Perkara itu bukan baru dilakukannya tetapi sudah menjadi tabiatnya sejak mula-mula menjejakkan kaki ke ibu kota kira-kira dua tahun dahulu lagi.

Seperti biasa, pada hari itu sebelum memulakan perjalanan, dia akan memeriksa keretanya sehingga puas hati terlebih dahulu supaya tidak menghadapi sebarang masalah dalam perjalanan nanti.

Setelah beberapa minit memandu, secara tiba-tiba pemanduannya terganggu selepas terlanggar sebuah lubang yang agak besar di tengah jalan.

Risau keadaan menjadi lebih buruk, dia terus menyalakan lampu kecemasan dan bergerak menuju ke bahu jalan sebelum keluar untuk memeriksa keretanya itu.

Sebaik sahaja terpandang tayar kereta bahagian belakang yang sudah pecah, dia terus menepuk dahi sambil memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah itu.

Hajatnya untuk menggantikan dengan tayar gantian yang terletak di dalam bonet kereta terbantut selepas mendapati tayar tersebut turut kempis akibat bocor.

Dalam keadaan cemas memikirkan jalan penyelesaian, dia teringat bahawa rakan serumahnya juga pernah mengalami masalah yang sama.

“Saya segera menghubungi rakan tersebut bagi mendapatkan nasihat daripadanya memandangkan tidak tahu kepada siapa harus saya bertanya.

“Atas nasihat daripadanya, dia telah menyuruh saya menghubungi sebuah syarikat yang menawarkan khidmat bantuan kecemasan di jalan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Operasi

Selang 30 minit selepas menghubungi Carput Sdn. Bhd. (Carput), kru syarikat tersebut tiba di lokasi keretanya tersadai sebelum memeriksa keadaan tayar kenderaan itu.

“Mereka memberitahu bahawa tayar gantian saya masih dapat digunakan, mereka kemudiannya menampal bahagian yang bocor dan mengisi kembali angin tayar tersebut sebelum membantu saya menukarnya.

“Perkhidmatan seperti ini sangat berguna, walaupun nampak ringkas, namun ia sukar bagi mereka yang tidak pandai membaikinya,” ceritanya.

Realitinya, dalam hidup serba moden yang memerlukan individu bergerak ke sana ke mari dengan memandu kenderaan, perkhidmatan seperti ini dapat meringankan masalah ketika berdepan dengan situasi kecemasan yang tidak dijangka di jalan raya.

Jika dahulu, seseorang itu mungkin perlu menghubungi mekanik yang dikenali atau menunggu rakan yang mempunyai ‘kepakaran’ dalam hal kenderaan berjam-jam untuk tiba memberikan bantuan, kini sudah terdapat kaedah baharu yang lebih pantas.

Carput merupakan antara syarikat yang menawarkan perkhidmatan bantuan kecemasan kepada pengguna jalan raya terutamanya yang melibatkan kereta.

Selain membantu pelanggan menukar tayar, perkhidmatan lain yang turut ditawarkan oleh syarikat tersebut ialah pemasangan dan penghantaran bateri kereta, tunda kenderaan dan menghantar bekalan minyak petrol.

Pengasas Bersama Carput, Mark Chew berkata, perniagaan itu diasaskan pada tahun 2013 selepas mendapat ilham daripada seorang rakannya yang baru pulang dari Melbourne, Australia.

Menurut Mark, rakannya itu mencadangkan kepadanya untuk mengusahakan perkhidmatan tersebut memandangkan di negara luar ia mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, mereka kemudian berpakat untuk menjayakan rancangan itu dan akhirnya secara rasmi memulakan perniagaan tersebut pada 2013.

“Pada awalnya kami hanya menjalankan khidmat penghantaran dan pemasangan bateri sahaja sebelum menambah perkhidmatan lain seperti penukaran tayar dan penghantaran minyak petrol agar memberi lebih banyak pilihan pada satu-satu masa.

“Walaupun perkhidmatan ini pada awalnya nampak seperti janggal, hakikatnya masalah ini sering dialami oleh ramai pengguna jalan raya,” ujarnya.

Mengulas mengenai sistem operasi syarikat tersebut, Mark memberitahu, pada peringkat tiga tahun awal perniagaan itu bermula, mereka hanya bergantung sepenuhnya melalui panggilan kecemasan yang dibuat oleh pelanggan.

