Pada hari itu, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal, 57, dinobat sebagai pemenang Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan di Masjid Negeri, Seremban, Negeri Sembilan.

Majlis penyerahan hadiah dan cenderamata itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Penganugerahan itu menjadikan anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan itu sebagai wanita pertama menerima anugerah berkenaan ekoran sumbangan besar Noor Aziah lebih tiga dekad dalam memartabatkan institusi kekeluargaan, terutamanya berkaitan undang-undang kanak-kanak, wanita dan keluarga.

“Saya tidak pernah bermimpi akan mendapat anugerah ini. Ia satu anugerah yang sangat bernilai meskipun sumbangan saya dilakukan atas faktor kerjaya,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di kediamannya, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Wanita sederhana tinggi dan berkulit sawo matang itu merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau sangat aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Noor Aziah memainkan peranan penting dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya sebagai Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam, Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan Pengerusi Biro Kebajikan, Persatuan Wanita UKM.

Melalui pertubuhan tersebut, Noor Aziah sentiasa turun padang membantu wanita-wanita yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan perundangan keluarga Islam.

Beliau juga selalu dijemput memberi ceramah mengenai isu-isu berkaitan wanita, kanak-kanak serta keluarga.

Percuma

“Saya pernah membuka bilik khas di UKM untuk mendengar masalah dan memberikan khidmat nasihat secara percuma kepada wanita yang memerlukan.

“Kebanyakan yang datang ke lokasi itu adalah mereka yang ingin menuntut penceraian daripada suami, harta sepencarian dan tuntutan hak penjagaan anak,” ujarnya.

Selain aktif dalam NGO, Noor Aziah turut menjadi Ahli Majlis Kanak-Kanak Kebangsaan, Ahli Majlis Penasihat Agama Islam Negeri Sembilan dan ahli Suruhanjaya ASEAN Bagi Promosi serta Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.

Menerusi jawatan berkenaan dan pensyarah, beliau berpeluang mendraf Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang baharu bagi beberapa buah negeri. Ini kerana Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan telah diluluskan pada tahun 1984. “Saya dapati banyak kekurangan yang terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang diluluskan sebelum ini, sekali gus menyebabkan ramai wanita teraniaya.

“Saya pernah mendengar satu kes tuntutan fasakh oleh seorang wanita di mahkamah.

“Wanita berkenaan gagal dalam tuntutannya kerana dituduh nusyuz kepada suami ekoran tidak membuka pintu. Hakikatnya, suaminya mabuk ketika itu.

“Selepas itu, saya sedaya upaya berusaha bersama rakan-rakan yang lain untuk mendraf beberapa perubahan bagi memudahkan wanita menuntut penceraian,” terangnya.

Noor Aziah juga pernah beberapa kali dititah menghadap Tuanku Muhriz bagi menasihati dan memberi pandangan kepada baginda mengenai isu wanita, kanak-kanak dan keluarga.

Mengimbau sejarah hidupnya, Noor Aziah memaklumkan, beliau dilahirkan dalam keluarga serba sederhana dan dibesarkan dalam masyarakat Melayu yang kuat pegangan agama.

Arwah bapanya, Mohd. Awal Ismail merupakan seorang imam di Masjid Kampung Bukit Kadir, Nilai serta guru agama manakala ibu, Hapipah Hassan, 81, adalah suri rumah sepenuh masa.

Menurut anak kedua bongsu daripada lapan beradik itu, meskipun ibunya seorang buta huruf, ia bukanlah penghalang kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang besar dan serba sederhana.

“Bapa hanya bekerja kampung dan guru agama dengan pendapatan RM400 sebulan tetapi ibu bapa berusaha memberikan pendidikan terbaik,” ujarnya.

Noor Aziah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Dato’ Shah Bandar Abu Bakar, Labu Hilir sebelum melanjutkan pelajar ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mohd Said, Nilai.

Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau melanjutkan pengajian ke peringkat A Level di Bournemouth College, Britain menerusi biasiswa Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada tahun 1979.

Belajar Undang-Undang

“Di sekolah, saya bukanlah seorang pelajar pintar. Keputusan SPM saya hanya sekadar melayakkan diri untuk melanjutkan pelajaran. Itu yang dikatakan rezeki.

“Mujurlah bapa aktif dalam persatuan, jadi mudah bagi saya memohon dan mendapatkan biasiswa RISDA untuk ke luar negara,” jelasnya.

Beliau menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University of Essex, Britain.

Meskipun menuntut perundangan sivil, beliau turut mendalami undang-undang Islam secara tidak formal.

“Di Britain, saya selalu menghadiri program usrah di masjid. Ketika inilah saya belajar udang-undang keluarga Islam daripada beberapa orang pensyarah pengajian Islam yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran di sana,” jelasnya.

Menurut Noor Aziah, minat untuk mendalami undang-undang keluarga Islam dan isu berkaitan hak wanita telah lama tertanam dalam jiwanya.

Sebagai anak seorang imam, beliau sering melihat pasangan suami isteri datang berjumpa bapanya untuk mengadu masalah rumah tangga.

“Ramai isteri datang kepada bapa saya sebab masalah gantung tidak bertali. Dari situlah minat saya mula berputik untuk mendalami ilmu berkenaan.

“Pada masa sama, saya ingin meneruskan legasi bapa membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah rumah tangga,” katanya yang menjadikan bapanya sebagai idola.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1985, beliau ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM.

Sebulan kemudian, Noor Aziah terbang kembali ke Britain untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana di Universiti Kent, England.

“Selepas setahun, saya kembali bertugas di UKM dan memilih untuk mengajar subjek undang-undang keluarga Islam.

“Pada masa sama, saya terus membaca dan menghadiri seminar selain melakukan penyelidikan berkaitan isu kekeluargaan Islam yang dibangkitkan.

“Kalau tidak faham, saya pergi ke Fakulti Islam UKM bertanyakan kepada mereka yang mahir. Saya juga sanggup mengupah pelajar untuk menterjemahkan kitab Arab berkaitan keluarga Islam dalam bahasa Melayu,” ujarnya.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pensyarah, membuat kajian dan kerja-kerja kebajikan, Noor Aziah tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ujarnya, beliau sangat bertuah kerana suaminya, Prof. Datuk Abdul Halim Sidek, 59, sangat memahami dan memberi sokongan terhadap kerjaya yang diceburi.

Beliau memberitahu, suaminya sanggup mengambil tugas menguruskan anak-anak mereka, Nurul Haziqah, 29, dan Azim Al Fikri, 25, sewaktu masih kecil.

“Pada saya, keluarga adalah perkara utama. Saya sangat berterima kasih kepada suami yang sentiasa berada di sisi,” katanya.