorang pesakit parkinson saya.

“Penyakit tersebut memerlukan pesakit dibedah pada kadar segera ketika saya sedang bertugas di sebuah hospital di Sanya. Disebabkan keadaan kesihatan yang kurang memberangsangkan untuk dia bergerak sejauh 3,000km, kami mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan penanaman implan DBS dari jarak jauh,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut, menurut Zhipei, parkinson merupakan penyakit yang paling biasa dihadapi oleh masyarakat hari ini terutamanya bagi mereka yang meningkat usia.

Penghidap akan mengalami gangguan otak yang membawa kepada kelembapan pergerakan secara tiba-tiba, nyanyuk dan tubuh badan yang menggeletar hampir setiap masa.

“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh The Neurology Lancet pada tahun 2016, terdapat 6.1 juta individu menghidap penyakit parkinson. Angka tersebut menunjukkan peningkatan kerana pada tahun 1990, hanya 2.5 juta individu sahaja terjejas dengan penyakit itu.

“Walaupun tiada ubat untuk menyembuhkan penyakit ini, namun penanaman implan DBS merupakan alternatif berkesan untuk merawat pesakit untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan normal.

“Biarpun begitu, kesukaran dan pembedahan penanaman implan DBS yang rumit menyebabkan ia hanya dilakukan oleh pakar-pakar yang bertauliah di hospital-hospital tertentu sahaja,” jelasnya.

Keadaan tersebut secara tidak langsung menyukarkan pesakit terutamanya yang mendiami kawasan luar bandar dan terpencil untuk mendapatkan rawatan.

“Bagi pesakit parkinson, penanaman implan DBS membolehkan mereka untuk mengurangkan pengambilan ubat-ubatan dan dan menjalani kehidupan normal seperti dahulu.

“Justeru dengan kewujudan jalur lebar 5G, ia membolehkan kami sebagai pakar neurologi untuk melakukan pembedahan di mana-mana sahaja dan membantu pesakit mendapatkan rawatan yang diperlukan dengan cepat,” jelasnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembedahan jarak jauh menggunakan jalur lebar 5G, menurut Zhipei lagi, dia berkolaborasi dengan beberapa orang pakar yang ditugaskan untuk melakukan pembedahan di bilik bedah.

“Nampak sahaja dilakukan berasingan, namun realitinya ia sama sahaja seperti berada di dalam bilik pembedahan yang sama. Malah saya tidak terasa pesakit anda berada sejauh 3,000km.

“Cuma yang membezakannya ialah saya memberikan arahan menggunakan ketepatan mikron pada komputer yang diakses dengan jalur lebar 5G sementara pakar-pakar yang berada di lokasi kejadian pula akan melakukan kerja-kerja pembedahan,” jelasnya.

Menurut Zhipei lagi, tiada sebarang prosedur luar biasa dilakukan sepanjang pembedahan berlangsung.

“Semuanya sama sahaja dan dilakukan secara berperingkat. Pakar akan mengesan kawasan yang terlibat sebelum memasukkan peranti DBS ke dalam bahagian otak yang bersaiz kacang soya.

“Seterusnya, tahap perkembangan pesakit akan dipantau seperti tekanan darah, jantung dan lain-lain bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan terkawal hingga pembedahan selesai dijalankan.

“Dengan video definisi tinggi yang ditransmisikan melalui penstriman langsung jalur lebar 5G berkecepatan tinggi, semuanya tidak mustahil dilakukan pada hari ini,” ceritanya.

Jalur lebar

Biarpun begitu, bagi sesetengah individu, kaedah tersebut dikatakan tidak begitu praktikal memandangkan operasi pembedahan merupakan perkara yang serius dan berisiko tinggi terhadap pesakit.

Dakwa mereka, kehadiran doktor pakar di dalam ruang bedah adalah penting bagi memastikan sebarang kes-kes kecemasan sewaktu pembedahan berlangsung terkawal.

Bagaimanapun doktor yang mengetuai operasi di dalam bilik pembedahan itu, Dr. Xu Xin menegaskan, tiada kebarangkalian untuk pembedahan dilakukan secara salah.

“Zhipei merupakan pakar bedah pertama China yang melakukan implan DBS bagi pesakit penyakit parkinson pada 1998.

“Pengalaman sebelum ini dan dengan bantuan jalur lebar 5G, dia boleh melakukan secara jarak jauh. Dia boleh mengawal instrumen dengan membaca isyarat pada komputer riba, atau memberi arahan mengikut masa nyata kepada pakar bedah.

“Rangkaian 5G telah menyelesaikan masalah seperti video tersekat atau lambat dan membolehkan pembedahan dilakukan dengan lancar tanpa batasan waktu,” jelasnya.

Biarpun begitu, pembedahan tersebut bukanlah satu-satunya operasi jarak jauh menggunakan jalur lebar 5G yang berjaya dilakukan di dunia.

Selasa lalu, operasi pembedahan hati yang rumit di sebuah hospital di Shenzhen berjaya dilakukan dengan pemantauan seorang pakar hati dari sebuah hospital berjarak 2,000km di Beijing, Dr. Dong Jiahong.

“Kemunculan era 5G membolehkan doktor merancang dan melakukan pembedahan jarak jauh.

“Teknologi ini membuka ruang buat para penyelidik di masa depan untuk mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan di seluruh negara. Terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar, kurang berkemampuan atau ketika peperangan.

“Biarpun begitu, bukan sahaja bidang perubatan, teknologi 5G ini juga boleh dilakukan oleh mana-mana pekerja di sektor pekerjaan lain,” jelasnya.