Vokalis yang dikenali sebagai Bloodfire mengenakan pakaian serba hitam dan topi yang diperbuat daripada buluh. Kadangkala mereka juga mengenakan pakaian tenunan berbulu.

Kostum tersebut menggambarkan imej seorang nelayan tua dalam sebuah lukisan landskap China yang hidup bersendirian.

Zuriaake telah dibentuk pada tahun 1998 dan menjadi salah satu band black metal terlama di China. Nama Zuriaake diambil dari bahasa China kuno yang bererti tasik perkuburan mayat.

Kebanggaan

Aliran muzik metal yang dibawa Zuriaake telah meresap ke dalam kebudayaan China purba sekian lama seterusnya membentuk perpaduan yang unik di antara timur dan barat negara tersebut.

Meskipun aliran yang dibawa sering dikritik pihak berkuasa namun penggemar black metal menyatakan muzik yang dimainkan mencerminkan kebanggaan terhadap negara mereka.

Lagu-lagu seperti Desolated Mountain dan Whispering Woods menyemarakkan semangat peminat muzik black metal di negara berkenaan.

Seorang pemilik label muzik black metal yang enggan dikenali berkata, Zuriaake telah menaikkan lagi minat dalam kebudayaan pop nasionalis.

“Golongan muda tidak semestinya percaya terhadap semua perkara yang dikatakan kerajaan. Walaupun China sudah menjadi kuasa besar namun masyarakat masih mahu mencari identiti sebenar mereka.

“Oleh itu, Zuriaake dilihat memenuhi keperluan tersebut yang menjadi kebanggaan terhadap negara China,” katanya.

Menurut salah seorang vokalis yang enggan dikenali berkata, mereka memainkan muzik black metal yang murni dan unik berbeza dengan genre Barat.

“Kami memainkan muzik black metal yang lebih murni dan unik kerana di China nilai seram itu ditonjolkan secara halus bukannya menentang. Kami mahu mengekspresikan mengikut gaya China kuno,” ujarnya.

Inspirasi

Dalam mempertahankan keunikannya, vokalis berkenaan berkata, Zuriaake mendapatkan inspirasi untuk menghasilkan lagu daripada puisi China dari tahun 771 Sebelum Masihi sehingga 221 Sebelum Masihi.

“Sejak itu, puisi China menjadi lebih formal dan tidak digambarkan dengan kegelapan lagi. Zuriaake cuba mengekspresikan perasaan para pemuisi China yang hidup dengan mengasingkan diri,” ujarnya.

Selama hampir dua dekad, Zuriaake masih menyembunyikan identiti sebenar tanpa berkomunikasi dengan peminat mereka.

Bagaimanapun, mereka tunduk sebagai simbol tradisional untuk menghormati penonton yang hadir pada akhir persembahan.

Menurut seorang gitaris, Sly berkata, wilayah Shandong yang merupakan tempat kelahiran kepercayaan Confucius lebih konservatif membuatkan pengaruh Barat terhadapnya menjadi perlahan.

“Walaupun budaya tradisional berkembang di sini namun terlalu sedikit persembahan sebegitu. Masyarakat mudah membeli berus dakwat dan set catur namun bukannya gitar elektrik,” jelasnya.

Peminat Zuriaake, Zhang Xia, 32, berkata, band black metal tersebut berbeza dengan yang lain meskipun memiliki persamaan dengan Barat.

“Saya suka perkara misteri dan ghaib kerana ia memiliki unsur-unsur China tradisional. Zuriaake membawakan kelainan dan memenuhi perkara ini,” katanya yang datang dari selatan Guangzhou semata-mata untuk menyaksikan persembahan Zuriaake di Beijing. – AFP