Bagi penggemar aktiviti mendaki gunung, cabaran dan kesukaran menawan puncak satu-satu gunung itu memberi kepuasan pada mereka tatkala berjaya berada di puncak.

Bagaimanapun, terdapat sebuah gunung yang boleh dikatakan unik walaupun pada hakikatnya bentuk dan sifat gunung tersebut telah menimbulkan banyak tanda tanya.

Gunung tersebut yang terletak di Shouguang dalam wilayah Shandong, China itu telah diiktiraf sebagai gunung paling rendah di dunia dan menjadi antara tarikan pelancongan di wilayah tersebut.

Memiliki ketinggian cuma 0.6 meter, gunung tersebut yang dikenali sebagai Jingshan, mudah ditawan oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan kudrat yang melelahkan.

Jika diperhatikan, Gunung Jingshan tidak ubah seperti seketul batu besar biasa yang terletak di tengah-tengah padang terbiar dan tidak mempunyai apa-apa daya tarikan untuk tatapan pelancong.

Bagaimanapun, keunikan dan tarikan yang terdapat pada gunung tersebut adalah kerana ia merupakan satu-satunya objek seperti gunung yang terdapat di Shouguang.

Puncak gunung

Secara tidak langsung, Gunung Jingshan menjadi simbol popular di Shouguang sehingga berjaya menarik pelancong untuk melawatinya.

Menurut sumber masyarakat tempatan, batu besar itu telah wujud sejak ratusan tahun lalu dan tidak pernah dialihkan.

Walaupun bentuk gunung itu dilihat cuma sekadar menyerupai seketul batu besar, namun dikatakan bahawa bahagian atas batu tersebut merupakan puncak gunung yang telah tenggelam ditelan bumi akibat bencana alam yang berlaku beratus-ratus tahun dahulu.

“Bahagian atas batu ini merupakan sebahagian kecil puncak gunung yang telah tenggelam di bawah tanah,” ujar Zheng Binhai, kurator muzium Shouguang Bo.

Ditanya tentang saiz sebenar Gunung Jingshan, Binhai bagaimanapun sukar untuk memberikan jawapan kerana tiada pihak yang pernah menjalankan kajian terperinci untuk membongkar kisah tentang batu tersebut.

Bagaimanapun, Binhai memberitahu, terdapat beberapa pihak pernah cuba untuk menggali batu tersebut untuk merungkai misteri batu itu yang dikatakan sebahagian daripada puncak gunung.

Ketika zaman pemerintahan Mao Zedong, ketua parti Komunis itu juga pernah mengarahkan seseorang untuk ditugaskan menggali batu itu bagi membuktikan bahawa ia sebenarnya bukanlah gunung seperti yang digembar-gemburkan tetapi hanyalah seketul batu bersaiz besar.

Usaha tersebut bagaimanapun dihentikan selepas kerja-kerja menggali dilakukan sedalam beberapa meter kerana tidak menemui apa-apa petunjuk yang menggambarkan batu tersebut adalah bahagian puncak gunung.

Pada tahun 1958, terdapat seorang individu juga cuba menggali batu tersebut bagi membuktikan kewujudan gunung yang didakwa tenggelam ditelan bumi, namun gagal.

Tarikan pelancong

Menurut laporan China.org, Gunung Jingshan mempunyai ketinggian mencecah 48 meter dan sebahagian besar struktur gunung tersebut berada di dalam perut bumi.

Namun begitu, batu misteri tersebut tetap dianggap sebagai gunung meskipun ia cuma memiliki ketinggia hanya 0.6 meter dengan panjang 1.24 meter dan lebar 0.7 meter. Lebih menarik, pendaki yang ingin memanjat gunung tersebut cuma memerlukan satu langkah sahaja untuk sampai ke puncak.

Bagi mengiktiraf keunikan Gunung Jingshan sebagai salah satu tarikan pelancongan, pihak berkuasa Shouguang telah menguatkuasakan larangan untuk melakukan sebarang kerja menggali di sekeliling batu tersebut termasuk larangan untuk membina apa jua struktur berdekatan dengannya.

“Tindakan itu demi untuk menjaga bentuk dan keaslian Gunung Jingshan daripada rosak selepas banyak pihak cuba membuktikan kewujudan gunung itu,” kata Binhai.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan gunung terendah di dunia itu telah tular sejak minggu lalu di media sosial dan menarik perhatian ramai pelancong untuk mengunjunginya.

Bongkah batu setinggi 0.6 meter diiktiraf sebagai gunung paling rendah di dunia selepas didakwa ia sebenarnya sebahagian puncak Gunung Jingshan yang tenggelam ditelan bumi.