Kini, imej kesengsaraan etnik Rohingya itu ditelanjangkan untuk tatapan di seluruh dunia.

Prasangka, diskriminasi dan stereotaip terhadap Rohingya menyebabkan mereka terus diseksa. Berdasarkan laporan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 120,000 pelarian Rohingya meninggalkan negeri Rakhine sejak berlakunya pertumpahan darah pada tahun 2012.

Salah seorang penduduk Rohingya yang berlindung di Malaysia sejak tahun 1992, Zafar Ahmad Abdul Ghani, 47, berkongsi kisah sadis hidupnya dan rakan-rakan sebangsa.

Kini, dia telah mendirikan rumah tangga dengan penduduk tempatan dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Mengimbau sejarah hitam yang dilaluinya, penderitaan bermula apabila dia ditangkap sekitar pukul 9 malam oleh tentera Myanmar selepas serbuan dilakukan di rumahnya.

Kelantangan bersuara dalam menegakkan hak bangsanya telah menyebabkan dia diseksa oleh tentera Myanmar.

“Sepanjang dalam tahanan, saya diseksa dengan kejam. Dua jari tangan kanan saya dipotong dan beberapa gigi saya patah akibat ditumbuk oleh tentera Myanmar.

“Saya bernasib baik kerana dapat melarikan diri dari lokap yang diperbuat daripada buluh dengan bersembunyi di dalam feri yang menghantar bekalan makanan,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Zafar Ahmad nekad lari ke Malaysia kerana sudah tidak tahan menanggung penderitaan di tempat tumpah darahnya sendiri.

Malah, dengan kecederaan fizikal dan mental, dia terpaksa meredah lautan beribu kilometer semata-mata mahu menyelamatkan diri.

“Hak kami dinafikan dan kami ditindas tanpa belas kasihan. Ramai yang menjadi korban akibat kezaliman tentera Myanmar. Ibu bapa dan adik perempuan saya juga telah dibunuh.

“Semuanya seolah-olah masih baharu dan menjadi mimpi buruk bagi saya. Seorang demi seorang insan yang saya sayang ditembak di hadapan saya,” kata Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar itu.

Wabak penyakit

Katanya, etnik Rohingya berhadapan dengan penindasan dari sudut keagamaan apabila masjid dan madrasah dimusnahkan. Mereka juga dihalang daripada membina masjid baharu atau membaik pulih masjid sedia ada.

“Kanak-kanak Rohingya terus didiskriminasi terutamanya dalam pendidikan, kesihatan dan pekerjaan. Setiap kanak-kanak yang lahir perlu didaftar dengan bayaran yang sangat mahal. Ia secara tidak langsung menindas penduduk yang miskin.

“Majoriti kanak-kanak Rohingya menderita kurang zat makanan, sekali gus mendedahkan mereka kepada wabak penyakit dan menjejaskan pertumbuhan fizikal serta mental mereka,” jelasnya.

Kini, setelah hampir 24 tahun menetap di Malaysia, dia terlalu rindukan kampung halamannya.

Etnik Rohingya masih menjadi pengemis di negara sendiri bahkan separuh daripada mereka sudah menjadi pelarian di negara orang.

Zafar Ahmad menyifatkan, Malaysia merupakan negara yang banyak membantu etnik Rohingya sejak krisis kemanusiaan itu berlaku.

“Etnik Rohingya dilayan dengan baik oleh kerajaan Malaysia. Kebajikan dan keselamatan kami di sini lebih terjamin.

“Kami yakin dengan bantuan serta kerjasama negara-negara Islam di seluruh dunia, hak kami akan dikembalikan suatu masa nanti,” katanya lagi.

Penjajahan British di Myanmar menyumbang kepada status etnik minoriti Rohingya hari ini.

Walaupun terdapat 134 etnik di Myanmar, Rohingya tidak diiktiraf sebagai salah satu daripada kumpulan serta etnik tersebut.

Kehilangan identiti masyarakat Rohingya berlaku apabila mereka melarikan diri ke Bangladesh pada tahun 1942 ketika berlakunya perang etnik.

