Watak lakonan Michael Keaton dalam filem Batman yang ditonton begitu menguasai jiwanya sehingga dia memasang angan untuk menjadi Batman di dunia realiti. Lantas, dia mengambil kad manila untuk dibuat topeng wajah Batman dan berselubung dengan selimut asrama bagaikan figura itu.

Kini, selepas beberapa dekad, budak lelaki itu yang sudah dewasa mengukir senyum bangga kerana impiannya untuk menjadi Batman tercapai sehingga diterima dalam masyarakat sebagai Batman Malaysia.

Lelaki dipercayai berusia 30-an itu telah dijemput ke sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta diwawancara dalam beberapa program televisyen seperti Nasi Lemak Kopi O, Motif Viral dan Borak Kopitiam.

Barang kali dia satu-satunya ‘manusia rahsia’ yang muncul di kaca televisyen atau akhbar-akhbar arus perdana Malaysia.

Ditemui baru-baru ini di sebuah program permotoran di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, lelaki Melayu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Bruce dilihat bagaikan selebriti apabila tidak henti-henti diminta bergambar oleh sesiapa sahaja yang menyedari kelibatnya.

Mula diketahui umum apabila kemunculannya yang lengkap bersut dan motosikal Batpod pada April tahun lalu di laluan Tol Sungai Besi ke Nilai, Negeri Sembilan diiringi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, dia terus menempa populariti.

Mungkin ramai yang berteka-teki siapakah empunya diri namun identitinya dan apa-apa maklumat yang menjadi pembayang tentang dirinya dirahsiakan sepenuhnya daripada pengetahuan umum termasuk kepada guru-guru besar sekolah atau pihak bank yang pernah menjemputnya memeriahkan majlis mereka.

Unsur kejutan

“Kerahsiaan itu terbina sehingga wujud kepercayaan. Bagi saya, ia perlu dirahsiakan kerana tanpa elemen rahsia maka tidak ada lagi unsur kejutan. Saya percaya jiran saya sendiri tidak tahu saya Batman Malaysia.

“Batman fiksyen juga identitinya dirahsiakan daripada khalayak dalam naratif cerita kerana jika tidak disembunyikan, tiada lagi keterujaan. Saya hanya memakai sut bila perlu dan saya perlukan privasi.

“Percaya atau tidak, sekiranya saya keluar dari majlis ini untuk menukar pakaian biasa, anda dan orang lain langsung tidak akan cam saya,” katanya.

Suatu yang menarik tentang dirinya ialah orang lain boleh mengecam dialah Batman Malaysia berbanding jelmaan-jelmaan Batman yang lain kerana dikatakan mempunyai rahang seperti pelakon Batman terkini Christian Bale.

Obsesinya terhadap Batman begitu jitu. Bruce belajar membuat sut Batman sendiri, membeli topeng Batman yang diimport dari Amerika Syarikat, mengumpulkan mereka yang mahir untuk membentuk identitinya termasuk pembuatan motosikal Batpod bahkan kolaborasi bersama pembuat kereta Batman dari Thailand.

“Projek bersama pembuat kereta Batman dari Thailand itu belum terlaksana tetapi dia memberitahu memilih untuk bersama saya kerana percaya dalam kalangan Batman yang ditemui di seluruh dunia, saya adalah yang paling mirip dengan Batman di layar perak.

“Saya bukan maskot. Pakaian saya tidak dipanggil kostum, sebaliknya saya memanggilnya sut,” tegas lelaki berketinggian 170 sentimeter dan berat 70 kilogram itu.

Bruce berkata, watak Batman yang ditonjolkan dalam filem The Dark Knight pada tahun 2008 telah mencetuskan inspirasi untuk dia muncul bersut Batman di khalayak.

“Dalam filem itu, Batman yang dibentuk oleh Pengarah Christopher Nolan berpakaian yang diinspirasikan bidang permotoran. Tiada lagi pemakaian seluar dalam di luar!

“Kebetulan saya juga meminati bidang permotoran. Maka saya melakukan kajian untuk menghasilkan sut seperti itu sehingga saya berjaya menghasilkannya sendiri,” katanya.

Menurutnya, sutnya diperbuat daripada kulit kambing Pakistan dan ‘sayapnya’ dibuat daripada kain baldu.

Mula-mula muncul di hadapan khalayak, dia akui sedikit rasa malu bahkan menerima kecaman sesetengah orang sebagai gila, namun dia berbalik kepada niatnya.

Sebagai seorang peminat bidang permotoran, dia pada awalnya membuat penampilan untuk memeriahkan program sahabat rapatnya pada 2016 yang menjadikan Batman sebagai ikon permotoran, namun apabila melihat ia turut memberi ruangnya menghiburkan kanak-kanak, dia terkenang doa silamnya.

“Sewaktu kecil saya pernah berdoa kepada Allah untuk berpeluang menjadi Batman bagi menghiburkan kanak-kanak. Itulah niat asal saya. Alhamdulillah, ia sudah termakbul.

Aktiviti kebajikan

“Saya memang sukakan kanak-kanak. Sewaktu saya di rumah anak yatim lagi, saya suka mendampingi dan menjaga adik-adik di situ memandangkan saya tidak mempunyai sesiapa di dunia ini,” katanya yang mempunyai pekerjaan tetap lain yang enggan didedahkan.

Jika Batman di dunia fantasi seorang wira gagah membanteras jenayah-jenayah besar seperti mafia, Batman Malaysia ialah jagoan yang menyasarkan aktiviti-aktiviti kebajikan, memberi motivasi dan menghiburkan kanak-kanak selain membuat persembahan di majlis keraian. Apabila dijemput, dia biasanya akan membuat persembahan gimik Batman dan nyanyian.

Bruce sudah menjelajah ke lapan buah sekolah rendah di Lembah Klang dan selepas ini akan menyasarkan jelajah ke sekolah-sekolah di Johor.

“Pernah seorang lelaki kaya menghubungi pihak saya untuk merakam gambar bersama anaknya yang sudah menangis dua hari kerana tidak dapat bergambar dengan saya setelah terlihat saya di satu program. Apabila mahu pulang dia menyerahkan saya sampul mengandungi wang RM800! Saya terkejut, orang sanggup menghadiahkan wang sebanyak itu hanya untuk bergambar dengan saya,” ujarnya yang mempunyai pekerjaan tetap yang enggan didedahkan.

Bruce turut mendampingi mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan asnaf dan warga tua.

Seorang rakan bertindak sebagai peneman Batman Malaysia berkata, figura itu tidak boleh dibiarkan bersendirian.

“Dia tidak boleh pergi ke mana-mana seorang diri. Saya akan menemaninya. Jika dia kepanasan di dalam sut, saya akan bawa dia berehat sebentar misalnya menikmati minuman di kedai.

“Bila orang lihat dia dan saya, yang malu ialah saya, bukan dia,” kata lelaki yang selesa disapa Bob itu yang merupakan pengacara majlis profesional.

Kata Bob, semasa menemani Batman Malaysia, soalan yang biasa ditanya orang kepadanya ialah bila mahu buka topeng.

“Jawapan saya mudah iaitu kami tidak akan dedahkannya,” katanya.