Rozita Sudin, 15, pelajar Orang Asli suku Temiar, antara yang tercicir selama setahun daripada alam persekolahan.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Muhibbah di Sungai Siput, Perak itu memberitahu, dia terpaksa melalui perjalanan sejauh 40 kilometer (km) untuk ke sekolah dari kampungnya di Kampung Kabu, Pos Poi di daerah Sungai Siput.

Walaupun tinggal di asrama sekolah tetapi dia berdepan masalah setiap kali selepas diberi pelepasan pulang ke rumah setiap dua minggu.

Tiada pengangkutan yang boleh menghantarnya pulang ke kampung dan kembali ke asrama kecuali semasa cuti penggal persekolahan di mana Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyediakan kemudahan pengangkutan.

Jalan tanah merah yang sempit dan berdebu semasa musim panas atau becak ketika musim hujan ke kampungnya hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, yang memberi masalah kepada bapanya untuk mengambil dan menghantarnya kembali ke asrama.

Masalah itu menyebabkan Rozita tidak dapat menyambung pelajaran ke tingkatan dua tahun lalu apabila ibu bapanya mengambil keputusan memberhentikannya daripada persekolahan.

Cabaran sebegini sememangnya lazim dalam kalangan pelajar Orang Asli di pedalaman.

Pada masa ini, kira-kira 31.7 peratus pelajar tinggal di perkampungan Orang Asli yang terletak di pedalaman manakala 61.45 peratus di pinggir bandar dan hanya 1.38 peratus sahaja di bandar.

Namun, keadaan itu berubah dengan pembukaan sekolah menengah Orang Asli di perkampungan Orang Asli Kampung Bawong, Sungai Siput.

Tercicir

Ia merupakan sekolah pertama khusus untuk pelajar Orang Asli yang membolehkan lebih ramai anak masyarakat itu menamatkan sekolah menengah.

Malah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong yang dibuka pada Jun 2016 itu turut berjaya menarik 30 peratus pelajar tercicir untuk kembali ke alam persekolahan termasuk Rozita.

Menurut Rozita, jarak kampungnya ke SMK Bawong adalah lebih dekat iaitu kira-kira 25km yang memudahkannya pulang ke kampungnya.

Masa yang diambil untuk ke sekolah kira-kira 50 minit hingga sejam berbanding di sekolah lama. Sebelum ini, dia terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk ke sekolah.

“Saya seronok sekolah di sini walaupun tinggal di asrama. Ramai kawan dan belajar pun seronok,” katanya.

SMK Bawong adalah sekolah menengah harian Orang Asli pertama yang menyediakan kemudahan asrama untuk pelajar perempuan dan lelaki tingkatan satu hingga lima.

Sekolah itu mempunyai 20 bilik darjah dan dua blok bangunan asrama untuk pelajar perempuan dan lelaki yang setiap satunya menempatkan 200 katil. Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain termasuk makmal sains, makmal komputer dan makmal bahasa.

Pengetua sekolah SMK Bawong, Anuar Mamat berkata, pada masa ini, terdapat 375 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga.

Seramai 340 pelajar tinggal di asrama yang disediakan manakala 35 orang lagi berulang ke sekolah kerana mereka tinggal berhampiran.

Semasa sekolah itu mula beroperasi pada 19 September 2016, ia mempunyai 219 pelajar tingkatan satu dan dua selain 15 guru.

“Pada tahun 2017, jumlah pelajar meningkat kepada 443 orang namun kehadiran mereka ke sekolah tidak menentu.

“Saya kenakan syarat-syarat sekiranya tidak hadir ke sekolah dalam tempoh 30 hari, pihak sekolah akan mengambil tindakan membuang mereka,” katanya sambil memberitahu bilangan pelajar itu kembali kekal selepas pelaksanaan peraturan tersebut.

Kesedaran pelajar yang rendah tentang pendidikan menyebabkan ada kalangan ibu bapa yang tidak kisah jika anak mereka tidak hadir ke sekolah.

Motivasi

“Semasa sekolah ini mula dibuka, ramai pelajar yang hadir sesuka hati mereka.Ada masa hendak datang, dia datang. Bila pulang ke rumah setiap dua minggu, setiap Isnin mesti ramai yang tidak hadir ke sekolah dan pada Rabu, barulah kehadiran kelas kembali penuh,” katanya.

Pelajar Orang Asli sukar mematuhi peraturan sebab cara hidup mereka adalah sebegitu sejak kecil.

“Kita tidak akan berputus asa untuk memberi kesedaran dan motivasi bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga ibu bapa,” katanya.

Berasal dari Terengganu, Anuar yang merupakan pengetua di Sekolah Model Khas Redang Panjang, Batu Kurau, Perak pada tahun 2014 sebelum ditukarkan ke SMK Bawong.

Beliau yang berpengalaman selama 23 tahun dalam pendidikan berkata, pendedahan yang diberikan di sekolah itu lebih kepada kecenderungan dan minat pelajar bagi menanam rasa keseronokan belajar.

Berbeza dengan sekolah di bandar yang mementingkan kecemerlangan akademik, SMK Bawong memberi fokus kepada asas menanam kesedaran tentang pentingnya pendidikan kepada pelajar.

“Kebanyakan pelajar sangat berbakat dalam bidang seni dan sukan. Mereka suka kepada hiburan, nyanyian, tarian dan muzik. Jadi, sekolah memperbanyakkan aktiviti yang menarik minat mereka.

“Mereka tidak boleh dipaksa masa belajar kerana mudah berperasaan putus asa dan cepat bosan apabila merasa susah untuk memahami sesuatu perkara yang diajar,” katanya.

Penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan pelajar itu masih lemah malah, ada yang buta huruf.
Tinjauan kebolehan membaca dan menulis dijalankan ke atas 343 pelajar dan seramai 144 orang yang gagal melepasi saringan itu terutamanya pelajar tingkatan satu.

“Pihak sekolah telah mengadakan Program Jombaca i-SINA dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan i-Sina Global Media untuk bantu pelajar yang sukar membaca dan menulis pada Febuari tahun lalu.

“Selepas tiga sesi program ini dijalankan, 80 hingga 90 peratus pelajar sudah boleh menguasai kemahiran membaca pada penghujung program yang diadakan selama 20 hari,” katanya.

Peningkatan kemahiran membaca dan menulis turut membantu keyakinan pelajar, yang sebelum ini pasif dan merendah diri hingga hilang minat belajar.

Guru-guru di SMK Bawong juga perlu bersedia dari segi mental dan fizikal terutama untuk memahami serta mendekati pelajar Orang Asli di SMK Bawong.

Ada juga guru mengalami kejutan budaya semasa mengajar di sekolah itu.
“Banyak perkara yang perlu guru-guru di sini lakukan. Bukan sekadar mengajar tetapi perlu memberi didikan tentang kebersihan diri, disiplin dan mengubah secara perlahan-lahan cara hidup mereka di kampung.

“Kita sama-sama bantu memberi motivasi dan setakat ini guru-guru sudah boleh menyesuaikan diri dengan pelajar-pelajar,” katanya.

Sambil berharap para pelajar SMK Bawong mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain suatu hari nanti, Anuar berkata, generasi muda Orang Asli perlu mengambil berat aspek pendidikan untuk mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik serta mampu berdikari.

Pembinaan sekolah menengah Orang Asli juga akan diperluaskan lagi untuk membantu mengatasi keciciran pelajar di sekolah menengah.