Apabila mereka kembali semula ke Myanmar, berlaku perubahan pada dasar negara, sekali gus menyebabkan mereka tidak diiktiraf sebagai rakyat di negara itu.

 

Penghapusan etnik yang berlaku di Rakhine, Myanmar sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Perbuatan kejam itu jika diperhalusi sudah mencapai tahap tidak logik sama sekali.

Takut

Perselisihan faham menjadikan umat Islam di Rakhine sebagai sasaran kaum Arakan yang majoritinya beragama Buddha.

Myanmar yang menolak keputusan badan Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyiasat dakwaan pasukan keselamatan negara itu telah membunuh, merogol dan mendera masyarakat Muslim Rohingya di Rakhine menunjukkan bahawa mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Duta Myanmar, Htin Lynn berkata, penolakan tersebut bertujuan mengelakkan berlakunya sebarang konflik di negara itu.

Namun, ia menimbulkan persoalan banyak pihak akan tindakan kerajaan Myanmar yang seolah-olah cuba lepas tangan dan menyekat campur tangan pihak berkepentingan seperti PBB untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.

Antara tragedi yang melanda umat Islam Rohingya ialah kira-kira 1,250 rumah dan bangunan etnik itu musnah dibakar tentera Myanmar sekitar November tahun lalu.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) dalam laporannya menyifatkan, serangan ke atas lima kampung etnik Rohingya itu merupakan sesuatu yang disengajakan.

Keadaan tersebut jelas menunjukkan bahawa pihak tentera memang mahu melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya.

Justeru, tindakan menolak keputusan PBB itu boleh dianggap sebagai sengaja dan takut kebenaran dapat dirungkai.

Pensyarah Kanan Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman berkata, kerjasama antara negara-negara Islam penting dalam menamatkan krisis di Myanmar.

“Dengan menubuhkan Global Waqaf melalui sumbangan hartawan dan dermawan Islam di seluruh dunia, wang wakaf ini boleh disalurkan kepada negara-negara yang melindungi Rohingya terutamanya Bangladesh.

“Dana itu akan digunakan untuk melengkapkan mereka dengan pelbagai kemahiran asas hidup supaya mampu berdikari,” katanya ketika ditemui di UIAM baru-baru ini.

Kamar Oniah menambah, penstrukturan global untuk menggerakkan umat yang lain perlu diusahakan.

Contohnya, mereka yang hartawan seharusnya menyumbang wang untuk disalurkan kepada para profesional yang berkemahiran supaya dapat digunakan etnik Rohingya.

“Global Peace Movement perlu dibentuk di semua peringkat termasuklah kerajaan, parti politik, ulama, ahli akademik, wanita dan belia supaya perjuangan mereka dapat difahami secara lebih mendalam,” jelasnya.

Mangsa

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun, UIAM, Prof. Dr. Abdullahil Ahsan berkata, analisis yang mendalam diperlukan bagi mengetahui gambaran sebenar krisis yang berlaku.

“Masalah ini berterusan kerana masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) belum membuat tekanan yang cukup terhadap pemerintah Myanmar untuk menghentikan penindasan ke atas Rohingya.

“Ia memerlukan tindakan bersama bukan sahaja terhadap kerajaan Myanmar tetapi menuntut tindakan terhadap negara-negara yang ke atas sokongan diplomatik serta perdagangan ke Myanmar,” tambahnya.

Katanya, masih terdapat ramai pelarian Rohingya yang tidak berdaftar di Malaysia dan mereka menjadi mangsa undang-undang.

Justeru, kerajaan disaran memperluaskan pendaftaran pelarian Rohingya kepada semua calon yang layak.

“Selain itu, inisiatif yang diambil oleh Malaysia dan negara-negara OIC lain untuk membantu masyarakat Rohingya adalah suatu tindakan yang patut dicontohi tetapi bantuan ini adalah sangat sedikit berbanding keperluan.

“Sehubungan itu, negara-negara Islam perlu lebih agresif menghulurkan bantuan sebelum lebih banyak yang menjadi korban,” tambahnya lagi.