Boleh dikatakan, ketika itu orang ramai berduyun-duyun berkunjung ke bazar yang dikatakan syurga beli-belah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Malah, terdapat juga individu yang sanggup datang dari jauh seperti Johor dan Kedah semata-mata mendapatkan pelbagai barang yang kononnya berharga jauh lebih murah berbanding di kawasan lain.

Sebut apa sahaja sama ada tudung, baju kurung, baju Melayu, jubah, kasut mahupun songkok, segala-galanya tersedia di bazar berkenaan.

Kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Noradzhar Baba, selain menghimpunkan pelbagai seleksi barangan keperluan Aidilfitri, bazar tersebut juga memainkan peranan tersendiri dalam sektor pelancongan.

Jelasnya, bazar tersebut bukan sahaja mampu menarik kedatangan pengunjung tempatan malah dilihat mampu menjadi antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi pelancong dari luar negara.

“Hal ini kerana menerusi bazar-bazar berkenaan, Malaysia mampu menunjukkan kepada pelancong asing mengenai kepelbagaian bangsa dan agama yang terdapat di negara ini.

“Selain itu, ia sedikit sebanyak mampu memberikan pendedahan kepada pelancong asing mengenai warisan, sejarah, adat resam, budaya, makanan dan juga gaya hidup penduduk tempatan.

“Menariknya, ia juga mampu menjadi medan yang memaparkan gambaran kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhan kepada pelancong asing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ironinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini menggemparkan seluruh rakyat Malaysia apabila mengumumkan penutupan bazar perayaan di Jalan Masjid India, Jalan TAR dan di kawasan sekitar bermula tahun depan.

Menghentikan bazar

Keputusan menutup bazar tersebut telah diputuskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz baru-baru ini.

Beliau berkata, DBKL telah memutuskan untuk menghentikan bazar perayaan itu atas pelbagai faktor.

Antaranya adalah masalah tapak bazar yang diuruskan oleh orang tengah, monopoli tapak bazar, penyelenggaraan yang tidak tersusun, kesesakan lalu lintas, masalah kebersihan serta gangguan kumpulan gengster ketika rondaan penguat kuasa dilakukan.

Beroperasi sejak tahun 2003, kini kira-kira 500 buah gerai dibuka pada bazar Ramadan mahupun perayaan lain seperti Deepavali di lokasi-lokasi berkenaan.

Bermula tahun depan, tiada lagi kemeriahan serta keriuhan bazar seumpamanya di nadi ibu kota, kecuali pasar malam yang dianjurkan pada setiap hari Sabtu.

Berita penutupan bazar terbabit mengejutkan ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman menyelar langkah terbabit dengan menyifatkan tindakan drastik yang diambil oleh DBKL itu dilihat bakal menjejaskan nasib kira-kira 500 penjaja.

“Perkara ini benar-benar mengejutkan saya dan hasrat tersebut adalah tidak relevan kerana ia melibatkan nasib ratusan penjaja yang lain.

“Seharusnya sebelum keputusan dibuat, DBKL perlu berbincang terlebih dulu bersama semua persatuan penjaja yang berdaftar agar tidak berlaku penindasan terhadap golongan tersebut.

“Keputusan itu secara tidak langsung telah menutup periuk nasi penjaja bazar yang mencari rezeki terutama pada musim perayaan,” katanya.

Tambah Rosli, DBKL sepatutnya mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit bersama persatuan penjaja terlebih dahulu dan bukannya menghalau golongan terbabit.

Hal ini kerana golongan penjaja dan peniaga kecil merupakan aset kepada negara yang merancakkan ekonomi di kawasan bandar.

Justeru, Rosli meminta pihak DBKL untuk mengkaji semula penutupan bazar perayaan di sekitar ibu kota bagi membela golongan penjaja dan peniaga kecil.