Jelasnya, selaras dengan perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar, pihaknya mula meneroka kaedah baharu agar lebih mesra pelanggan dan akhirnya mencipta aplikasi Carput yang lebih pantas, selamat dan mudah. Carput dikatakan merupakan aplikasi telefon bimbit pertama di Malaysia yang menawarkan solusi kepada pelbagai masalah kereta untuk dibaiki. Pelanggan boleh memuat turun aplikasi itu melalui App Store atau Google Play.

“Kini pelanggan cuma perlu mengisi butiran seperti jenis kereta dan kerosakan yang dialami. Bagi masalah bateri, pengguna akan diberikan pelbagai pilihan dengan harga yang berpatutan.

“Harga setiap perkhidmatan akan dipaparkan sebelum pengguna membuat keputusan bagi mengelakkan berlaku sebarang kekeliruan,” katanya.

Analisis

Bagi pemasangan bateri baharu dan khidmat tunda, harga masing-masing bermula daripada RM180 dan RM100, manakala RM50 pula dikenakan bagi khidmat penukaran tayar serta penghantaran minyak petrol.

Bagi memastikan bantuan yang diminta tiba pada masa yang tepat iaitu sekurang-kurangnya 30 minit selepas permintaan dibuat, pihak Carput telah menjalankan analisis pergerakan kenderaan berdasarkan tempoh waktu.

Jelas Mark, kebiasaannya pada hari bekerja masalah sebegitu akan dialami pada sebelah pagi dan petang iaitu semasa pergi dan pulang dari tempat kerja serta pada waktu makan tengah hari.

“Memandangkan ramai yang bekerja di ibu kota, para juruteknik kami akan banyak bersedia di luar kawasan pada sebelah pagi dan bertumpu di Kuala Lumpur pada sebelah petang.

“Bagaimanapun, kami tetap mempunyai pasukan yang bersedia di ibu pejabat di Petaling Jaya sekiranya tenaga kerja tidak mencukupi,” katanya.

Buat masa ini perkhidmatan Carput bukan sahaja meliputi kawasan Lembah Klang dan Putrajaya tetapi juga turut diperluaskan sehingga ke beberapa daerah di negeri Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Pihak Carput juga mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan mereka sehingga ke seluruh negara menjelang akhir tahun hadapan.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat bantuan kecemasan di jalanan, Bateriku.com turut menawarkan perkhidmatan yang sama tetapi lebih memfokuskan kepada pemasangan dan penghantaran bateri kereta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi Zakaria Ansari berkata, kebiasaannya kebanyakan masalah yang dialami pengguna kereta adalah melibatkan bateri.

Katanya, Bateriku.com menawarkan khidmat penghantaran, pemeriksaan dan pemasangan secara percuma. Pelanggan hanya akan dikenakan cas berdasarkan harga bateri sahaja.

“Bukan setakat itu sahaja, pelanggan juga akan diberikan nasihat atau tunjuk ajar daripada juruteknik yang bertugas tentang perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ketahanan bateri kereta tersebut.

“Bagaimanapun, jika pengguna menghubungi tetapi memaklumkan bahawa masalah yang dihadapi bukan melibatkan bateri kereta, pihak kami akan menyerahkan kes itu kepada rakan perniagaan yang terbabit,” katanya.

Kecekapan

Mengulas mengenai kawasan perkhidmatan, Azarol Faizi menjelaskan bahawa khidmat Bateriku.com boleh diperoleh di hampir seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya melibatkan bandar-bandar besar.

Jelasnya, bagi memudahkan capaian pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan, pihaknya menawarkan tiga pilihan untuk menghubungi mereka iaitu melalui talian bebas tol, mesej WhatsApp dan aplikasi Bateriku.com.

“Soal kecekapan dan kepantasan pula, pelanggan tidak perlu risau kerana kami bukan sahaja mempunyai pejabat di setiap negeri tetapi turut mempunyai pasukan juruteknik bergerak yang dibahagikan mengikut zon tertentu.

“Jika di Kuala Lumpur, pihaknya mempunyai 10 pasukan yang dibahagikan kepada 10 zon berbeza antaranya Lembah Klang Utara dan Selatan serta mempunyai beberapa kakitangan sambilan yang akan memberikan sokongan,” katanya.

Dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan cekap dan berkesan, Bateriku.com telah menyediakan wadah untuk pelanggan memberikan maklum balas antaranya melalui ulasan pada aplikasinya sendiri.