Katanya, tujuan seseorang itu dituntut untuk berumah tangga adalah untuk menjalani kehidupan yang lebih tenang dan tenteram bersama pasangan atas dasar cinta, kasih sayang, perasaan, tanggungjawab seperti mana firman-Nya dalam surah Ar Rumm ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Untuk tujuan itu juga, Islam telah menggariskan beberapa kewajipan kepada suami isteri untuk sama-sama menjalani kehidupan bersama. Antaranya termasuklah kewajipan untuk saling menjaga kehormatan dan menutup aib sesama sendiri.

Malangnya, masyarakat zaman moden kini berfikiran terlalu terbuka hingga hal dalam kelambu sendiri pun sanggup dikongsi secara terbuka lebih-lebih di media sosial.

Ironinya, menjengah sahaja masuk ke laman Facebook umpamanya, pengguna pastinya disajikan dengan pelbagai perkongsian melibatkan rumah tangga termasuk gambar tidak senonoh melibatkan si suami dan skandal, syot skrin si isteri bersama kekasih gelap dan banyak lagi cerita panas yang cukup ‘mengerikan’.

Terbaharu, kisah hangat suami dan isteri yang saling membuka pekung di dada bercerita tentang kekurangan masing-masing hingga membawa kepada penceraian juga sedang hangat dikongsi dan ‘dibahaskan’ oleh rakyat siber yang tidak kurang hebat membuat penilaian pihak mana yang bersalah.

Adakah alasan ‘sekadar berkongsi pengalaman’ atau ‘mempertahankan diri’ boleh digunakan dalam isu berkaitan rumah tangga?

Buka aib

Menurut penceramah terkenal merangkap Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, membuka aib rumah tangga hukumnya adalah haram walau apa pun alasannya.

“Seperti yang kita tahu, kebanyakan mereka yang cenderung membuka aib pasangan mahupun bekas pasangan ini sememangnya pernah mengalami kepahitan dalam berumah tangga. Sebagai contoh, mungkin pernah dipukul, tidak diberi nafkah, dicurangi dan sebagainya.

“Namun, harus diingat, pengalaman tersebut bukanlah alasan untuk membuka segala pekung di dada, membuatkan mereka yang diaibkan dipandang serong serta dijaja aibnya di serata tempat. Ini kerana walau apa pun kesalahannya, membuka aib orang adalah sangat keji di sisi Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd. Izhar, Islam menganjurkan beberapa panduan kepada suami dan isteri untuk mengambil langkah tertentu semuanya demi memelihara mereka saling membuka aib ketika berdepan ketidaksefahaman dan permasalahan rumah tangga.

“Islam melarang umatnya untuk mangadu domba di tempat terbuka dengan alasan ingin meluahkan perasaan. Sebaliknya, Islam membolehkan mereka yang dilanda masalah rumah tangga kepada orang yang boleh dipercayai, seperti sahabat baik yang matang dalam keadaan tertutup.

“Jika tidak mampu atau tidak mempunyai orang yang boleh dipercayai, bertemulah mereka yang pakar seperti kaunselor atau ustaz dan ustazah dan akhir sekali, jika masih tidak bertemu penyelasaian, ceritakanlah segala permasalahan kepada pihak jabatan agama sebagai hujah ketika menuntut hak,” kongsinya yang menyifatkan hal penyebaran aib tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mereka yang memahami agama dengan baik.

Bersetuju dengan Mohd. Izhar, Pensyarah Kepimpinan dan Pengurusan merangkap Kaunselor di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Roslee Ahmad berkata, media sosial bukanlah medium yang wajar berkongsi masalah peribadi dan rumah tangga.

“Tidak dinafikan mereka yang sering berkongsi cerita peribadi ini sebenarnya merasakan ia adalah jalan terbaik untuk meluahkan bebanan perasaan yang ditanggung selama ini. Mereka puas dapat menulis dan merasakan ada sokongan apabila ada yang meninggalkan komen simpati dan sebagainya.

“Namun, mereka lupa bahawa, itu bukan penyelesaian dan bersifat sementara. Sedangkan impaknya, kita bukan sahaja berdosa dari sudut agama, malah mencipta ruang kepada pelbagai lagi masalah dalam masyarakat termasuk memberi contoh tidak baik kepada generasi siber masa hadapan,” jelasnya.