Antaranya termasuklah roh seorang lelaki yang dikatakan masih menghuni sebuah rumah lama di Laguna Beach, California, Amerika Syarikat.

Kisah seram ini dikatakan berlaku kira-kira 17 tahun yang lalu. Sepasang suami isteri yang hanya dikenali sebagai David dan Lily baru berkahwin. Mereka mencari rumah sewa di sekitar Laguna Beach.

Mereka kemudian menjumpai sebuah rumah besar dengan harga sewa yang cukup berpatutan. Tanpa berfikir panjang, David terus menyewa rumah tersebut dan mula berpindah masuk bersama isterinya.

David diberitahu, bangunan itu sudah wujud semenjak tahun 1920-an. Ia sudah mula kelihatan agak usang, namun David tidak kisah memandangkan harga sewanya yang berpatutan.

Begitu pun, mimpi ngeri David bermula apabila dia dan isterinya diganggu oleh bayang-bayang misteri hampir setiap hari.

Bayang-bayang lelaki

Pada suatu hari, David bertengkar teruk dengan Lily. Wanita itu kemudian turun ke tingkat bawah untuk menenangkan diri.

“Ketika isteri saya turun ke bawah, saya duduk bersendirian di dalam bilik. Tiba-tiba, saya terlihat satu bayang-bayang seorang lelaki berdekatan pintu bilik.

“Saya amat terkejut memandangkan hanya saya dan isteri yang ada di rumah ketika itu,” dedah David.

Beberapa saat kemudian, bayang-bayang itu hilang begitu sahaja.

Begitu pun, insiden sama berulang kembali kira-kira dua minggu kemudian. Ketika itu, David sedang berdiri berdekatan cermin solek di dalam biliknya.

Tiba-tiba, dia ternampak bayang-bayang sama.

“Ia berwarna hitam pekat dengan ketinggian sekitar 1.8 meter. Lebih menakutkan, kali ini, bayang-bayang itu seolah-olah sedang merenung saya.

“Saya cuba memberanikan diri dan berjalan ke arah bayang-bayang tersebut kerana mungkin ada manusia yang sedang berdiri di situ.

“Namun, tiada sesiapa yang berada di situ dan saya terus menjerit memanggil isteri saya,” ujar David.

Lelaki berambut perang itu sudah mulai tidak sedap hati dan mahu berpindah daripada rumah tersebut. Begitu pun, hasratnya itu dihalang Lily kerana bagi wanita itu, ia hanyalah mainan perasaan suaminya.

“Lily tidak pernah terserempak dengan bayang-bayang tersebut menyebabkan dia mahu terus tinggal di situ,” kata David.

Terlalu takut

Sebulan selepas insiden menyeramkan itu, David diganggu lagi oleh bayang-bayang yang sama semasa dia berseorangan di dalam rumah.

“Ketika itu, saya sedang berdiri betul-betul di hadapan almari pakaian di dalam bilik. Sebaik sahaja pintu almari itu ditutup, saya ternampak bayang-bayang misteri itu di sebalik pintu bilik tidur.

“Kali ini, ia bergerak ke arah saya, menyebabkan saya terkejut dan terus berlari ke luar rumah,” ujarnya.

David terlalu takut dan tidak berani untuk masuk semula ke dalam rumah tersebut. Dia menelefon Lily dan meminta isterinya itu untuk pulang ke rumah dengan segera.

Kira-kira 10 minit kemudian, Lily tiba di rumah dan David terus meminta wanita itu untuk mengemaskan barangnya dan berpindah keluar daripada rumah tersebut.

Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang dapat merungkaikan misteri kehadiran bayang-bayang misteri itu.

Namun, ada yang mendakwa bayang-bayang tersebut merupakan roh salah seorang pendatang tanpa izin yang pernah disembunyikan di situ.

Lelaki tersebut dikatakan telah mati akibat diracun oleh rakan-rakannya sendiri.

Sepasang suami isteri sering dihantui bayangan seorang lelaki misteri di rumah baharu mereka sehingga terpaksa berpindah keluar dari kediaman tersebut.