BAGI kebanyakan pelajar Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani, Universiti Malaysia Perlis di Bintong, Perlis, waktu petang dihabiskan dengan beriadah bersama rakan-rakan.

Ada antara mereka yang memilih bermain futsal, bola sepak, badminton, makan bersama rakan-rakan di kafeteria mahupun melayari internet di dalam bilik.

Berbeza dengan Ahmad Faiz Mohd. Azrul Affendy, 21, yang mengisi masa petangnya di Pusat Internet Program Perumahan Rakyat (PPR) Bintong.

Kehadiran remaja tersebut ke situ bukanlah untuk melayari internet atau menggunakan komputer, sebaliknya berbakti kepada warga setempat menerusi platform Sukarelawan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia (MIV).

MIV merupakan sebuah program yang dicetuskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu meningkatkan penggunaan peralatan dan pembangunan teknologi kepada masyarakat, terutamanya di luar bandar.

Menerusi MIV, Ahmad Faiz diberi kebebasan untuk merancang subjek pembelajaran sendiri berkaitan penggunaan komputer, media sosial dan capaian internet selama enam minggu.

Analisis maklumat

Setiap kelas berlangsung antara dua atau tiga jam mengikut subjek dan penerimaan pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas serta usahawan.

“Saya mula berkhidmat sebagai MIV sejak dua bulan lalu selepas menamatkan kursus selama tiga hari anjuran MCMC di Langkawi, Kedah.

“Saya sangat teruja menjadi sebahagian daripada MIV dan dapat membantu masyarakat setempat agar tidak tertinggal daripada arus pemodenan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Antara subjek yang diketengahkan oleh Ahmad Faiz kepada penduduk di PPR Bintong ialah penggunaan aplikasi WhatsApp dan Facebook kepada warga emas serta Gmail kepada kanak-kanak.

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan itu turut mengajar audiens mengenai teknik-teknik menganalisis setiap maklumat dalam internet sama ada betul atau salah.

Keyakinan diri

“Salah satu sebab saya hendak menjadi MIV adalah untuk membantu masyarakat menganalisis setiap maklumat yang terdapat dalam internet.

“Saya tidak mahu mereka tertipu dengan setiap tawaran seperti yang berlaku kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum ini,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang usahawan.

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak itu, meskipun sumbangnya bersifat sukarela, dia sentiasa memberi yang terbaik kepada para pelajar.

Jelasnya, banyak manfaat yang diperoleh secara tidak langsung selepas menyertai program MIV.

Antaranya meningkatkan keyakinan diri ketika bercakap di khalayak ramai selain dapat mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat.

“Selepas habis berkhidmat, saya akan mendapat sijil daripada MCMC. Ia akan menjadi nilai tambah kepada saya untuk memohon pekerjaan selepas tamat pengajian kelak,” terangnya.

Sehingga 1 September lalu, jumlah sukarelawan terlibat mencecah seramai 521 orang dan penglibatan audiens pula 2,175 orang di seluruh negara.

Kongsi kemahiran

MIV terbuka kepada semua warganegara yang berusia 18 tahun ke atas yang meminati ICT atau mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam bidang berkaitan.

Kebanyakan sukarelawan MIV terdiri daripada pesara profesional, pelajar institusi pengajian tinggi, guru dan warga asing, terutamanya dari Korea Selatan.

Salah seorang sukarelawan MIV, Norashikin Saad, 50, memaklumkan, program tersebut memberi peluang kepadanya untuk berbakti kepada anak bangsa.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Sekolah Kebangsaan Abi di Kangar, Perlis itu menjelaskan, MIV memberi peluang kepadanya untuk berkongsi kemahiran ICT yang ada bersama para pelajar.

“Saya bukanlah mahir sangat mengenai ICT, namun bolehlah sekadar untuk menaip, mencari maklumat dalam internet serta mengendalikan laman sosial.

“Saya fikir ada baiknya, ilmu yang saya ada dikongsi bersama masyarakat. Ini sahaja yang boleh saya sumbangkan kepada masyarakat di sini,” jelasnya.

Antara pembelajaran yang diketengahkan Norashikin ialah mengajar kanak-kanak pendidikan khas menggunakan Google Translate, mencari maklumat dalam internet dan menulis karangan menggunakan Microsoft Words (MW).

Dia sangat gembira melihat raut wajah girang kanak-kanak berkenaan apabila diberi peluang menggunakan komputer dan mempelajari ICT.

“Sewaktu membuat karangan menggunakan MW, saya lihat suasana pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyeronokkan berbanding dalam kelas di sekolah.

“Saya juga dapat menghilangkan tekanan di tempat kerja apabila bersama kanak-kanak ini dalam program MIV. Ia memberi satu kepuasan kepada saya yang sukar digambarkan dengan wang ringgit,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Advokasi MCMC, Eneng Faridah Syed Iskandar berkata, program MIV bermula dua tahun lalu.

Katanya, matlamat utama MIV ialah memperkasa rakyat supaya menjadi warganegara digital, sekali gus menyahut saranan kerajaan dalam membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara pintar.

Jurang

“Arus pembangunan semakin pesat, kami sedar masih ramai masyarakat yang ketinggalan dalam aspek penguasaan ICT.

“Menerusi MIV, kami berharap jurang ICT antara masyarakat di bandar dan luar bandar dapat dikurangkan,” ujarnya.

Menurut Eneng Faridah, peranan yang dimainkan MIV sangat besar dalam memberi pendidikan ICT kepada masyarakat di Pusat Internet seluruh negara.

MIV dapat membantu merancang pembelajaran ICT secara lebih baik dan bersesuaian dengan kepakaran masing-masing.

“Sebelum ini, tugas mengajar ICT terletak di bawah tanggungjawab petugas Pusat Internet. Namun, disebabkan kekangan kakitangan, kelas-kelas pembelajaran sukar dilakukan.

“Jadi, MCMC mengambil inisiatif dengan memperkenalkan MIV bagi membantu memberi pendidikan ICT kepada masyarakat tanpa perlu mengharapkan petugas Pusat Internet,” jelasnya.

Dia juga menjelaskan, pembelajaran ICT menjadi lebih mudah menerusi program tersebut kerana audiens mungkin telah mengenali atau rapat dengan MIV.

Terangnya, situasi ini dapat meningkatkan keyakinan audiens untuk berkomunikasi dengan MIV di dalam kelas.

“Misalnya audiens di Perlis, mereka mesti mahukan orang di sekeliling menjadi MIV kerana mudah untuk berkomunikasi mengikut loghat di sini,” jelasnya.