Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan baru-baru ini mengumumkan larangan penggunaan straw akan tertera dalam syarat-syarat lesen perniagaan bermula pada 1 Januari 2019.

Mengorak langkah lebih awal, Nook Cafe di Kota Kinabalu, Sabah telah beralih menggunakan straw besi tahan karat serta straw buluh sejak pertengahan tahun 2017 iaitu kira-kira setahun selepas memulakan operasinya pada 2016.

Pemiliknya, Zarifah Mohd. Fowzy, 30, berkata, pihaknya turut menawarkan rebat kepada pelanggan yang membawa bekas atau cawan sendiri untuk pesanan makanan atau minuman yang dibungkus.

Bawa dari rumah

“Pada awalnya, kami perlu menjelaskan kepada pelanggan bahawa langkah ini diambil untuk mengurangkan plastik pakai buang. Apabila pelanggan faham, mereka lebih memberi sokongan untuk kami meneruskan inisiatif ini.

“Penggunaan straw besi dan buluh tidak mempengaruhi harga jualan kami. Ia boleh dicuci dan digunakan berulang kali dalam jangka masa panjang,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! 2 (K2) baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, Daliza Abdul Rahim, 38, dari Petaling Jaya, Selangor yang telah membiasakan diri membawa straw sendiri dari rumah sejak pertengahan tahun lalu.

Malah, suri rumah itu turut memiliki set kutleri terdiri daripada sudu dan garpu yang disimpannya dalam sebuah beg kecil supaya mudah dibawa ke mana-mana.

“Saya merasakan ia merupakan satu usaha kecil untuk mengurangkan penggunaan straw plastik ketika makan di luar dan tiada keperluan mengambil straw daripada di premis makanan yang dikunjungi,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

“Amalan ini juga telah diterapkan kepada dua anak perempuan saya walaupun mungkin kami sekeluarga tidak begitu kerap makan di luar sekitar dua hingga tiga kali seminggu,” kongsi graduan Ijazah Sarjana Sains Pertanian dari University of Tsukuba, Jepun itu.

Perkara itu mungkin dianggap remeh bagi sesetengah orang. Namun, sebagai khalifah di muka bumi, manusia perlu bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan perlu memikirkan hidupan yang bakal terjejas angkara plastik.

“Apabila ada haiwan seperti ikan ditemui mati akibat makan plastik, kita tidak boleh kata, ini bukan masalah kita. Sebab masalah itu bermula daripada manusia sendiri,” luahnya.

Lebih selamat

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusoff Ishak menyifatkan, penggunaan penyedut minuman besi dan buluh adalah selamat kerana ia bersifat seperti produk penjagaan peribadi.

“Ia seolah-olah seperti berus gigi dan pengguna bertanggungjawab memastikan kebersihan peralatan tersebut. Lazimnya, ia turut disertakan berus pencuci khusus yang boleh membersihkan kotoran pada straw termasuk pada bahagian dalam.

“Adalah penting pengguna sendiri mengawal kebersihan straw masing-masing. Selain logam, ada juga straw berasaskan kertas, bioplastik dan biodegradasi yang boleh diaplikasikan sebagai alternatif,” ulasnya.

Tambahnya, manusia mempunyai kebolehan beradaptasi dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka mengikut situasi semasa.

Justeru, mereka perlu sentiasa bersedia menerima perubahan ke arah kebaikan bersama.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa akan datang, pengeluar perlu memikirkan inovasi baharu yang bukan sahaja menggantikan straw plastik malah kegunaan plastik untuk minuman yang dibungkus.

Katanya, keperluan golongan yang sentiasa bergerak ke sana ke mari mungkin memerlukan bekas yang khusus dan perlu ada produk yang mudah digunakan untuk memenuhi keperluan mereka.

Beliau turut melihat penggunaan straw dalam konteks lebih besar seperti dalam industri pengeluaran minuman dalam kotak.

“Pada masa depan, mungkin straw itu tidak perlu lagi didatangkan secara berasingan atau dilekat pada kotak seperti sekarang. Ia mungkin boleh dibuat menjadi sebahagian daripada kotak yang boleh dikoyak atau dinaikkan jika mahu digunakan.

“Pendek kata, perlu ada inovasi dari semasa ke semasa untuk mengurangkan kebergantungan pada plastik secara menyeluruh,” jelasnya.