Begitu pun, sekiranya jodoh tidak berpanjangan, barang-barang tersebut akan disimpan sebagai kenangan.

Menyedari hakikat tersebut, seorang usahawan muda dari Hanoi, Vietnam iaitu Dinh Thang kemudian mengambil keputusan untuk mengumpul barang-barang milik pasangan yang berpisah untuk dijual.

Semasa ditemu bual oleh stesen televisyen tempatan Hanoi, Vietnam News, Thang menjelaskan bahawa idea tersebut timbul selepas dia bersama rakan-rakannya berbincang mengenai bekas kekasih.

“Saya bersama rakan-rakan berbincang tentang bekas teman lelaki, bekas teman wanita dan barang-barang milik mereka yang lazimnya masih disimpan biarpun hubungan itu tidak berpanjangan.

“Barang-barang tersebut biasanya masih lagi dalam keadaan yang baik dan sayang jika dibuang. Begitu pun, kami tidak mahu menyimpannya kerana barang-barang tersebut mengingatkan kami kepada memori sedih.

“Oleh itu, ia boleh dijual supaya barang-barang tersebut menjadi milik mereka yang berminat untuk menyimpannya,” ujar Thang panjang lebar.

Sambutan hangat

Bertutur lanjut, Thang berkata, semasa mula-mula ditubuhkan pada Februari lalu, hanya 10 individu yang datang dan membeli barangan yang dijual di Old Flames Market.

Sambutan yang diterima agak kurang menjadikan Thang berasa sedih, namun lelaki itu tidak menyangka dalam tempoh sebulan, Old Flames Market mula dikenali dan orang ramai mula membanjiri bazar tersebut untuk melihat dan membeli barang-barang yang dijual di situ.

Thang kemudian membuka peluang kepada orang lain yang berminat untuk turut berniaga di Old Flames Market dengan syarat 30 peratus daripada hasil keuntungan yang diperoleh haruslah diberikan kepada Thang sebagai penganjur.

Bagi memberikan lebih tarikan kepada pengunjung yang datang, peniaga yang menjual barangan haruslah memuat naik barang jualan bersama kisah di sebaliknya di Facebook Old Flames Market.

Selain mewujudkan Facebook khas untuk Old Flames Market, Thang juga meletakkan satu papan putih di hadapan bazar tersebut khas buat individu yang mahu menulis pesanan untuk ditujukan kepada bekas kekasih sebagai langkah untuk melupakan kisah cinta mereka yang tidak kesampaian.

Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, dia cukup sukakan idea Thang dan menyokong usaha murni lelaki itu dalam mewujudkan Old Flames Market.

“Saya menjual barangan peribadi bekas kekasih saya bukanlah kerana mahu mengejar keuntungan, sebaliknya saya mahu menyokong dan menyumbang sesuatu kepada Old Flames Market,” ujarnya.

Barangan peribadi

Cerita seorang lagi peniaga wanita yang juga enggan dikenali, penubuhan Old Flames Market menjadikan barang-barang yang dihadiahkan bekas kekasih boleh digunakan oleh individu lain yang mungkin lebih memerlukan.

“Bagi saya, idea di sebalik penubuhan bazar ini sangat menarik dan sesuatu yang baharu. Lebih menarik, ada antara barang-barang ini yang diberikan percuma kepada pe­ngun­jung yang berminat,” ujarnya.

Bagaimanapun, bukan semua orang bersetuju dengan idea menjual barangan yang diberikan bekas kekasih. Ada yang menyelar tindakan Thang kerana menganggap hadiah yang diberikan bekas kekasih bersifat peribadi dan tidak seharusnya dijual kepada orang asing.

Barangan seperti buku, surat cinta serta diari bersifat terlalu peribadi dan ia hanya membabitkan dua individu.

Thang bagaimanapun menegaskan bahawa penubuhan Old Flames Market memberikan terapi kepada pasangan yang mahu meneruskan hidup tanpa dibayangi kisah silam bersama bekas kekasih.