Sambil membalik-balikkan kulit tersebut, Ilham atau lebih dikenali sebagai Am dalam kalangan pembeli jeli kulit lembu sekitar Tanjong Karang, Selangor itu mengesat peluh jantan yang mula membasahi dahinya.

Biarpun pada waktu itu api sedang marak menyala, namun Am langsung tidak mempedulikannya.

Ternyata, pengalaman sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan jeli kulit lembu membuatkan lelaki itu lali dengan suhu panas di dalam premis pemprosesan milik Yasham Enterprises di Tanjong Karang, Selangor.

“Ini merupakan salah satu proses yang perlu dilakukan sebelum kulit lembu dijadikan jeli untuk dimasak.

“Jeli kulit lembu boleh dikatakan sebagai salah satu hidangan eksotik di negara ini. Biarpun begitu, jeli kulit lembu ini merupakan makanan popular dalam kalangan masyarakat Jawa sejak dahulu lagi,” jelasnya memulakan bicara.

Cerita Am, dia melibatkan diri dalam perniagaan jeli kulit lembu pada tahun 1998, ketika ayahnya mula membuka perniagaan tersebut.

“Ketika itu, saya masih lagi di bangku sekolah. Setiap hari sebaik tamat sesi persekolahan, saya akan membantu ayah dalam kerja-kerja memproses kulit lembu.

“Apabila kami menerima kulit lembu daripada pembekal yang kebia­saannya dari pusat sembelihan dan orang ramai, kerja pertama yang kami lakukan adalah mencucinya hingga bersih,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut Am lagi, proses tersebut tidak semudah yang disangka.

Walaupun pada waktu itu dia hanya melakukan proses mencuci, namun kerja-kerja tersebut perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan kulit lembu dicuci de­ngan bersih.

Proses layur

Bagi tujuan tersebut, Am menggunakan pam air waterjet untuk memastikan segala kotoran tertanggal, bersih dan kualiti kulit lembu yang dihasilkan sentiasa terpelihara.

Sebaik proses mencuci selesai, kulit lembu akan melalui proses pengeringan dan dijemur secara semula jadi di bawah panas terik matahari.

“Kami akan menyidai kulit lembu ini di atas ampaian khas dan dibiarkan kering sendiri sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Proses pengeringan ini sangat penting kerana jika tidak, produk akhir kami tidak akan menjadi dan mudah rosak,” katanya.

Selepas kulit ‘disalai’, ia kemudian dipindahkan ke dalam premis dan dipotong dalam bentuk segi empat sama.

“Biasanya, kulit lembu ini akan dipotong pada saiz satu kaki. Saiz ini penting untuk memudahkan kerja membalut pada pelepah kelapa untuk proses membakar.

“Setiap kulit yang siap potong akan ini akan ‘dilayur’ pada api antara satu hingga tiga minit untuk memudahkan kerja-kerja membalut pada pelepah. Ini kerana kulit ini sangat keras selepas dijemur di bawah terik matahari lebih tiga bulan,” jelasnya.

Kulit itu kemudiannya sekali lagi dibakar dengan api yang kuat selama 5 hingga 10 minit bagi membuang bulu serta membakar sisa lemak yang tertinggal.

“Sebenarnya ia bergantung kepada ketebalan kulit tersebut. Proses ini paling penting kerana kulit lembu tidak boleh tersalah bakar.

“Jika terkurang bakar, bahagian luar tidak akan bersih sepenuhnya, manakala jika terlebih bakar pula, kulit akan menjadi nipis atau akan terus rentung dan jeli tidak dapat dihasilkan,” katanya.

Rebusan

Tambahnya, selepas selesai proses membakar, kulit lembu tersebut akan direndam ke dalam air selama beberapa jam sebelum ia diberus untuk membuang kotoran yang masih melekat.

“Kulit yang masih berbalut pada pelepah akan terus direndam ke dalam air sekurang-kurangnya tiga jam bagi memudahkan ia ditanggalkan.

“Ia kemudian akan kita berus satu persatu bagi memastikan tia­da lagi kotoran atau arang hitam melekat padanya.

“Biasanya kerja-kerja memberus dilakukan dengan teliti supaya produk yang dihasilkan benar-benar bersih,” katanya.

Am menjelaskan, proses ter­akhir dalam menghasilkan jeli kulit lembu ini adalah proses mere­bus kulit lembu selama tiga jam sebelum ia dipasarkan kepada pembekal.

“Proses rebusan yang dilakukan selama tiga jam ini akan membuang secara keseluruhan kekotoran yang masih melekat pada kulit lembu. Jika masih ada kotoran ia akan diberus semula sehingga ia betul-betul bersih.

“Ada sesetengah pengusaha hanya rendam sahaja di dalam air, namun kami mengambil inisiatif merebus semula bagi memastikan tiada bakteria dan produk jeli kulit lembu kami terjamin kebersihannya,” jelasnya.

Menurut Am lagi, setiap tahun, dia mampu memproses sekitar 400 hingga 450 kulit lembu selain menghasilkan antara 100 hingga 120 kilogram jeli kulit lembu seminggu.

Kulit lembu yang telah siap diproses ini akan dijual pada harga RM18 sekilogram.

Katanya, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pengusaha restoran bukan sahaja di sekitar daerah itu, malah di seluruh Selangor.

“Biasanya pelanggan akan mengambil sendiri jeli kulit lembu yang siap diproses di sini (Tanjung Karang), namun ada juga yang saya hantar terus kepada pelanggan. Ia bergantung kepada permintaan pelanggan itu sendiri.

“Masakan yang popular menggunakan jeli kulit lembu ini adalah sambal tahun iaitu sejenis masakan masyarakat Jawa. Ada juga restoran yang menggunakan jeli kulit lembu ini sebagai masakan sambal cili merah, masakan lemak dan sebagainya,” katanya.