Meskipun mempunyai lesen memandu, wanita berusia 34 tahun itu lebih selesa menggunakan bas Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid).

Tambahan pula, jarak pusat beli-belah berkenaan dari kediamannya di Taman Ampang Indah hanya sekitar 5 kilometer (km).

Bermula awal bulan ini, Norfaralina merasai satu pengalaman baharu semasa menggunakan perkhidmatan bas Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL).

Ia selepas anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad itu memperkenalkan perkhidmatan bas mini di laluan T300 dari hab Bukit Indah ke Ampang Point (melalui Jalan Rasmi).

“Saya adalah salah seorang pengguna utama perkhidmatan bas di laluan ini. Saya telah menggunakan perkhidmatan bas di sini sejak 15 tahun lalu.

“Hari ini saya sangat bertuah dapat menaiki bas mini buat kali pertama. Saya tidak sabar untuk mencuba perkhidmatan terbaharu ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Perkhidmatan bas mini berwarna biru dan putih itu menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 1 September hingga 29 November ini.

Ia diperkenalkan bagi menambah baik perkhidmatan bas sedia ada, selain pengumpulan data laluan perantara di luar pusat bandar.

Panjang bas mini adalah 8 meter (m) dengan kapasiti penumpang antara 27 hingga 31 orang pada satu-satu masa.

Ia berbeza dengan bas normal yang memiliki panjang 12m dengan jumlah tempat duduk mencecah 40 buah.

Norfaralina yang juga seorang usahawan berkata, dia memuji langkah Rapid KL meningkatkan mutu perkhidmatan bas dengan memperkenalkan bas mini.

“Bas mini lebih sesuai digunakan di laluan T300 kerana penumpangnya tidak terlalu ramai.

“Tambahan pula, lebar jalan di sekitar taman perumahan di Ampang ini sempit dan sesak,” ujar wanita yang masih belum berumah tangga itu.

Sejarah

Menurut sejarah, perkhidmatan bas mini pernah dikenalkan pada tahun 1975 di negara ini. Ia ditamatkan pada 1998 selepas penggabungan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

Bas mini yang terkenal dengan jolokan Miss Pinky pernah dianggap sebagai pengangkutan kelas bawahan.

Ia disebabkan keadaan bas berkenaan yang uzur selain pengguna perlu berpanas di dalam bas.

Malah, kewujudan bas mini juga pernah dianggap merosakkan pemandangan ibu kota dan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Salah seorang penumpang, 
A. Rajaretranum, 65, berkata, pengenalan semula bas mini mengimbau kembali kenangan lampau.

Pesara kerajaan itu memaklumkan, bas mini pernah menjadi pengangkutan utamanya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, dia selesa menggunakan bas mini kerana ia merupakan pengangkutan awam yang murah dan cepat pada era 70-an dan 90-an.

“Bas mini sangat sinonim dengan saya dan warga kota. Selepas lama menghilang, kini ia kembali beroperasi.

“Bas mini baharu ini ternyata berbeza dengan yang lama. Ia lebih selesa kerana dilengkapi pendingin hawa,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

Meskipun rata-rata penumpang bas mini menghamburkan pujian terhadap langkah Rapid KL itu, namun terdapat juga sesetengah orang yang membantah.

Mereka menganggap usaha mengembalikan bas mini di ibu kota sebagai usaha satu langkah ke belakang dan tidak seiring dengan usaha ke arah menjadi negara maju.

Relevan

Adakah perkhidmatan bas mini masih relevan untuk digunakan di ibu kota? Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada langkah mengembalikan bas mini?

Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa penggunaan bas mini mempunyai banyak kelebihan berbanding bas bersaiz normal.

Pemandu bas Rapid KL, Mohd. Azizan Mohames Desa, 38, berkata, bas mini masih relevan di laluan sempit dan kawasan berpenduduk padat seperti taman perumahan.

Dia memberitahu, bas mini lebih mudah dikendalikan di kawasan perumahan sempit kerana saiznya yang pendek.

“Kalau bas normal, saya perlu pastikan kenderaan di laluan bertentangan tiada sebelum boleh membelok di simpang.

“Ini kerana, saya takut bas termakan jalan bertentangan. Dengan bas mini, saya tidak lagi rasa bimbang untuk membelok di kawasan sempit,” jelasnya.

Mohd. Azizan yang berpengalaman selama enam tahun sebagai pemandu bas menambah, penggunaan bas mini juga dapat mengatasi masalah kelewatan bas tiba ke setiap lokasi.

Jelasnya, pada sebelah malam atau cuti umum, ramai penduduk di taman perumahan meletakkan kereta di bahu jalan sehingga mengganggu laluan.

“Apabila laluan sempit kami terpaksa memandu lebih perlahan kerana bimbang tergesel kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Biasanya, laluan T300 mengambil masa 30 minit dari Ampang Point ke stesen Hab Bukit Indah. Kini, masa yang diambil adalah sekitar 20 minit sahaja,” katanya.

Bagi tempoh percubaan tersebut, Rapid KL menggunakan tiga buah bas mini yang dipinjam daripada sebuah syarikat bas swasta.

Bas mini tersebut masih mengekalkan ciri keselamatan dan sistem pembayaran elektronik seperti bas Rapid KL lain.

Laluan T300 mempunyai laluan sepanjang 11km dengan purata penumpang seramai 800 orang sehari. Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM1 sehala.

Bas tersebut beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari pukul 5.30 pagi hingga 11.40 malam.

Transformasi

Mohd. Azizan menyeru supaya Rapid KL dapat menyediakan bas mini yang menggunakan gear automatik apabila ingin dilaksanakan sepenuhnya kelak.

Dia memberitahu, laluan T300 mempunyai banyak bonggol di atas jalan sekali gus memerlukannya menukar gear dengan lebih kerap.

“Laluan ini banyak bonggol dan sesak pada waktu puncak. Ia pastinya menyukarkan pemandu bas apabila terpaksa menggunakan gear manual.

“Saya harap dapat menggunakan bas mini automatik selepas ini seperti bas Rapid KL sedia ada,” ujar lelaki berasal dari Kampong Bharu, Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid, Muhammad Yazurin Sallij berkata, pengenalan semula bas mini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam di negara ini.

Katanya, ia adalah untuk memantapkan lagi perjalanan sekali gus menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

“Sepanjang tempoh percubaan ini, kami akan mengumpul data dan maklum balas pengguna terhadap perkhidmatan bas mini.

“Dalam pengumpulan data ini, faktor yang diambil kira termasuklah kos dan tahap kepuasan pelanggan,” katanya.

Sekiranya mendapat maklum balas baik daripada pengguna, Rapid KL akan memperluaskan penggunaan bas mini di lebih banyak laluan.

Ujar Muhammad Yazurin, ­­pihak­nya dalam proses mengenal pasti laluan-laluan di sekitar ibu kota yang berpotensi untuk menggunakan perkhidmatan bas mini.