Malangnya dalam keghairahan pelbagai pihak berganding bahu membantu mangsa yang terlibat, masih wujud ‘pengulas siaran’ tidak berbayar yang cuba mempertikaikan segala bentuk bantuan yang dihulurkan.

Bukan sahaja pemimpin, pasukan tentera, polis, sukarelawan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), tenaga profesional malah anak-anak muda juga sanggup meninggalkan urusan harian biasa mereka semata-mata untuk turun padang mengerah keringat membantu mangsa yang terjejas.

Ia menjadi medan penyatuan generasi muda sekali gus menepis tanggapan negatif sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan ini pasif dan tidak cakna akan keadaan persekitaran.

Kemanusiaan

Presiden KOR Sukarelawan, Universiti Sains Malaysia, Omar Azizi Abdul Latiff berkata, pihaknya telah menjalankan tujuh misi sukarelawan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Kami laksanakan misi ini bukan untuk mengejar nama sebaliknya bagi membuktikan bahawa golongan muda juga mampu menyumbang sesuatu kepada negara selain mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi.

“Bencana alam ini mengajar kami untuk lebih empati terhadap mangsa-mangsa banjir tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Misi sukarelawan yang berlangsung selama 12 hari itu melibatkan kawasan-kawasan sekitar Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat banjir termasuk Kampung Dodoi, Sungai Rusa, Sungai Burung, Pulau Bentong, Lahar Yooi, Labuh Banting, Air Itam dan Batu Maung.

Menurut Omar Azizi, setiap misi tersebut meliputi kerja-kerja pembersihan rumah, gotong-royong memasak, penghantaran bekalan keperluan asas dan ubat-ubatan kepada mangsa banjir.

“Sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai mahasiswa mewakili anak muda di negara ini untuk membantu mangsa banjir walaupun bantuan itu tidak seberapa.

“Setidak-tidaknya bantuan yang disalurkan ini mampu memberikan kegembiraan dan sinar baharu kepada mereka yang terjejas,” katanya lagi.

Omar Azizi memberitahu, misi sukarelawan itu telah berjaya mengumpulkan kira-kira 1,400 orang mahasiswa dari beberapa universiti tempatan dan swasta meliputi Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Perlis serta Kolej Universiti KDU.

“Kami bukan lagi kanak-kanak yang sering dianggap tidak boleh berbuat apa-apa sebaliknya usaha ini menunjukkan betapa anak muda memandang serius akan isu kemanusiaan,” ujarnya.

Tanggungjawab

Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap peranan golongan muda terutama apabila berlakunya bencana alam adalah tidak wajar.

“Setiap kali sesebuah negeri dilanda musibah maka kita akan dapati ribuan golongan muda berlumba-lumba menghulurkan khidmat untuk smembantu sehingga terpaksa ditetapkan kuota kerana ketidakmampuan untuk menghantar mereka.

“Ini adalah realiti yang perlu diterima dan menunjukkan bahawa anak-anak muda cenderung untuk terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Ia adalah senario yang patut dibanggakan,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, golongan muda sebagai bakal pemimpin negara bukan sahaja telah menunjukkan contoh teladan yang baik tetapi membuktikan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

“Ia memberi gambaran penting kepada masyarakat umum bahawa anak muda mempamerkan tanggungjawab sosial yang amat tinggi terutama apabila berlakunya sesuatu musibah.

“Peranan mereka dalam masyarakat jelas ditonjolkan dengan penglibatan tanpa henti dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan selain kesukarelawanan.

Kesedaran

Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang terlibat, Faizah Abdullah, 21, berkata, banjir kilat yang berlaku menuntut kesedaran golongan muda untuk turun padang.

“Banjir kilat ini memberi peluang kepada kami untuk berkhidmat kepada negara dengan menghulurkan segala bantuan yang diperlukan.

“Selain bantuan tenaga, kami turut memberikan sokongan moral kepada mereka untuk terus positif bagi menghadapi musibah yang menimpa,” katanya.

Faizah memberitahu, penglibatannya membantu mangsa banjir adalah yang pertama kali dalam hidupnya.

“Ini pengalaman pertama dalam membantu mangsa banjir yang memang tidak akan saya lupakan.

“Di sini, kami golongan muda saling bekerjasama antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang dan pendidikan dalam memastikan misi sukarelawan berjalan dengan lancar.

“Ia bukannya kerja yang mudah tetapi kami puas apabila dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” ujarnya yang merupakan Exco Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia.